SENARAI PUTAR HUJUNG MINGGU 20/21
Sudahkah anda bersiap sedia dengan total lockdown pada kali ini? Diharapkan kalian terus kuat dan sihat menghadapi cabaran ini. Paling penting teruskan mendaftar vaksinasi demi keselamatan bersama. Bagi senarai putar hujung minggu kali ini, ayuh kita layari 5 lagu berikut.
Repllix – Muddle
Sudahkah anda meneroka muzik daripada Repllix? Repllix merupakan sebuah kumpulan indie rock dianggotai seramai empat orang ahli, iaitu Arafat (vokal/gitar), Joe (gitar), Shahroll (bass) dan Hasif (drums). Arafat merupakan seorang penulis lirik bagi band ini dan Repllix merupakan sebuah tribute band yang pernah dianggotai oleh Arafat dan Joe pada tahun 2012 bernama Repllica. Rilisan terbaru mereka yang bertajuk Muddle ini merupakan sebuah lagu yang boleh dikatakan sebagai melankolik, menggambarkan rasa kerinduan kepada seseorang yang istimewa. Biarpun hanya berdurasi kurang 3 minit, Repllix telah mengekspresikan lagu ini dengan jelas. Band ini sememangnya aktif kerana mereka sudahpun menpunyai dua album! Anda boleh melayari kedua-dua album mereka iaitu Chapter 1: The Black Ballsy Ballad dan Chapter 2: REBELLICIOUS di laman Spotify Repllix. Keaktifan mereka juga terserlah pada tahun ini kerana anda juga boleh terus menantikan rilisan akan datang yang bertajuk Finding My Way Home pada 3 Jun 2021 nanti.
Glistening Redchair (GRC) – Portals
Senarai putar pada kali ini perlukan adunan yang lebih berat. Maka, Portals adalah untuk halwa telinga anda. Durasi permulaan Portals adalah klimaks tanpa anda perlu tunggu lagi. Sesuai dengan tema album GRC iaitu Celestial, anda seperti sedang merentasi angkasa di dalam ruang yang anda belum pernah lawati sebelum ini. GRC yang dianggotai oleh Gheff Abd Ghafar (vokal/gitar/produksi) dan Firdaus Nasir (drums) telah menghasilkan album ini di sepanjang musim pandemik bersama Hazardgeek Records. Konsep mereka sememangnya ironi dengan musim pandemik, yang mana telah menyekat sebarang pergerakan bebas kita semua, tetapi mereka tetap ingin membawa kita ke ruang angkasa!
Orkes A Hizadin – Korupsi Hati Besi
Kita sudah terlalu biasa melihat berita tentang pecah amanah dan suapan rasuah. Maka, pada kali ini Orkes A Hizadin kembali semula dengan karyanya bertajuk Korupsi Hati Besi. Lirik dan lagu yang dihasilkan oleh Amirudin Hizadin ini juga amat sesuai dengan trending #KerajaanGagal pada musim pandemik ini. Ianya membawa mesej yang jelas tentang ketidakadilan dan sifat berat sebelah sesetengah golongan kayangan yang sentiasa menyesakkan dada rakyat. Jika anda pengikut setia Orkes A Hizadin, anda pasti sedar bahawa lagu ini pernah dibawakan olehnya pada tahun 2015 lagi. Terangnya isu ini seperti tidak berkesudahan. Selain lirik lagu, melodi lagu ini juga bersifat “easy listening” dan mudah dihadam. Orkes A Hizadin turut mengambil kesempatan ini dengan mengeluarkan koleksi merch mereka sempena rilisan terbaru ini di laman rasmi mereka.
Advents – Turn on the Lights (Or You’ll Hurt Your Eyes)
Sound so depressive! Ya, itulah gambaran pertama kali sewaktu mendengarkan karya milik Advents ini. Lagu yang diberi tajuk Turn on the Lights (Or You’ll Hurt Your Eyes) adalah sebuah lukisan emosi yang terganggu oleh personanya. Ianya adalah emosi ketika di dalam fasa dirinya telah dilupakan dan masalah hubungan serta rasa ingin bunuh diri. Di dalam lagu ini juga anda akan dapat mendengar monolog pada minit ke-2 lagu, lalu terus membawa jiwa anda ke pengakhiran lagu dengan perasaan yang lebih hiba. Bagi mereka yang pertama kali mengenal band ini, Advents kini diterajui oleh Nadree Omar, Izaaq Izham, Shawin dan Eimann Arif.
Block J – Already Happy & Not A Problem Loving You
Kegembiraan ini ingin dikongsi oleh Block J buat anda dengan rilisan baru mereka yang bertajuk Already Happy dan Not A Problem Loving You. Block J merupakan gabungan duo Helloluqman (penyanyi/penulis lriik) dan Joseph Chua (komposer/producer) bagi projek ini. Secara keseluruhan, kedua rilisan ini menghiburkan kerana berentak catchy, upbeat dan groovy. Konsep yang dibawakan oleh Block J adalah sememangnya kombinasi genre seperti R&B, funk, soul, jazz dan pop. Kombinasi ini ternyata menyeronokkan buat para pendengar untuk terus mendengar rilisan mereka yang lain. Anda boleh mengikuti rilisan single mereka seperti Call Me, Inamorata dan Reason di platform Spotify Block J. Block J juga mengatakan bahawa mereka sememangnya ingin terus membawakan keseronokan kepada para pendengar tidak kira di mana mereka berada atau apa sahaja yang mereka lakukan.
Apa pun, kami harap anda semua terhibur dengan seleksi lagu pada kali ini. Paling penting di musim berkuarantin, jangan lakukan pembelian panik. Terus kuat guys.