Browse By

Jelajahi “Bedroom Pop” Nice oleh Imzzz

Muzik berevolusi mengikut citarasa pendengar, dan seraya itu genre Bedroom Pop seakan mendapat tempat di kalangan Gen Z terutamanya lagu-lagu yang berunsur lo-fi. Bedroom Pop merupakan genre yang membawa muzik DIY kerana hampir keseluruhan proses merekod lagu atau album disiapkan sendiri di rumah, dengan menggunakan alatan minimal seperti laptop, gitar dan ada kalanya synth. Genre ini membawa mood bersahaja dan santai untuk didengarkan pada setiap masa. Sebelum ini  mungkin segelintir kita mengenali watak Lo-fi Girl dan pilihan lagu-lagu lo-fi hanya melalui Youtube, pilihan lagu yang membuatkan kita berasa tenang untuk menyiapkan kerja-kerja sendiri atau mengulangkaji pelajaran. Genre ini tidak lagi terhad kepada penghasilan lagu-lagu dari luar negara malah semakin dipopularkan pemuzik alternatif tempatan dalam pembikinan muzik.

Jika anda meminati muzik genre bedroom pop, album Nice yang telah dikeluarkan oleh penyanyi Imzzz ini akan membuatkan anda jatuh cinta pada pendengaran pertama. Penyanyi ini mula dikenali di platform Souncloud melalui beberapa lagunya yang dimuatkan dalam EP Gigi Bungsu seperti trek Tea dan My Wait is U. Pembikinan album Nice telah mengambil masa selama 4 hingga 6 bulan iaitu ketika kita berada pada PKP yang pertama, membuktikan seni kreativiti tidak berhenti walaupun menghadapi beberapa kekangan.

Menurut Imzzz, beliau mula menjadikan muzik sebagai nadinya ketika beliau berusia 13 tahun setelah mula belajar bermain gitar milik kakak beliau, dan mula membuat cover lagu beberapa penyanyi luar negara seperti Coldplay hinggalah Elliot Smith. Gaya muzik dan suara Imzzz mengingatkan saya kepada penyanyi luar negara yang juga membawa genre seperti ini, iaitu Rex Orange County dan No Vacation.

Album Nice memuatkan 12 trek yang berdurasi 28 min dan 27 saat ini bukan sahaja bergenre bedroom pop, malah mempunyai vibe akustik yang jelas. Cover art untuk album Nice ini pula direka oleh @junokeng boleh dilihat di sosial media Imzz – @imzzztagram. Seperti figura di dalam cover album tersebut, keseluruhan album ini dapat buat anda terawang-awangan di dalam dimensi di mana masa seakan bergerak perlahan.

Trek Real dan Here I Am merupakan antara  trek kegemaran saya dalam album ini, mungkin juga kerana vibe yang dibawa Imzzz ini melalui bunyian gitar dan gaya nyanyiannya yang sesuai dimainkan untuk anda pada waktu 4 pagi yang tenang atau menjadi peneman anda di dalam perjalanan ke tempat kerja. Menurut Imzzz kedua-dua trek ini adalah lagu patah hati tetapi trek Real dibuat lebih ke arah vibe yang muram, manakala trek Here I Am mempunyai vibe poppy dengan petikan gitar yang lebih keras.

Bunyian burung yang disertakan di dalam trek X-ray, membuatkan saya rindu akan suasana pagi pada hari hujung minggu di mana selalunya pada waktu sebegitu, suasana agak sejuk namun selesa untuk beriadah bersama kawan-kawan. Trek ini juga kedengaran seakan dreamy pada gaya muzik yang ditampilkan.

Album ini memuatkan pelbagai variasi bunyian namun masih mengekalkan vibe bedroom pop tersebut, seperti bunyian synth kedengaran jelas di dalam trek Fri/Ends dan trek Mother pula kedengaran agak personal dan mellow dengan bunyian gitar akustik.

Secara keseluruhan, album Nice adalah album berbahasa Inggeris yang santai dan tidak berat untuk dinikmati. Hampir kesemua trek yang dimuatkan tidak akan buat anda berasa jemu untuk dimainkan berulangkali. Tambahan pula, durasi setiap trek yang pendek buatkan anda tidak sedar bahawa trek sebelumnya telah beransur kepada lagu seterusnya.

Penemuan lagu-lagu yang berkualiti dalam kalangan pemuzik alternatif tempatan ini membuka mata saya kerana mungkin ada banyak lagi penyanyi dan band yang belum diketahui, yang mempunyai bakat yang besar. Tambahan pula, segilintir persembahan penyanyi tidak diuar-uarkan dengan begitu meluas.

Pada bulan Ogos ini bakal berlangsungnya sebuah festival secara online, iaitu Freedom A(r)t Home Fest – @freedomarthome yang bermula pada 9 Ogos sehingga 15 Ogos ini mempunyai line-up yang agak menarik dalam Acoustic Session. Untuk anda yang tidak pernah mendengar muzik Imzzz, anda mesti hadir bagi menikmati persembahan Imzzz pada slot hari Selasa (10 Ogos). Jangan lupa juga untuk menempah nama anda di laman web Freedom A(r)t Home ini bagi menikmati pelbagai sesi menarik yang menanti anda!

Untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai Freedom A(r)t Home ini, kami juga telah menyediakan panduan lengkap bagi rujukan anda. Selamat merayakan!