low key sessions: The Next Big Thing Untuk Muzik Alternatif Malaysia
Untuk mengaku sebagai seorang yang menyokong muzik mandiri tempatan adalah semudah melayari lagu kegemaran di platform pelayar muzik. Tetapi untuk mendokong nya pula adalah satu bidang dan disiplin yang lain, yang tidak berani diterokai ramai orang.
Macam satu tradisi turun-temurun yang tidak terukir bahawa pendokong muzik mandiri Malaysia lebih banyak mengeluarkan duit sendiri; bekerja pada siang hari dan menghidupkan api alternatif pada malamnya atau pada hujung minggu – berbanding daripada mengambil untung daripadanya. Ini bukan sebuah makalah untuk menentukan siapa lebih indie ataupun tidak. Itu sudah menjadi perbincangan timeless yang membuang masa. Ini adalah sebuah penceritaan bagaimana sebuah kumpulan bergerak mebawa bara ghairah terhadap muzik tempatan, meniupkan oksigen kepadanya dan menyalakan api yang marak, membuatkan orang sekeliling merasa faedah dari hangat api itu.
Jadi bukanlah sesuatu yang pelik kiranya anda tidak pernah tahu atau dengar pun nama RAI, sebuah organisasi pendokong muzik mandiri tempatan. Usahanya lebih banyak berbanding berbual di media sosial. Mereka memasak habis-habisan di dapur dan kini adalah masa mereka mula memberi hidangan kepada penikmat muzik tempatan melalui low key sessions, sebuah siri video persembahan langsung muzik menampilkan barisan artis yang dikurasi dengan teliti.
Barisan artis dalam rakaman low key sessions bukanlah another typical festival/gig line-up yang diulang-ulang dan diperah saban bulan. Tetapi kurasi RAI diperhalusi dengan baik. Mereka percaya kepada bakat-bakat yang jarang diberi peluang, tetapi pada masa yang sama tetap memilih barisan pemuzik yang bermutu.
Terkenal dan bermutu adalah dua perkara yang berbeza. Adakah kita merupakan pendengar muzik yang terkenal, atau penjelajah muzik bermutu?
RAI adalah inisiatif seni swa-biaya yang berpangkalan di Lembah Klang yang banyak mencipta kandungan seni kontemporari dalam pelbagai genre dan media dalam pelbagai bentuk. Tiga tiang utama RAI ialah Acara, Produksi, dan Penerbitan.
“Kau tahu tak Zee Avi dulu masa kat NPR Tiny Desk dia masih tak terkenal sangat? Itulah yang kita nak. Kita nak dokumenkan pemain-pemain seni ni awal-awal lagi sebelum mereka mungkin menjadi lagi besar kemudian hari.” Itulah kata-kata Aiie, antara pengasas RAI, ketika pertama kali saya berjumpa dengannya.
low key session adalah anak kelahiran hasil pernikahan si ghairah dan si ingin tahu.
Penggerak kerja di sebalik low key sessions sangat kecil, seorang pengarah video, mungkin dua orang pengemudi kamera, seorang penata bunyi dan seorang lagi mengemudi jadual. Tetapi kesemua ini adalah orang yang terbaik dalam bidangnya. Pengalaman saya menyertai sesi rakaman ini sangat membuka minda. Ideanya punk, pelaksanaannya professional. Kamera video yang bersesuaian, alatan rakaman yang baik, malah setiap kumpulan diperlukan untuk menanda-tangani kontrak sebelum memulakan rakaman. Kontraknya asas – audio live rakaman ini akan menjadi milik mereka. Ini adalah perkara yang sepatutnya perlu dijelaskan dan diputuskan apabila melibatkan rakaman mahupun persembahan langsung.
Lokasinya? Lokasi rakaman siri ni adalah Taming Sari untuk low key sessions. Ia dijalankan di sebuah studio seni peribadi milik Aiie dan isterinya Lara Hassan. Ya, THE Lara Hassan. Studio tersebut kaya dengan buku, album-album tempatan dan luar negara, arca, lukisan-lukisan, bantal-bantal gebu dan alatan muzik. Ia lebih cantik daripada kebanyakan kedai kopi yang tak habis-habis dengan konsep brutalism kepura-puraan.
“Studio ni tempat aku dan isteri letak barang-barang art yang kitorang ada. Bila dah susun-susun alat muzik yang kami ada, nampak cantik pula kan kalau boleh rakam sesuatu kat sini?”
low-key sessions merupakan kandungan pertama di bawah payung Produksi RAI, dan merupakan kandungan utama RAI. Ini adalah gelombang (musim) pertama, dan akan menampilkan 20 artis dengan setiap artis mempersembahkan tiga lagu. low-key sessions dijadualkan untuk bersiaran setiap minggu dengan kumpulan post-rock On A Trip membuka acara pada hari Jumaat, 16 Jun. Jadual akan berlangsung selama 19 minggu seterusnya. Beberapa kumpulan dalam gelombang pertama ini termasuk A. Limin, The Fridays, Pasca Sini, Fazz, Wobbebong, dan Fugo.
low key session mencabar kesemua pemuzik jemputan mereka untuk menggubah lagu-lagu mereka dalam nada yang lebih tenteram. Jadi, penonton boleh mengharapkan muzik yang berlainan daripada apa yang mereka selalu dengar daripada barisan pemuzik ini.