Kisah Putar Belit Media
Media adalah perantara; antara pembaca dengan subject matter yang pembaca nak baca. Dalam konteks seni, antara pembaca dengan artis lah. Tapi macam No Good oyak dalam lagu demo “Zamae tu sebelum ore dok gilo ko pitih”. Bila media dah gilo ko pitih, semua barrier media rempuh, asalkan dapat cerita sensasi yang boleh timbulkan reaksi pembaca. Matematik mudah – higher engagement, higher analytic, higher paid ads. Lebih banyak data yang media boleh present kepada pengiklan, lagi banyak duit dapat hasil ruang iklan. Benda ni lagi mudah nak faham dari progression chord gitar.
Artis dan gosip bukan barah kat Malaysia je. Kat Amerika, paparazzi boleh kaut 20-70% hasil royalty dari gambar yang diorang tangkap. Sekeping photo Princess Diana dan boyfriendnya, Dodi Fayed, dulu dijual pada tanda harga $6 million. Lepas tu berduyun la orang jump the bandwagon untuk jadi paparazzi.
Kembali di Malaysia. Kita recap pertembungan media dan artis yang paling recent, yang disifatkan oleh orang ramai sebagai Noh Salleh “peak rempit behaviour”. Noh dengan selamber ngembus vape masa ditujah dengan soalan berkait hal rumah-tangga dia. Noh adalah subjek serangan media dari mula “indie” sedang peak lagi. Saya teringat ada satu surat khabar yang buat artikel kecik tentang perangai Noh yang suka pusing-pusing atas kerusi masa interview di konti radio. Macam mana lah benda macam ni pun nak cerita kat national newspaper? Sebab Noh ada “market” follower tersendiri. Thus, higher engangement. Thus? Baca semula perenggan first.
Lepastu, ada satu majalah tabloid kegemaran generasi boomers ni pulak dah mula masuk isu muzik yang menyesatkan. Padahal dah berzaman diorang menulis pasal hantu, as if konsep tu berjaya menegakkan syiar Islam. Dalam majalah tabloid tersebut, Bittersweet dicop as sasau sebab pakai cermin mata hitam masa main show kat tempat tertutup yang gelap di waktu malam. Manakala muzik metal dituduh minum darah kambing dan kerap mabuk-mabuk di disko. Metal buat gig kat disko, mat.
Akar utama media yang mempromosi seni kat Malaysia ni tumbur berlandaskan gosip dan kisah sensasi. Ia tumbuh menjalar dalam minda rakyat kita yang akhirnya jadi satu gene bahawa gosip artis itu satu keperluan sampai kita ada satu rancangan TV yang cerita hal-hal gosip dan terjah artis dengan soalan-soalan panas sampai rancangan tu dapat rating tinggi. Ini mungkin normal pada artis “mainstream” yang memang banyak bersandar kat promosi, samada baik atau buruk.
Sebab tulah sangat tak bersesuaian bila media mainstream bertembung dengan scene alternative. Ini sebuah padang yang tak perlukan kita fokus kat koyaknya seluar kita, atau hijaunya rambut kita. Kita nak orang fokus kat karya, cerita dan seni yang disampaikan. Media dan artis mandiri selamanya mungkin takkan sebulu dan akan kekal berbalah sebab ideologi dan landasan masing-masing tak sama. It is best untuk masing-masing stay in their lane je.
TAPI, ada satu usaha kecil dari wartawan berjiwa besar yang mahu membawa cerita muzik mandiri ke lapangan yang lagi besar tanpa perlu bergantung pada gosip. Beliau lah yang diberi nama Ku Syafiq, kolumnis ekonomi dan politik untuk Utusan Malaysia. Entah dari mana keyakinan dia muncul, tiba-tiba je muncul satu video Ku Syafiq berbual hal third wave movement of Malaysia indie scene. Siapa yang kira wave ni? Namun video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, pendapat dan kritikan. Ku Syafiq kental menghadapi ujian tersebut, dan dengan rileks dia tubuhkan satu kolum special untuk muzik mandiri Malaysia dengan nama Rondivu.
Kolum ini beri peluang untuk band-band alternatif muncul di surat khabar nasional, FULL PAGE, pada setiap minggu. Dan pada 10 Julai lepas, genap 100 artikel Rondivu ditulis. Maknanya ada 100 artikel berkaitan muzik alternatif yang mungkin mak bapak kita pernah terbaca, dan yang pasti dah masuk dalam simpanan Arkib Negara Malaysia! Secara halus, Ku Syafiq menyusup masuk kisah-kisah kugiran alternatif dalam sejarah TANPA PERLU MELIBATKAN GOSIP. Ku Syafiq adalah setitik remedy dalam gelumangan racun media mainstream. Sekurang-kurangnya, dia gunakan usaha, daya dan kedudukan yang dia untuk membantu memacu scene ini.
Maka untuk meraikan 100 artikel tersebut, Ku Syafiq di bawah syarikat mainstream beliau, Utusan Malaysia, akan menganjurkan sebuah gig 100 Rondivu yang menampilkan seleksi line-up bukan serkap jarang. Line-up gig ini mewakili gergasi alternatif sekarang sehinggalah ke pucuk baru yang menampilkan Sekumpulan Orang Gila, The Venopian Solitude, Kyoto Protocol, Hacktick!, Mascot dan Mafidz.
Bila kali terakhir anda melihat sebuah surat khabar mainstream menganjurkan acara untuk kumpulan alternatif?
Jadilah sebahagian daripada lipatan sejarah ini, sekarang.