Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 29/21

Kemunculan pemuzik dengan nama-nama baru seperti BER_, Oddweek dan Daullat mewarnai laman muzik alternatif kita minggu ini. Putarkannya sepanjang minggu dan rasai sendiri kelebihan hasil muzik mereka!

BER_ ft. Leaism – Senja Temu Lelah

Mindblown. Perkataan pertama tersebut ditujukan buat lagu Senja Temu Lelah ini. Ianya adalah satu idea yang baik oleh BER_ malah, ditemukan pula dengan suara lunak Leaism. BER_ adalah gabungan Ruviyamin, Izhar Syazwan dan Afif “Apip” Waqiyuddin. Konsep muzik rimba dan jiwa tropika mungkin sedikit niche tetapi ianya seperti pelengkap kepada muzik alternatif ini. Berbalik kepada BER_, mereka sebenarnya sudah pun mempunyai hasil muzik mereka di dalam album Anais Patah Hati sebagai Original Motion Picture Soundtrack. 

Budak Nakal Hujung Simpang – Labu

Kepelbagaian instrumen di dalam sesebuah band bukanlah mudah, tetapi Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS) terkenal dengan keramaian ahli muzik dan identiti nusantara dan reggae mereka. Katanya tahun ini mereka akan meneruskan usaha dengan album selepas Bumantara pada tahun 2018. Permulaan rilisan Labu ini sahaja sudah cukup memanggil semula kita untuk memutarkan lagu-lagu mereka kembali. Labu kini telah berada di platform Spotify, Apple Music dan lain-lain.

Oddweek – Darkness

Oddweek adalah sebuah band yang berasal dari Perak. Projek ini merupakan sebuah projek Haziq Hamsa dan sebuah permulaan baru melalui lagu Darkness. Darkness adalah sebuah ekspresi tentang perasaan yang sama-sama kita lalui pada masa kini, iaitu melalui sebuah pandemik yang tidak tahu mana penghujungnya. So, when will this over then? Oddweek adalah bunyian alternatif rock yang bakal mewarnai gig scene kita, jadi teruskan berkarya Oddweek!

Daullat – Hanyut

Di dalam ruangan muzik alternatif, postrock adalah satu elemen yang masih berjalan dengan baik sehingga kini dan ianya diteruskan oleh sebuah band dari Sungai Petani, Kedah iaitu Daullat. Daullat adalah hasil gabungan idea Ewan (gitar), Yuzlan (gitar), Yus (bass) dan Affiq (drum). Pada saya, pembawakan Daullat di dalam Hanyut seolah membawa kita ke ruang khayal dan apa sahaja yang kita ingin bayangkan bersama muzik mereka. Pengaruh mereka melalui Explosions In The Sky, Mogwai dan band postrock lokal seperti Deepset nampaknya membantu karya mereka. Katanya EP akan menyusul? Sama-sama kita nantikan. 

Gambar ihsan: Daullat

Zulhezan – Pĕrmaidani

Zulhezan nampaknya seperti memberikan buah tangan kepada kita melalui Pĕrmaidani. Karya asal Permaidani adalah milik Aris Ariwatan, seorang penyanyi pada zaman 90an. Lagu ini sering bermain di corong radio dan mengusik jiwa dengan lirik ketuhanannya. Susunan dan ubah suai citarasa Zulhezan tidak kurang hebatnya melalui kegemersikan suara dan tambahan instrumennya. Pada saya, Zulhezan adalah unik. Tidak boleh didapati di mana-mana. Jika anda baru pertama kali mendengar beliau, anda juga boleh lakukan carian album \\ dan baca ulasan album tersebut di sini.