Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 28/21

Karya baru nampaknya seperti pisang goreng panas minggu ini. Para pemuzik sudah mula aktif semula mengeluarkan lagu dan album baru. Mari sama-sama kita layan 5 lagu baru untuk senarai putar minggu ini. Jangan lupa sokong mereka dengan tekan like karya mereka dan belilah karya fizikal tempatan jika ada. 

Najmi X Nawi – Cahaya

Selepas berkongsi Dalam Gerimis Kita Keliling Kota pada bulan Jun yang lepas, Nawi Zharif meneruskan projek kolaborasinya bersama Najmi Aiman. Kali ini Cahaya seakan lagu yang wajib anda putarkan setiap pagi sebagai “mood booster”. Tak percaya, cubalah sendiri. Lagu ini telah ditulis oleh Najmi Aiman, digabungkan vokal dan brass oleh Nawi Zharif. Intro lagu juga adalah satu permulaan yang menarik dan vokalnya tampak selesa ketika menyanyikan lagu ini. 

Half-Asleep – Au Revoir

Au Revoir adalah salah sebuah lagu oleh Half-Asleep di dalam album mereka yang bertajuk Bangun. MV ini merupakan sebuah rakaman perjalanan persembahan mereka di Pulau Muuido, Korea pada tahun 2019. Festival tersebut telah dinamakan sebagai “It’s A Fest” dan dianjurkan oleh World Domination Inc. Album Bangun ini telah dikeluarkan pada tahun 2018 dan mempunyai 11 lagu kesemuanya. Half-Asleep dianggotai seramai 5 orang kesemuanya, membawakan genre punk rock dan pernah mempersembahkan karya mereka di serata Asia seperti Thailand, Singapore, Taiwan dan Indonesia. 

empty page. – tiada arah (aku & kamu) feat. Saintaclaus

Kita sudah menjengah ke 500 hari sejak perintah kawalan diadakan. Sejak itu juga empty page tidak lokek dalam berkarya dan kali ini kita teruskan bersedih bersama mereka dengan lagu tiada arah (aku & kamu). Lagu ini seakan kesinambungan daripada karya mereka yang lepas, dan paling menarik adalah pengalaman visual 8-bit mereka yang dihasilkan oleh amin2yu. Lirik lagu ini telah dicipta oleh Zic selaku vokalis band ini. Jika satu album mereka hasilkan rentak sebegini, nampaknya kita dah boleh buat parti sendu ni! *nangis ramai-ramai*

Lovethee – Dewi

MV Dewi oleh Lovethee adalah vibe 90an, elemen slacker rock yang mungkin anda dah lama tak layan. Ya, slacker rock adalah bunyi “malas” yang muncul seawal 90an dan dijadikan inspirasi karya bagi band ini. Lovethee turut mengekpresikan karya seperti Sepuh Rasa dan Pikul pada tahun ini. Lagu-lagu berikut boleh dilayari di Spotify dan anda juga boleh lihat perkembangan mereka di saluran Youtube. 

Motherwit – Thunder

Pernahkah anda mempunyai pengalaman berhadapan dengan tipu helah dalam sebuah perhubungan? Jika pernah, anda patut ikuti rilisan terkini dari Motherwit yang bertajuk Thunder ini. Lagu ini telah ditulis dan dihasilkan sendiri oleh Sahaq Ibrahim dan MV ini telah dimuatnaik ke saluran Youtube Naib Johan Records. Kebanyakkan lagu yang dihasilkan oleh Motherwit sememangnya berentak low fi seperti prison of love, parachute dan trek berbahasa melayu seperti amanah dan senjakala. MV ini telah dihasilkan oleh Aqmal Hakim. Tampak minimal tetapi masih ekspresif. 

Masih ada lagi karya baru, kita akan kongsikan di minggu hadapan pula. Selamat berhujung minggu!

telegram