Sesudah Emo A. Limin & Pasca Sini di Stesen Seni
Teks: Adam Afifi
A. Limin dan juga Pasca Sini telahpun bergabung dalam mengadakan satu siri jelajah di beberapa lokasi di sekitar semenanjung Malaysia untuk mempromosikan album mereka iaitu Sesudah Melakar Langit yang dikeluarkan pada bulan Januari baru-baru ini dan Emo Department yang dikeluarkan pada tahun 2020 dahulu yang tersenarai dalam Rilisan Terbaik Junklist buat tahun 2020.
Siri jejalah ini dinamakan ‘Malaysia Barat 2022 Tour (A. Limin x Pasca Sini Sesudah Melakar/Emo Department Album & Showcase)’ bermula di Perlis pada 28 Januari, di Kedah pada 29 Januari, di Pulau Pinang pada 30 Januari, di Perak pada 1 Februari, di Pahang pada 2 Februari, di Johor pada 4 Februari dan Selangor pada 5 Februari di mana pada setiap negeri tersebut terdapat beberapa kugiran jemputan yang berkongsi pentas bersama A. Limin dan Pasca Sini.
Sayang sekali mereka terpaksa membatalkan siri jelajah mereka di Johor dan juga menundakan siri jelajah mereka di Selangor pada 11 Februari kerana terdapat kes positif dan kontak rapat COVID–19 di siri jelajah mereka di Pahang.
Penulis mendapat kesempatan untuk menghadiri siri jelajah ini di Selangor.
Siri jelajah di Selangor ini diadakan di Stesen Seni yang terletak di Damansara Perdana yang berada di atas Kafe Sarawak. Stesen Seni merupakan antara tempat yang paling aktif mengadakan persembahan untuk artis dan kugiran alternatif baru-baru ini. Konsep untuk siri jelajah A. Limin x Pasca Sini di Selangor ini agak berlainan, kerana penonton turut dihidangkan makanan secara bufet.
Pintu di lokasi dibuka pada 8 malam. Setelah tiba di lokasi, penulis melihat tersedianya meja dan kerusi untuk para hadirin menjamu selera sambil berhibur sepanjang malam siri jelajah di Selangor ini. Mereka yang hadir pada malam ini amat bertuah kerana mereka merupakan antara orang yang terawal untuk mendapatkan edisi Junklist Digest yang terbaru secara percuma.
Persembahan malam ini dimulakan dengan Plong!, sebuah kugiran yang ditubuhkan pada akhir tahun 2020 yang membawa alunan bunyi New Wave/Rock 70an/80an. Mereka banyak membawakan lagu-lagu ‘groovy’ dan juga solo gitar yang mengasyikkan sepanjang tempoh persembahan mereka. Sayang sekali para hadirin tidak dapat menari pada alunan dan melodi yang dibawakan oleh Plong! kerana susunan meja dan kerusi di lokasi ini.
Setelah selesainya persembahan dari Plong!, para hadirin menjamu selera sambil menunggu Panasejook mebuat persiapan. Sudah agak lama mereka tidak melakukan sebarang persembahan. Salah satu lagu yang mereka bawakan malam ini ialah satu lagu jiwang yang berperisa Emo, jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu lain yang mereka bawakan pada malam ini. Penulis seronok melihat ahli Panasejook berseloroh sesama sendiri sepanjang tempoh persembahan mereka. Panasejook menutupi persembahan mereka yang penuh tenaga dengan lagu Takkan Mengalah yang amat bertenaga!
Seterusnya, tiba masa untuk Pasca Sini pula mengambil giliran mereka di pentas sebagai salah satu kugiran utama untuk siri jelajah ini. Pasca Sini pada malam ini hanya bertiga sahaja kerana beberapa ahli mereka terpaksa menjalanai kuarantin akibat menjadi kontak rapat COVID–19. Bagi mengisi sedikit kekurangan mereka pada malam ini, mereka menggunakan khidmat penyanyi Panasejook untuk membantu persembahan mereka. Gurau senda di antara ahli Panasejook (terutamanya pemain bass mereka) dan juga Pasca Sini sedikit sebanyak membuat persembahan Pasca Sini lebih meriah. Salah satu lagu yang dibawakan oleh Pasca Sini ialah merupakan lagu saduran ‘I Don’t Love You’ dari My Chemical Romance (MCR) yang diterjahi oleh pemain bass Panasejook serta diiringi oleh semua orang yang berada di Stesen Seni.
Akhirnya sudah tiba untuk giliran A. Limin pula sebagai salah satu kugiran utama siri jelajah ini untuk menutup malam ini. Mereka memakan sedikit masa untuk bersiap kerana mereka banyak menggunakan alat muzik yang berbeza untuk persembahan mereka. A. Limin memulakan persembahan mereka dengan lagu pertama dari album terbaru mereka iaitu Mikraj. Kali ini, mereka banyak membawakan lagu-lagu dari album terbaru mereka. Ketika sedang mereka membawakan lagu Kau Ada, ramai yang hadir pada malam itu turut menyanyi bersama. A. Limin mengakhiri siri jelajah mereka dan juga Pasca Sini di Selangor ini dengan lagu Imaginasi.
Secara jujurnya, siri jelajah di Selangor ini mempunyai terlalu banyak masalah teknikal, mengakibatkan persembahan bermula dengan lambat dan membuatkan para hadirin terpaksa menunggu agak lama untuk satu-satu kugiran memulakan persembahan mereka.
Kepada mereka yang terlepas atau tidak dapat hadir pada mana-mana tempat/lokasi siri jelajah A. Limin x Pasca Sini ini, mereka akan mengadakan ‘finale’ untuk siri jelajah ini pada bulan Mac nanti. Ikuti akaun media sosial mereka bagi mendapatkan maklumat terkini.