Terbitan Pilihan 2022
Sebuah tahun yang separa mati, separa hidup.
Separuh masa pertama tahun ini seolah gerakan alternatif sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang terbitan. Hanya beberapa terbitan yang muncul pada awal tahun, dengan A. Limin yang memecah tembok melalui Sesudah Melakar Langit, dan gerabak alternatif kekal perlahan sehinggalah pertengahan tahun, dengan kemunculan terbitan dari kumpulan seumpama Mascot, Piri Reis, Spooky Wet Dreams – dan menjadi semakin rancak menuju hujung tahun dengan terbitan dari Couple, FUAD, Capt’n Trips and The Kid, Rawi dan banyak lagi.
Kita ambil sahaja ini sebagai indikasi bahawa muzik alternatif dalam fasa rawatan dan beransur pulih. Mungkin jalan masih panjang tetapi sekurang-kurangnya kami gembira kerana kami perlukan masa yang banyak untuk meneliti setiap terbitan yang keluar.
Berikut adalah terbitan pilihan kami untuk tahun 2022, tidak mengikut sebarang aturan atau urutan:
Hamba – Permulaan
Ringkasan:
Saya yakin, kalau Hamba adalah seorang kelahiran Indonesia, pasti muziknya dah diangkat gila-gila oleh orang Malaysia. Apa bezanya? Hamba ada kekuatan yang sama, atau sebenarnya lebih hebat daripada kebanyakan pemuzik dari seberang yang sedang diangkat-angkat oleh orang Malaysia. Terbitan ini membawa Hamba lari daripada persona asal beliau yang lebih bergantung kepada permainan gitar akustik.
Idea terbitan ini mudah sahaja. Lagu yang sama, tapi ada dua versi. Satu versi terang, dan satu versi gelap. Ia bukan idea yang supernova tapi pelaksanaan Hamba sangat cemerlang. Beliau betul-betul mampu merubah lagu yang sama menjadi lagu yang berbeza. Kalau didengar sebelah menyebelah, hanya liriknya sahaja yang mampu jadi bukti bahawa ia lagu yang sama berbanding versi yang lainnya. Hamba bikin intepretasi lagunya sendiri. Bukan syok sendiri, tapi satu penyataan bahawa dia punya padang adalah lain daripada orang lain.
The Electric Ape In Stereo – Before the World Turns Dark
Ringkasan: The Electric Ape In Stereo kembali pasang tapak setelah lama mendiamkan diri, membuktikan mereka masih memegang tampuk mahkota agung muzik post-rock berat di Malaysia.
Keseluruhan album adalah satu seruan ritual memanggil awan gelap menyelebung seluruh jajaran Ipoh dan landskap gunung-ganangnya. Spacious dan grande, ia muzik latar pra-perang antara manusia dan robot kecerdasan buatan (A.I). Seluruh album membawa suasana tegang semacam kita terapung antara ketidak-pastian huru-hara. Mudah saja mereka merancu perasaan kita dengan membuatkan kita jadi tak senang duduk. Berat dari segi bunyi, tema dan kekasaran. Setiap permulaan lagu mempunyai hook tersendiri yang akan meyakinkan kita untuk mendengar sehingga ke hujung, bukan sekadar bunyi bising yang bergaung dengan reverb.
Sudah agak lama kita tidak disajikan dengan bunyian post-rock berat beragam kasar sebegini, semenjak pembubaran Reset To Zilch. Post-rock berat, post-metal dan math-rock adalah tiga perkara berbeza, yang tak perlu dihuraikan panjang disini. Bukti jajahan mereka dalam gerakan post-rock Malaysia terzahir dengan tempahan pra-jualan yang tidak lagi bersisa, sebelum mereka sempat mengadakan acara perasmian album ini.
Terrer – Kaum Lelaki
Ringkasan: Sebuah goncangan terhadap status quo dan adat bergenerasi melalui tusukan kritikan tajam berlapikkan bantal.
Amat mengejutkan, Hang Loklaq – lagu tunggal mereka, adalah lagu yang paling canggung dalam keseluruhan EP ini. Sangat out-of-place dan terlalu-tiba-tiba. Semasa Hang Loklaq dikeluarkan, rata-rata menyamakan mereka dengan No Good tetapi versi utara. Tetapi bila semua lagu dari terbitan ini diputarkan, anda akan merasakan bahawa tidak ada kesalahan yang lebih teruk yang anda pernah buat sepanjang hidup anda selain merasakan mereka adalah No Good versi utara.
Identiti Terrer lebih menonjol dan unik dalam lagu-lagu lain selain daripada Hang Loklaq. Vokal mendayu berlenggoknya sungguh nyaman, macam dengar orang bergurindam. Punk gurindam? Cerita dalam lagu-lagu mereka digabung dan ditafsirkan dalam bentuk visual di kulit hadapan EP ini.
Piri Reis – Ritma
Ringkasan: Karya yang mengubrak-abrik kotak fikir dan mencekik perasaan.
Kebanyakan lagu dalam album ini hanya sekitar 1-2 minit, namun ia adalah minit-minit keinzalan ringkas yang kita semua perlukan. Euphoria pra-matang yang terlahir hasil dari pekikan amarah Piri Reis ni sukar untuk diterangkan secara senonoh dalam sebuah tulisan. Samada kita faham atau tidak apa yang ditujah oleh penjerit dalam album ini bukanlah sebuah perbincangan yang perlu. Ini tentang gelojak kita terhadap semua perkara yang meninja (read:tahi) dalam kehidupan. Piri Reis menjerit bagi pihak kita.
Jeritan vokal yang bertaut dengan line bass hangit bergaring menyebabkan gitar kedengaran sangat sopan dan menunduk. Seolahnya suara vokal yang disambungkan bersama pedal distortion, manakala gitar hanya mengharapkan gain daripada amp. Ritma’ kedengaran macam tempoyak, tak terlalu mentah dan tidak juga terlalu polish. Cukup masam dan manis yang boleh ditelan.
Rawi – Malay New Order
Ringkasan: Mekarkan kembali irama asli dalam gubahan yang lebih semasa dan ranggi, menjadi titik equilibrium antara moden dan traditional.
Terbitan yang hadir ketika kumpulan ini sendiri dah bubar pun. Atau sekurang-kurangnya, melalui Twitter rasmi mereka, mereka sedang membina semula kumpulan mereka tanpa vokalis asal. Apa pun alasannya, kemungkinan untuk kita mendengarkan lagu-lagu ini dimainkan secara langsung hampir sahaja menjadi mustahil. Kualiti terbitan, gubahan, lunak suara dan lenggok, permainan dan segala-galanya dalam album ini akan menelan segala kekaguman kita terhadap muzik barat. Diakhirnya, kita tunduk akur bahawa kita ada bunyi tersendiri yang lebih terkait dengan nurani kita.
Malay New Order adalah paksi baru irama asli moden. Ini bukan album – malah sebuah pengumuman, atau order, bahawa sesiapa sahaja yang mahu menggubah lagu asli menjadi lebih moden, maka album ini adalah rujukan ulung.
A. Limin – Sesudah Melakar Langit
Ringkasan: Terbitan yang mengabsahkan kematangan A. Limin dalam penulisan dan gubahan. Lagu-lagu dalam Sesudah Melakar Langit lebih bergelabut dan lebih bertindan berbanding album sebelumnya, Adam.
Sesudah Melakar Langit kedengaran seperti mereka semua mengambil kesemua masa yang mereka perlu untuk berhati-hati dalam meneroka dan memutuskan apa yang mereka mahu zahirkan. Lapisan-lapisan sonik yang diletakkan dalam lagu mereka bukanlah sebuah lapisan yang diletakkan ‘just because.’ Ia adalah keputusan yang dirancang. Letaklah apa genre sahaja kepada mereka; ballad, pop, rock – semuanya mereka akan hidangkan dalam sebuah buffet experimental dan sonik yang berlapis-lapis.
Joyberry – Soundtrack From The Future: Trip The Light Fantastic
Ringkasan: Ini adalah apa yang terjadi kalau The Strokes dan Daft Punk membentuk sebuah kumpulan.
Joyberry buktikan yang muzik elektronik boleh sahaja untuk lari daripada bunyian arpeggiated synth yang membosankan. Mereka memaksimumkan penggunaan bunyian synth dan sample yang pelbagai. Mereka fasih bahawa kalau nak bikin dance music, kekuatannya wajib datang dari gubahan bass dan drum. No less than that.
Seluruh album kaya dengan lapisan bunyi. Agak memenatkan untuk didengar sekali harung, tetapi berbaloi untuk mengambil masa bagi mendengarnya. Anggap sahaja ini amaran awal yang telinga anda pasti penat, tetapi nikmatilah dengan penuh bahagia dan pasti telinga anda akan bisikkan terima kasih kepada anda selepas itu. Puas!
Mascot – Permulaan
Ringkasan: Terbitan ngah (sophomore) yang membawa hanya membawa Mascot terus ke atas dan menolak mereka terus ke hadapan.
Walaupun masih baru tapi Mascot kekal promising baik dalam rakaman mahupun atas pentas. Terbitan ini sendiri adalah sebuah naik taraf yang sangat jauh daripada terbitan pertama mereka terutama dari segi kualiti. Walaupun Permulaan bukanlah berada dalam kualiti terbitan yang terbaik, tetapi ia sudah cukup untuk menyampaikan apa yang mereka mahu buktikan. Pertama, penulisan lebih penting daripada segala mak nenek mixing/mastering. Lagu kalau dah sedap, rekod dalam penjara guna telefon pun boleh jadi siulan orang ramai. Kedua, mereka boleh maju jika mereka mahu.
Mascot merancang kejayaan mereka, dan itulah yang diraih. Kalau ini adalah satu permulaan, maka tugas berat untuk mereka naik taraf diri mereka untuk perjalanan seterusnya atas sebab harapan yang tinggi dari pendengar. Malah mereka juga patut berhati-hati kerana ada beberapa lagu dalam terbitan ini yang menggangu perjalanan semasa mendengar keseluruhan album.