Ulasan Album Plague Of Happiness, Budak Nakal Hujung Simpang dan CISCO
Plague of Happiness – DOMINION
Dari trek pertama hingga trek keenam, saya menunggu lagu killer untuk muncul. Masih tiada. Malah hingga ke hujung album, masih tidak ada. Saya putar sekali lagi dengan membuang mindset bahawa memang ini bukan zaman KAWAN. Mereka memuncak lebih awal. Dan tiada apa lagi sukar dalam dunia ini selain mengatasi zaman kemuncak diri sendiri. Tapi, masih tidak dijumpai apa yang saya cuba cari.
Tapi ini buatkan saya teringat, mereka ada album TUNJAL. Tidaklah terlalu jauh sela masanya daripada album ini. Tetapi kenapa bisanya hilang terus? Sekurang-kurangnya TUNJAL masih ada beberapa trek yang mencengkam sedari kali pertama mendengar. Tapi untuk DOMINION, semua trek semacam hanya hanya ciuman melepas rindu. Tiada berahi.
Agak serba tak kena. Mungkin Plague of Happiness sudah tone-down? Mereka dah tak marah-marah lagi. Saya hilang rasa berahi itu. 🙁
Saya cuma boleh menikmati hasil produksinya sahaja. Dari segi gubahan dan bait-bait yang mencengkam – hampir tiada. Paling hampir mencapai status killer dalam album ini ialah Berbisik. Itupun kedengaran “sedikit” macam lagu Malam dalam tempo yang lebih pantas. Sebab itu saya letak “paling hampir mencapai status killer”, kerana takut saya telinga saya dikabusi nostalgia.
Setia bukti bahawa mereka tak takut untuk lari sedikit daripada kebiasaan. In fact, lagu ni sebuah lagu yang bagus dan paling mudah disedari kerana atmosferanya yang berlainan. Dan ia bagus tapi sebenarnya Plague of Happiness lebih bagus daripada ini.
Budak Nakal Hujung Simpang – Darsana
Kematangan daripada album pertama. Lapisan bunyi yang meriah. Instrumantul ni kelakar, menjadikan ia sebuah opening album yang alright, membuatkan kita bersemangat nak teruskan mendengar. Bayangkan irama sebegini meriah dimainkan di funfair, maka berkerumunlah orang untuk menyaksikan apa yang sedang berlaku.
Budak Nakal Hujung Simpang punyai keistimewaan dalam gubahan dan paling penting kekuatannya dalam memberikan cangkuk melekat walaupun baru kali pertama mendengar. Saya hargai perubahan rentak dan gaya dalam lagu seperti Labu.
Lagu seperti Labu dan Syair Perang Si Nakal juga menepati perkataan nakal yang ada dalam kumpulan berbanding kesemua lagu yang ada dalam album sebelumnya, Bumantara.
Kecuali Wabak.
Wabak hilangkan watak nakal BNHS dalam album ini. Saya sedikit tergelak apabila mendengarnya berulang kali kerana sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada kumpulan Senario. It’s not a bad thing, maybe? Bergantung kepada tujuan lagu ini dimasukkan kedalam album ini. Sekiranya memang mereka bertujuan untuk memberikan getaran ala Senario, maka tujuannya tercapai. After all, lagu Cari Tapak sudah banyak kali dimainkan di persembahan langsung mereka.
Album ini juga menyaksikan “sedikit” kepelbagaian dalam karektor suara John Bear. Suara serak-hampir-pecah dalam lagu Sadar bukan sesuatu yang kebiasaan didengar dalam nyanyian John Bear, vokal utama kumpulan ini. Kekasaran vokal dalam Labu dan Syair Perang Si Nakal juga berjaya menekan rasa jahat dalam lagu tersebut.
Lepas BNHS mengasak dedngan lagu-lagu rancak, mereka memujuk kita untuk bertenang dengan One Peace One Love. Macam tiba-tiba sahaja memuji seseorang lepas baru sahaja kita mengutuknya. Ia mengejutkan tetapi tidak ada masalah untuk dinikmati. Beruntung saya kerana ketika mendengar lagu ini saya berada di tingat 34 ditemani awan mendung dan biasan matahari menyuluh sebahagian kawasan perumahan Bangsar. Perfect song for a perfect view.
Takdir Dan Impian kedengaran out of place; macam lagu yang diletakkan semata untuk memanjangkan jumlah masa putaran album. Namun boleh jadi juga sebagai satu lagu penutup yang kontra berbanding lagu pembuka tadi. Bayangkan – pintu pagar funfair dah ditutup, sampah sedang disapu, taukey sedang kira untung, alatan muzik sedang diturunkan dari pentas. Mungkin itulah situasinya.
Saya hargai lapisan bunyi yang ada dan paling seronok mendengar tone gitar di bahagian kiri lagu. Tidak terlalu kedepan atau kuat cukup untuk cut through the mix.
Darsana nakal dan jahat, terkadang comical. Sesuatu yang kita jangkakan daripada sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka begitu rupa. Darsana berbaloi untuk diulang dengar berkali-kali. An enjoyable experience.
CISCO – VOLUME 1
“A genre fluid band” atau tidak menelaah apa genre yang patut diletakkan? Saya expect band yang meletakkan kenyataan begitu albumnya akan bermacam-ragam seperti “Weird Al” Yankovic (ya saya faham dia buat lagu-lagu parodi but you get what I mean).
Kenyataan saya sedikit judgy sebab mereka sendiri yang meletakkan diri dalam sebuah expectation yang tinggi dengan kenyataan begitu di ruang bio SPotify mereka. Apatah lagi keseluruhan EP hanya pekat dengan bunyi indie-alternative rock. Selitan jazz/blues adalah normal dalam muzik rock. Tiada apa yang fluid dalam bunyian yang dipersembahkan. Saya akan ubah kenyataan saya jika sekurang-kurangnya ada satu post-death metal dan world music dalam EP ini.
Kualiti produksi yang okay untuk sebuah band yang baru. Mentahnya ada tapi tak sampai tahap buat tekak jadi mual. Sebab, banyak band baru berselindung di bawah nama raw dan attitude untuk cover-up kualiti rakaman separa masak.
Vokalnya lunak dan sedap didengar. Lagi, tiada apa yang menangkap perhatian tentang permainan gitar dan bassnya. Mediacore tetapi menepati apa yang mereka mainkan. Tetapi gubahan mereka naik satu level berbanding kumpulan baru lain atas sebab kemantapan permainan drum mereka yang penuh dengan poket-poket. Cuba berikan perhatian kepada permainan drum dalam kesemua lagu dan anda akan faham kenapa saya nyatakan begitu.
HULU KINTA adalah trek yang bagi saya memaparkan keseluruhan kekuatan CISCO. Lagu SAMPAI BILA pula terlalu meniru-niru formula garage rock. Tentang gaya vokalnya dalam lagu ini tak perlu disebut lagi. Anda boleh dengar jelas apa rujukannya.
Sepertimana kumpulan baharu lain, CISCO jelas menunjukkan mereka masih tercari-cari halatuju mereka.