Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 33/21

Pada minggu ini, ada beberapa karya baru para pemuzik nampaknya banyak bermain dengan idea kesihatan mental. Ianya adalah satu langkah yang sangat baik dan muzik adalah salah satu cara ekspresi yang berkesan bukan sahaja untuk pemuzik, tetapi juga untuk pendengarnya. 

Kabus – Kill This Thought

Saya harap anda semua masih tidak lupakan Kabus. Kabus kini kembali dengan beberapa ahli baru. Secara rasminya, mereka mengumumkan bahawa kumpulan ini dianggotai oleh Fadhil (vokal dan gitar), Aqmal (gitar), Faris (bass), Altaf (drum) dan Danial (gitar). Usaha mereka dalam penghasilan single ini adalah sebuah usahasama Hadeef Azlan serta direkodkan di ATAS by Bijan Fx, Kelana Jaya. Single ini telah ditulis oleh Fadhil Rushdan selaku vokalis band ini dengan niat ingin menyampaikan kesedaran tentang kesihatan mental. Genre yang dibawakan oleh mereka ini mempunyai sentuhan pop rock dan inspirasi daripada artis seperti Sheila On 7, Hujan, Hippo Campus dan Kings of Leon. Selamat kembali ya, Kabus!

Gambar ihsan: Kabus

Crinkle Cut – Caught up in Your Head

Taruhan baru Crinkle Cut pada kali ini amat mendamaikan jiwa sesuai. Pada saya, biarpun pendengarnya rata-rata di sekitar Taipei, Singapura dan Bangkok, Caught up in Your Head boleh dijadikan sebuah lagu putaran harian kita juga. Lirik lagu ini merupakan ciptaan Grace Foo selaku keyboardist kumpulan ini dan telah dihasilkan bersama Kuszanagi sebagai penerbit mereka. Empat gadis berjiwa besar ini juga telah meriliskan beberapa buah lagu yang lain pada tahun ini seperti A Love Like Yours dan Fascination. Bagi bahan bacaan lanjut tentang mereka, anda juga boleh tekan di kolum Tinta kami di sini.

Itshadey – Semenjak Pandemik

Hadi Ariffudeen atau ingin dikenali sebagai Itshadey adalah seorang singer songwriter baru yang ingin berkongsi muziknya bersama anda. Itshadey yang berasal dari Shah Alam telah menulis Semenjak Pandemik ini, dimana ianya berkisarkan tentang seseorang yang merindukan kekasih hati yang sedang berjauhan. Anak muda yang berasal dari Shah Alam ini lebih memilih genre muzik yang lebih perlahan dan romantis. Lagu ini merupakan rilisan keduanya pada tahun ini selepas lagunya yang bertajuk don’t wanna waste my time. Anda boleh dengarkan kedua rilisan ini di ruangan Spotify dengan carian itshadey

An Honest Mistake – All Over Again

Band pop punk An Honest Mistake semestinya adalah sebuah band kategori senior yang pada saya anda harus terus ikuti. Sekali lagi ingin saya katakan bahawa pandemik ini terlalu banyak mengajar kita termasuk dalam memberikan ruang seluasnya untuk para pemuzik berkarya dan berevolusi dengan lebih kreatif terutamanya secara digital. Mengikut kata An Honest Mistake, tatkala majoriti daripada kita sedang berjuang dengan kesihatan mental sewaktu musim PKP, idea lagu juga telah dikongsi oleh Tomas (gitaris) bersama Darren (vokalis). Inspirasi ini dibina melalui perasaan sunyi, penyesalan dan idea dalam ingin membaiki sesuatu perhubungan. Dengarkan lagu ini dan nantikan juga kemunculan MV mereka akan datang!

Tujuh7 – Detektif Fiksi

Dalam pemerhatian saya, nama band ini adalah unik. Tujuh7 adalah gabungan duo suami isteri Awan dan Luna yang telah memulakan perjalanan muzik mereka sekitar tahun 2019. Melalui rilisan terbaru mereka yang bertajuk Detektif Fiksi ini, Awan banyak menggunakan permainan bahasa sinikal di dalam lirik lagunya. Malah, ianya terserlah di dalam MV lirik yang telah diterbitkan di saluran Youtube DAHAN Music. Keratan MV tersebut adalah sebuah manipulasi dari Filem “Anak Bapak” arahan seniman agung Tan Sri P Ramlee. Jika anda ingin mengenali Tujuh7 dengan lebih dekat, anda juga boleh tonton karya-karya mereka yang lepas di saluran Youtube Tujuh7 di sini

Kesemua lagu yang tersenarai juga akan disimpan di dalam Senarai Putar kami di saluran Spotify. Enjoy!