Browse By

Infinity Field: Dream Pop Dari Sisi Lurkgurl

Rutin harian yang menjemukan pasti membuatkan kita mahukan sesuatu yang melampaui garisan selamat (terkurung) dan membuatkan kita ingin ‘hidup’ semula walau dengan cara apa pun. Berikut merupakan sebahagian tema yang kebiasaannya diterapkan di dalam muzik bergenre Dream Pop. EP Infinity Field dari Lurkgurl ini adalah salah satu contoh penghasilan muzik yang berolah daripada genre ini dengan lancarnya.

Menurut Allmusic Guide to Electronica, Dream Pop merupakan subgenre rock alternatif dan neo-psychedelia yang mempunyai tekstur sonic. Ciri-ciri muzik Dream Pop yang kita dapat kenali adalah melalui susunan muzik dengan alunan gitarnya yang diturapkan efek menggema dan dipadukan oleh synthesizer.

Sewaktu pertama kali saya mendengar trek pertama Infinity FieldHolystream ini, saya seakan ‘ditarik’ ke dalam ruang ambiasi yang menenangkan dengan gabungan suara lunak dan menggumam Lurkgurl ini dan alunan gitar yang samar. Selingan seakan bunyi angin menderu seakan mistikal membuatkan lagu ini sesuai untuk dinikmati pada musim hujan atau hari yang perlahan. Lurkgurl, merupakan satu persona penyanyi Khadijah Juswil juga menghasilkan muzik bergenre lo-fi yang dapat di kenal pasti di dalam EP sebelumnya, Deathcare. Bagi saya, mungkin hanya sedikit perbezaan dari segi muzik yang terdapat di dalam Infinity Field dan Deathcare. Trek-trek di dalam Deathcare seakan somber dan lebih perlahan berbanding dengan EP terbaru Lurkgurl ini yang telah dirilis pada bulan Jun yang lalu.

EP Infinity Field memuatkan 7 trek yang hanya berdurasi 20 minit dan 19 saat mampu menjadi sebuah ‘remedi’ bagi anda yang menyukai muzik yang berunsur dreamy ini. Trek Twenty-Four lebih bersahaja dan ringan beserta petikan gitar akustik. Manakala trek The News/Make Believe kedengaran jelas muzik distorted yang membawa vibe lebih rancak berbanding trek lain. Elemen untuk trek ini juga kedengaran seperti muzik bergenre shoegaze yang diketahui sealiran dengan genre dream pop.

Tajuk untuk trek F.32-Y.I.H.B.A.N. agak unik kerana sejujurnya saya sendiri tidak tahu cara yang betul untuk menyebutnya. Trek ini adalah satu-satunya trek yang hanya mempunyai  sebuah perbualan pada intro dan selebihnya menampilkan bunyi  instrumental sepanjang 2 minit.

Alunan melodi gitar mengkhayalkan dan suara lunak berbisik Lurkgurl di dalam trek Chain’s End ini sekali lagi membawa saya ke ruang ambiasi yang lain. Selingan bunyi sorakan kanak-kanak pada penghujung trek ini seakan memberitahu inilah kesudahan EP Infinity Field.

Pada keseluruhan album ini, hanya perasaan yang menenangkan sahaja yang muncul mungkin juga vokal seakan ‘lullaby’ Lurkgurl membuatkan EP ini patut dikongsikan dengan semua pembaca. Untuk menikmati keseluruhan EP ini, anda boleh dengarkannya di Spotify, Bandcamp dan juga SoundCloud. Anda juga boleh melawat media sosial Lurkgurl di Instagram beliau – @lurkgurl

Semoga muzik yang diperkenalkan dapat membantu untuk melalui hari-hari anda!