MENGUPAS PERIHAL SEBUAH KUMPULAN YANG LANGSUNG TIDAK PERNAH SERIUS
Kami pernah berbual bersama frontman The Fridays, Acap F bagi Junklist Digest yang akan dikeluarkan pada bulan 7 nanti. Beberapa minggu kemudian, Acap menghubungi kami sekali lagi, memberitahu bahawa album mereka yang ke-2 akan dibuka untuk tempahan Isnin ini, 31 Julai, Isnin. Ah sayangnya mereka tak gunakan peluang ini untuk membuka tempahan pada hari Jumaat (atau mungkin mereka sudah bosan dengan idea tersebut). Acap menjelaskan bahawa “Hanya tarikh pre-order sahaja jatuh pada hari Isnin. Tarikh rasmi pelancaran adalah pada 2 Julai, bersamaan hari Jumaat. Tapi sebenarnya aku bercadang nak release 4 Julai. Baru Amarika!”. Oleh kerana tiada ruang untuk saya menceritakan hal 4 Julai dan kaitannya dengan Amerika, eloklah sekiranya anda cuba menggunakan khidmat Google bagi merungkai pesanan rahsia Acap tersebut.
Menurut Acap melalui temubual kami yang lebih awal, beliau memaklumkan bahawa tempoh diantara album mereka mengambil masa lebih dari 5 tahun kerana beberapa faktor, dan antara faktor utama adalah mereka langsung tidak pernah mengambil serius tentang diri mereka sendiri. Inilah faktor prominen yang menyebabkan mereka kelihatan antara muncul dan tidak muncul di permukaan.
Namun, kumpulan yang langsung tidak mengambil serius tentang diri mereka ini mengambil masa hanya beberapa jam untuk menyiapkan rakaman album ini, dan rakaman dilakukan secara langsung; bukan track-by-track seperti kebiasaan kebanyakan rockers dan punkers masa kini. Dan perlu diketahui bahawa rakaman lagu secara langsung ini memerlukan kebolehan berpasukan yang sangat tinggi dan Latihan yang lama. Sebarang kesilapan major dipertengahan lagu menyebabkan rakaman terpaksa diulang dari awal sehinggalah mereka berjaya memainkan lagu mereka sendiri sehingga tamat. Di sinilah, banyak kisah ahli kumpulan berkelahi sesama sendiri kerana kesilapan yang berulang-ulang semasa proses rakaman.
The Fridays mempunyai kebolehan teguh dalam mengeluarkan lagu-lagu yang kedengaran seperti sebuah pop alternatif; berada dalam satu garis halus di antara irama rebel punk dan melodi catchy pop, dan menyelitkan struktur rumit math-rock diantara keduanya, beserta kebolehan menyusun lirik yang satirikal dan komikal namun pedas dan tajam terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Itulah kekuatan The Fridays yang masih tidak mampu di-duplikasi oleh mana-mana kumpulan yang berada di dalam Malaysia ketika ini.
Dan dalam usia ahli kumpulan yang boleh dikategorikan sebagai warganegara senior, album ini tidak lekang dengan peribadi nakal; seperti seorang anak yang baru sahaja baligh dan sedang curi-curi belajar menghisap rokok di lorong belakang rumah bersama kenalannya. Anda boleh menghakimi perkara ini dengan hanya melihat tajuk-tajuk lagu mereka. Maksud saya, bukan hari-hari anda boleh mendengar lagu yang bertajuk In The Wilderness The Bear Does Not Reply Text Messages, (There’s No Clean) Underwear, dan Planking Without Passion Looks So Dumb.
Trek pembuka Constellation mempunyai sedikit rencah math-rock a-la This Town Needs Gun atau Chon. Ini sebuah lagu indah dan gemersik untuk mereka yang mempunyai “existential crisis”, atau sekurang-kurangnya untuk mereka yang cuba memahami fungsi galaktik dan kosmik. Berat, sungguh berat. Dan ia banyak lari daripada tunjang The Fridays yang saya kenali. lebih lembut, romantik dan khayai. Saya pasti menjadi lebih fanatik sekiranya mereka mengeluarkan lebih banyak rilisan yang berbunyi sebegini.
The Fridays dilihat masih mengekalkan kekuatan sonik 90-an mereka, seperti vokal berfrekuensi mid-range yang tinggi di bahagian korus dalam trek In The Wilderness The Bear Does Not Reply Text Messages. Juga dalam lagu yang sama, seolah-olah Acap membuat satu homage kepada The Who dengan nyanyian gagap pada baris “I crash and burn right on the sh sh sh shelf”. Acap mengakui perkara ini: “Pandai! Benar! Aku suka Roger Daltey punya nervous energy. Mods zaman tu telan uppers memanjang, and apa yang Roger buat; that nervous, energy menentang yang melulu tu aku suka. Although lagu ni takdalah political atau menentang sangat pun. Lagu ni sebenarnya tentang orang yang suka berada atas pagar. Oh, dan lagu ini juga pasal penentangan terhadap trend goreng pisang cheese yang tak sedap tu. Kalau sedap takpe.” Lagu ini ditulis bersempena 24 Hours of Civil Disobedience dan diinspirasikan daripada bunyian Sonic Youth, namun dalam nuansa yang lebih pop.
The Fridays kerap menyelitkan mesej-mesej yang tajam dalam lagu-lagu mereka. Jadi bagi merasai keunikan lagu-lagu mereka, anda perlu mendengarkan kesemua trek dan cuba mencari mesej-mesej yang tersembunyi seperti kegemaran para ahli teori konspirasi. Dalam (There’s No Clean) Underwear, saya mempersoalkan gitar solo di penghujung lagu tersebut. Ia bukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh The Fridays. Dan ternyata telahan saya benar. Menurut Acap, “Gitar solo tu ialah sebuah statement. Sebagai sebuah band yang anti-rockist, what would be more punk than having Van Halen solos in our song?”. Sungguh menghiburkan. Classic The Fridays.
Selain menempelkan mesej-mesej yang tersembunyi, The Fridays juga banyak membuat lagu berdasarkan tema yang sudahpun sedia ada, seperti Disneyland (It’s All Happening) yang dicipta berdasarkan sebuah blog (kini buku) yang bertajuk 40 Days of Dating karya Jessica Walsh dan Timothy Goodman. Menurutu Acap, buku (dan sekaligus lagu ini) mengisahkan tentang dua rakan yang cuba untuk membina hubungan namun kekurangan mereka berjaya men-sabotaj hubungan tersebut. “So masa diorang punya relationship tu dah menghampiri garis penamat, mereka pergi ke Disneyland dalam cubaan untuk menyelamatkan perhubungan tersebut. It’s about how dating in the 21st century is a game”. Sekali lagi, karya berat. Dipecahkan kepada 3 bahagian (berdasarkan rentak lagu), dangdut melambangkan keseronokan ketika bercinta, chorus a-la Fall Out Boy membawa pergelokan percintaan dan penamat lagu doom stoner adalah perlambangan perhubungan yang menuju penamat. Saya terpaksa mengambil rehat selepas meneliti lagu ini kerana “intensity” lagu ini yang memberatkan kepala.
Lagu-lagu selebihnya di dalam rilisan ini juga sama seperti diatasl; mempunyai mesej tersendiri yang harus diteliti melalui liriknya, dan tidak patut langsung dihakimi hanya melalui tajuknya kerana setiap lagu mempunyai tema tunjang mereka yang tersendiri. Planking Without Passion Looks So Dumb berinspirasikan dari angan-angan kosong untuk menjadi runut latar ketika anda sedang memujuk teman wanita anda untuk tidak menaiki pesawat pulang; 1999 mencekik rahang kita dengan isu peningkatan usia, ketidakmatangan dan kerancuan hormon dalam kehambaran penghujung abad ke-20; Mother, Take Me To Topshop senada dengan Lemon dan Pavilion is for Losers, kali ini menerajang kebobrokan consumerism dan ketuanan Melayu; Cheerleading Is A Sport adalah reaksi setelah menonton sebaris wagam (wayang gambar) lakonan Kirsten Dunst; Simple pula berkisarkan hal-hal rumit perhubungan sedari awal bulan madu sehinggalah kepada hal-hal berantakan dipenghujungnya.
Sebagai sebuah tribute kepada ulangtahunnya ke-10, Pavilion Is For Losers diletakkan sebagai garis penamat rilisan ini. Menurut Acap, trek ini disusun semula sebaik mungkin sebagai satu penghormatan, kerana inilah trek yang membawa The Fridays sehingga ke tahap mereka berada sekarang, termasuklah sehingga muncul di carta-carta XFM satu ketika dahulu.
The Fridays membuktikan bahawa kritikan tidak semestinya perlu marah-marah, dan percintaan tidak semestinya perlu lentok-lentok. “No One Realizes This Is Nowhere” adalah sebuat album ringan jika anda hanya mendayung di permukaannya sahaja; dan untuk anda yang pemberani, anda akan merasai keberatan rilisan ini sekiranya anda menyelam ke pelusuk lirik dan susun atur muzik mereka.
Pra tempah album “No One Realizes This Is Nowhere” kini dibuka. Tempahan dibuka sehingga 1 Julai sahaja.