Alat Muzik Tradisional Melayu Dalam Lagu Band Alternatif
Muzik Tradisional Melayu merupakan warisan yang berkait rapat dengan adat dan budaya orang melayu sejak zaman kesultanan melayu terdahulu. Dalam zaman sekarang ianya masih dipersembahkan namun kebiasaannya hanya di majlis-majlis rasmi seperti majlis perkahwinan, persandingan, persembahan silat atau yang melibatkan Raja-raja. Kebanyakannya pula hanya dimainkan dari rakaman dan bukannya secara langsung oleh pemain alat muzik tradisional.
Antara alat muzik tradisional yang anda boleh cuba pelajari adalah seperti seruling, serunai, rebana, gambus, rebab, kompang, gong, dan gamelan.
Biasanya alat muzik ini digunakan dalam lagu-lagu asli tradisional. Macam mana pula kalau disuntik dalam genre yang berlainan? Berikut adalah 5 lagu yang boleh anda dengarkan:
Hacktick! – I Bet You’ll Never Be As Flamboyant As Mo
Walaupun lagu ini merupakan sebuah lagu pop-punk, mereka tetap berani memasukkan alat muzik tradisional dalam lagu ini iaitu kompang dan gamelan pada minit ke 2:36. Proses rakamannya hanya menggunakan sebuah kompang. Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai proses rakamannya, boleh tonton temubual kami bersama Hyke dalam siri Bedah Lirikal.
Sekumpulan Orang Gila (SOG) – Terbanglah
Lagu ini merupakan salah satu trek dari album Dermaga yang diriliskan pada tahun 2018. Band ini cukup dikenali dengan elemen metal & nusantara dalam setiap album yang mereka hasilkan dan ianya sudah menjadi elemen yang tak dapat dipisahkan dari SOG. Dari awal lagu kita disajikan dengan permainan gamelan yang mendayu dan membawa ke build-up lagu ini sehingga ke akhir. Penggunaan alat muzik tradisional yang lain contohnya seperti seruling turut digunakan pada lagu-lagu lain dalam album Dermaga.
Sang Rawi – Zaffin
Penggunaan gendang dan seruling merupakan elemen alat muzik tradisional paling banyak digunakan dalam lagu ini dan juga pada lagu lain dalam album mereka, Malay New Order. Dan bagi saya secara personal, penghasilan album ini adalah sebuah masterpiece dalam rilisan muzik moden yang memasukkan elemen muzik nusantara dan muzik tradisional melayu. Saya membayangkan diri saya menghadiri persembahan mereka secara langsung sambil berjoget dan berzapin namun sayangnya, peluang tersebut hampir mustahil.
Margasatwa – Gemersik Hilai
Margasatwa antara band yang membawakan elemen nusantara dalam karya mereka dan bagi album pertama mereka turut terdapat penggunaan alat muzik tradisional namun tidaklah secara meluas. Lagu ini dibuka dengan permainan gendang atau mungkin rebana dan ini memberikan vibe dan hook yang kuat kerana lagu ini merupakan trek pertama dalam album tersebut.
RUNS – Kamar
Pertama kali saya menonton band ini secara langsung adalah sekitar tahun 2018 dan tanggapan pertama yang menarik saya untuk kenal lebih lanjut tentang band ini adalah kerana terdapat seorang pemain gambus elektrik. Permainan gambus dapat didengarkan dalam semua lagu mereka. Dan yang terbaru adalah terdapat seorang ahli band mereka yang memainkan rebana yang anda dapat dengarkan juga dalam lagu ini. Mereka dikhabarkan dalam proses menyiapkan rakaman album.