Browse By

SENARAI PUTAR HUJUNG MINGGU 07/21

Hello geng! Kita kembali dengan hujung minggu yang santai dan semoga anda telah mendapatkan rehat yang cukup. Sudah pastinya anda menginginkan lagu-lagu yang baru di dalam playlist anda, oleh itu Senarai Putar Hujung Minggu Ke-7 kali ini amat mengalu-alukan karya tempatan baru di dalam scene alternatif ini. Tanpa buang masa, mari ikuti senarai di bawah khas buat anda.

Here Comes July (HCJ) – Juwita

Juwita atau dieja sebagai juita membawa maksud kepada nyawa, buah hati ataupun kekasih. Begitulah sinonimnya lagu ini kepada anda jika anda adalah penggemar siri drama Takdir Yang Tertulis yang baru sahaja selesai ditayangkan di tv3. Bagi yang belum mengenali mereka, HCJ merupakan sebuah band yang dianggotai oleh Wan Lukman (vokalis), Arfan Zainuddin (lead guitar), Adam Hariz (rythm guitar), Haziq Hashim (bass) dan Irfan Ismail (drum). Jika anda menonton MV lirik ini, harapkan bersabar kerana MV ini mempunyai motion repeat yang terlalu kerap, tetapi jika anda memerlukan lagu cinta yang romantik dan manis, ini adalah trek yang sesuai untuk anda.

Yang menariknya tentang anak-anak muda ini, selain daripada lagu baru bertajuk Juwita, mereka telahpun memulakan aktiviti mereka bersama perniagaan tempatan dengan hashtag #HCJSapotLokal. Sokongan ini adalah untuk membantu peniaga di kedai fizikal serta atas talian. Jika anda adalah yang mereka cari, jangan lupa cari HCJ ini supaya mereka boleh lakukan aktiviti cover lagu di kedai anda. Syabas HCJ atas niat murni ini dan teruskan berkarya!

Saskia – Cold

Saskia adalah nama band yang unik. Sehingga kini saya masih tertanya-tanya maksud sebenar Saskia ini. Melihat profil mereka, fokus band ini dikatakan lebih kepada pop rock. Jika anda meneliti lagu Cold ini, susunan dan gubahan lagu akan membuatkan hujung minggu anda menjadi segar dan uplifting. Ianya adalah minimal dan moden, serta sesuai untuk pendengar generasi semasa. Ianya juga datang dengan teknik pengulangan chorus yang berkali-kali, lalu menyebabkan iramanya melekat didalam kepala sebaik saja pertama kali mendengar.

Segala gerak kerja band ini adalah hasil daripada Nik (frontman & bass), Izmi (drum), Akmal (gitar) dan Anih (gitar). Kemunculan mereka sejak akhir tahun 2016 bukanlah sesuatu yang baru, tetapi diharapkan mereka terus berkarya dan mengketengahkan bakat mereka kerana hasil Cold ini punyai daya tarikan yang tersendiri. 

Hani & Zue ft Heidi Moru – Hanya Aku Yang Tahu

Trek seterusnya ini menampilkan Hani & Zue serta Heidi Moru dengan tema melankoli. Penyanyi duo Hani & Zue ini sememangnya terkenal dengan kombinasi vokal yang harmoni dan Heidi Moru adalah penguat jiwa kepada Hanya Aku Yang Tahu ini. Boleh jadi anda akan mencari tisu kerana trek patah hati ini memang luar biasa. Hani & Zue pernah berkolaborasi bersama Yuna dalam penghasilan MV Alone pada tahun 2018 manakala Heidi Moru pernah tampil dengan lagu Kata Hati pada tahun yang sama.

Namun, harus diingatkan bahawa trek pendek selama 2 minit ini tiada di mana-mana platform atas talian. Jadi, anda dinasihatkan untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan album mereka “Bukan Gadis Sembarangan” di laman web www.haniandzue.com. Beli sekarang agar anda tidak ketinggalan mendengar semua karya mereka bersama artis-artis yang lain seperti Najwa Latif, Eyza Bahra dan Hanie Soraya. Great job, ladies!

Weng – Shine Bright

Pertama kali mendengar Weng menyanyikan Shine Bright ini, sejujurnya tidak percaya pula bahawa Weng adalah seorang singer song writer. Trek Shine Bright ini mungkin telah kehilangan bahagian horns di dalam lagunya, tetapi ini tidak bermakna elemen ska juga telang hilang. Terasa kagum sebenarnya apabila trek ini membawa mesej yang positif tentang rasa tidak putus asa terhadap sesuatu. Malah fokus utama Weng juga adalah berjuang melawan stigma isu kesihatan mental. Selain itu, segala usaha kerja seni digital kulit album dan MV lirik adalah usaha beliau sendiri sewaktu pandemik tahun lepas. Kreatif bukan? Jika anda rindukan koleksi lagu ska, dapatkan koleksi EP “Is This Even Skapunk” terbitan Nervous Records bersama Tim ini segera dan jangan lupa untuk tag mereka di Instagram dan Facebook. 

Rotan Chippers – Mekar

Mari kita berkenalan pula dengan 4 jejaka yang bergabung di dalam sebuah band yang dinamakan sebagai Rotan Chippers. Keluaran lagu baru mereka iaitu Mekar sedikit berbeza dengan karya awal mereka seperti Don’t Stop dan Break The Ice. Sepertinya mereka mahu bereksperimen dengan lagu berbahasa melayu dan perlahan-lahan mengetepikan elemen funky didalam lagu mereka. Intro yang agak sedikit dark tetapi bila diteruskan, rupanya up beat pada hujung minit kedua. Katanya mereka sedang berusaha ke arah album debut tahun ini. Mari kita sama-sama nantikan karya mereka!

Maka, itu sahaja senarai putar buat anda minggu ini. Sejujurnya, saya masih kagum dengan kegigihan para pemuzik untuk masih meneruskan ruangan kreatif ini dengan karya mereka. Pada hemat saya, karya mereka seharusnya dikongsikan bersama pendengar agar ruang penambahbaikan bagi sesebuah band itu dibuka dengan baik. Teruskan berkarya buat semua pemuzik dan jangan lupa tag kami di platform media jika anda ingin berkongsi karya baru kepada kami. Jumpa lagi!