Pita Bandung – 13 Mac 2022
Penghasilan muzik tidaklah semudah yang disangka. Biarpun kemunculan band ataupun artis di dalam ruang muzik alternatif masih tumbuh seperti cendawan, tetapi apa yang penting adalah pengekalan momentum rilisan dan karya baru setiap tahun sehingga ianya benar-benar matang. Kematangan tersebut dapat dilihat melalui penambahbaikan bunyi yang dihasilkan serta keseluruhan persembahan di pentas. Pita Bandung kali ini membawakan rilisan baru daripada Abjad Aksara, Bear Scouts, Mascot dan Patriots!
Abjad Aksara – Bayang-Bayang
Kebiasaanya, penciptaan muzik adalah sering kerana minat. Begitu juga dengan Abjad Aksara atau ingin dikenali sebagai Abjad. Mereka adalah gabungan empat tenaga iaitu Adam Harris (vocals, guitar), Sairul (guitar), Ekmal Harris (drums), and Hazrel Hazeq (bass guitar). Mereka secara aslinya adalah sekumpulan rakan baik di Kuantan di sekitar tahun 2009, dan akhirnya bersatu semula di Lembah Klang pada tahun 2017. Berkolaborasi bersama Luncai Emas Sdn Bhd, lirik lagu ciptaan Adam Harris ini mempunyai mesej yang tersendiri untuk pendengarnya.
Bear Scouts – Come Clean
Bear Scouts mempunyai vokal yang unik, tetapi fun dalam masa yang sama. Trek baru daripada mereka ni merupakan salah sebuah rilisan baru di dalam EP mereka akan datang. Mereka menamakan EP mereka sebagai “Dying For A Comeback” yang akan dikatakan akan keluar pada tahun ini juga. Dengan membawakan elemen indie pop, Come Clean mempunyai rentak yang menyenangkan pendengar, sama seperti lagu mereka yang sebelum ini seperti Make You All Mine, The Pills (I Know) dan RTOT. Lagu Come Clean ini adalah sebuah penulisan Zayaana Shazlene dan dihasilkan oleh Anuar Roslan.
Mascot – Pulang
Mascot adalah sebuah projek muzik milik Aiman Z. yang berasal dari Kuala Lumpur. Mascot telah mengeluarkan EP Penutup baru-baru ini dan lagu Pulang merupakan salah sebuah lagu dari 4 buah lagu kesemuanya. Mengikut kata Aiman, lagu ini mempunyai inspirasi daripada band Tiny Moving Parts, secara spesifiknya lagu Always Focused. Kesemua track di dalam EP Penutup ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Oleh itu, jika anda adalah peminat band emo yang jujur dengan lirik dan rentak lagunya, ikuti lagu ini serta EP baru Mascot ini di platform muzik anda.
Patriots – Remnant
Remnant atau maksudnya tinggalan adalah sebuah lagu baru daripada Patriots pada tahun ini. Terkenal sebagai band yang membawakan elemen post hardcore dan j-rock, momentum Patriots di dalam lagu ini kekal tinggi dari permulaan lagu hingga akhir. Pembawaan lirik dwibahasa daripada mereka juga sedikit pun tiada rasa kekok. Malah, lagu ini dijelaskan oleh Patriots sebagai sebuah lagu yang membawakan kematangan kepada mereka selama 11 tahun bermain muzik. Band ini juga turut mengetengahkan identiti mereka dengan calitan “Blue Robins” pada muka yang sinonim setiap kali di persembahan. Ianya merupakan simbolik bagi meraih rasa keyakinan di pentas.
Kesemua lagu yang disenaraikan dalam Pita Bandung akan berada di Spotify kami. Ikuti kami di sini.