Unit Jerit Shah Alam Menggegar Cochlea: Piri Reis – ‘Ritma’
Kebanyakan lagu dalam album ini hanya sekitar 1-2 minit, namun ia adalah minit-minit keinzalan ringkas yang kita semua perlukan. Euphoria pra-matang yang terlahir hasil dari pekikan amarah Piri Reis ni sukar untuk diterangkan secara senonoh dalam sebuah tulisan. Samada kita faham atau tidak apa yang ditujah oleh penjerit dalam album ini bukanlah sebuah perbincangan yang perlu. Ini tentang gelojak kita terhadap semua perkara yang meninja (read:tahi) dalam kehidupan. Piri Reis menjerit bagi pihak kita (yang kadangkala bercakap pun tidak mempunyai tona yang sedap). Teknik jeritan Amira berkualiti, menimbulkan persoalan sama ada dia mampu mengekalkan kejahatan ini semasa persembahan live? Satu hari pasti saya akan hadir bagi mengadili kekaguman saya terhadapan jeritan ini.
Pada masa yang sama, jeritan Amira yang bertaut dengan line bass hangit bergaring itu menyebabkan gitar kedengaran sangat sopan dan menunduk. Seolahnya suara Amira yang disambungkan bersama pedal distortion, manakala gitar hanya mengharapkan gain daripada amp. Mungkin memang itulah tujuannya; memberikan laluan kepada vokal Amira.
‘Ritma’ dikeluarkan bersama oleh Moment Of Collapse Records, React With Protest Records, Framecode Records and Zegema Beach Records.
Dan tahun ini, ‘Heimlich Manoeuver Tiger Suplex’ adalah secara rasminya tajuk lagu kegemaran saya. Gabungan nama teknik bantuan kecemasan untuk manusia tercekik dan teknik hentaman wrestling ini menghiburkan. Lagi bagus, lagu ini juga adalah antara lagu yang paling powerful antara semua lagu, terutama di bahagian penghujung dimana jeritan sudahpun bertukar mejadi ratapan meroyan yang pilu dan menyeramkan pada masa yang sama.
Mokhtar masih memegang tampuk selaku jurutera bunyi yang paling berjaya dalam membekalkan kualiti bunyi terbaik terhadap genre yang memerlukan bunyian mentah dalam rakaman mereka. ‘Ritma’ kedengaran macam tempoyak, tak terlalu mentah dan tidak juga terlalu polish. Cukup masam dan manis yang boleh ditelan.
Album ini mencekik. Ia menyebabkan kita akan merasa gatal-gatal tekak dek kerana pekikan suara yang bertalu. Dan ia juga mencekik dari segi bunyi yang bingit tetapi tidak bising. Padat dan ketat, ‘Ritma’ pastinya sudah terbaris dalam rilisan terbaik tahun 2022.