Browse By

UOKA DISTRICT: Jelmaan Catan Dalam Bentuk Muzik Melalui Album ‘Mendengar Lukisan’

Sekitar tahun 2000, sumber hiburan utama remaja banyak berpaksi kepada radio, tv, gig, dan komik. Antara komik yang pastinya menjadi bahan bacaan wajib adalah Gempak, sebuah majalah grafik kartun dimana kebanyakan pelukis mereka mempunyai strok lukisan ala pelukis-pelukis Jepun.

Dan sekiranya anda pernah membaca majalah Gempak, anda pastinya mengenali kartun Under 18; sebuah siri kartun yang berputar pada kisah zaman persekolahan menengah dan isu-isu keremajaan. Sekali imbas seperti Crow Zero dalam kearifan tempatan. Yang membuatkan siri ini lain daripada lain adalah cara penceritaanya yang kadang-kala menyelitkan bait-bait lagu sebagai bayangan kepada lagu latar terhadap sesetengah situasi.

Memegang album UOKA DISTRICT ini memutarkan kembali nostalgia tersebut. Bezanya kali ini saya benar-benar boleh mendengar muzik yang dimainkan. Secara pokoknya komik ini adalah sebuah buku lirik, namun diolah dalam bentuk panel-panel grafik kartun, dengan sesetengah babak mempunyai jalan cerita yang boleh dinikmati. Idea UOKA DISTRICT ini mungkin bukanlah sebuah idea baru, tetapi sangat jarang dilihat untuk direalisasikan oleh pemuzik semasa, lantas menjadikan ia sebuah idea segar dan unik.

Idea ini menunjukkan bahawa mereka berfikir jauh dalam memastikan pembeli dan pendengar album mereka mendapat kepuasan dari pelbagai sudut; kepuasan fizikal, kepuasan visual dan kepuasan audio. Apatah lagi dalam zaman digital ini dimana kebanyakan pemuzik mengambil enteng kepentingan meletakkan lirik dalam album mereka ataupun keluaran digital mereka.

Pembeli komik ini boleh mendengarkan album secara atas talian sambil membelek komik mereka, dan menyanyi bersama dengan lirik yang sudah dimuatkan. Satu pujian buat UOKA DISTRICT yang menggabungkan pengalaman fizikal dan digital pada satu masa yang sama. Komik ini dilukis oleh beberapa pelukis termasuklah salah seorang ahli kumpulan mereka sendiri, iaitu EL UOKA, Artsick Vortigern, Sunny Yanie, Fakhrul Anour, Faizol Haini, dan HALIGO.

Apa yang membuatkan pengalaman pembacaan saya sedikit terganggu adalah strok lukisan yang terlalu pelbagai dalam satu lagu yang sama, seperti dalam grafik ‘Skala Hidupku’. Berlainan dengan lagu ‘Lukisanmu’, saya dapati bahawa membaca komiknya sambil mendengar lagu ‘Lukisanmu’ ini lebih lancar dan lebih berkesan kerana penggunaan strok yang sama dan konsisten.

Majoriti lagu dalam album ‘Mendengar Lukisan’ ini padat dan sarat dengan muzik rock yang mudah diterima umum, dengan susunan verse-korus-verse-solo-korus seperti kebiasaan. Namun lagu seperti ‘Tali-Tali Patung’ menyaksikan cubaan UOKA DISTRICT menyimpangkan permainan mereka kearah rap-rock. Harus dikatakan sebuah percubaan yang memberikan warna kepada keseluruhan album namun boleh dibaikpulih dan diperketat pada masa akan datang. Manakala ‘Lukisanmu’ pula digalas dengan utuh sebagai sebuah rock ballad yang mudah dibayangkan menjadi sebuah runut latar bagi drama petang, baik dari segi gubahan mahupun susunan lirik.

Walaupun tidak mempunyai kekuatan yang turn naik dalam melodi vokal, kekuatan utama UOKA DISTRICT yang perlu diberi perhatian adalah gubahan lagu mereka. Album Mendengar Lukisan menyaksikan bahawa mereka fasih dalam menggubah dan bermain rentak rock, dengan solo yang mengaum dan tenanga yang tinggi.

Album ini turut melibatkan beberapa kerjasama dengan artis yang lain seperti DJ Yang2 yang memainkan scratch dalam lagu ‘Masih Berdiri’ dan ‘Yang Tiada’, Fariq Frequensi selaku rappers dalam ‘Tali-Tali Patung’ dan Hasrul PG yang mengemudi vokal dalam ‘Datang & Pergi’. Kekuatan vokal Hasrul PG begitu menyerlah dalam lagu ‘Datang & Pergi’ sehinggakan lagu ini menukar terus nuansa album Mendengar Lukisan secara keseluruhan, dengan lantunan suara yang lebih kehadapan dan ‘bulat’.

Album ini boleh didapati di sini.