Browse By

Las Minuit Acoustic Session – Ulasan Gig

17 Sept 2021 – Space Twang Las Minuit Acoustic Session membuka tirai persembahan pentas di arena seni muzik alternatif sejurus selepas kerajaan membuka sektor kesenian dan kebudayaan. Bertempat di Angkasa Space Event, Cheras dan tiket dijual hanya untuk 50 orang berdasarkan SOP yang telah ditetapkan mengikut kapasiti premis.

Seperti biasa saya akan datang lebih awal untuk menikmati makanan dan minuman di Q-Bistro yang terletak berhadapan venue gig bersama rakan media iaitu Gob Ahmad dari Luas MY. Kelegaan terpapar pada semua pengunjung restoran selepas kebenaran untuk dine-in dibenarkan bagi negeri-negeri di fasa 2 PPN. Persembahan hampir dimulakan dan kami terus bergegas naik ke ruang acara. Pada pintu masuk ada Bam (Atas Angin) dan rakan beliau yang mungkin ditugaskan untuk mengawal pintu masuk bagi memeriksa suhu dan juga sijil vaksinasi setiap pengunjung bagi acara malam ini. Pada sangkaan awal saya, pihak organizer mungkin akan menyediakan kerusi dengan jarak 1 meter seperti pada gig ‘Lepas Gian’ sebelum ini. Tekaan saya meleset. Suasana ruang acara kelihatan lebih santai dimana pengunjung menikmati persembahan dengan hanya duduk di lantai yang dilapisi oleh karpet tebal dan berdekatan dinding terdapatnya sofa empuk bagi sesiapa yang lebih selesa duduk di sofa (tapi terhad). Posisi persembahan juga berubah dan bukannya di pentas yang biasa ditonton sebelum ini. Ruangan persembahan disusun di hadapan bawah sudut kanan pentas dengan beberapa dekorasi yang ringkas tetapi bersesuaian dengan vibe persembahan akustik.

Hyke Nasir memberi persembahan yang santai namun beremosi. Dengan karenah beliau yang gila-gila sewaktu bersama Hacktick!, itulah identiti beliau yang cukup dikenali namun lebih intim dan sedikit ‘jinak’ pada malam ini. Beberapa lagu yang saya kenali adalah dari material yang Hacktick! pernah keluarkan sebelum ini dan rasanya ada juga lagu baru yang turut dimainkan. Terkadang saya terpikir adakah lagu yang dimainkan ini hanya sebuah ‘improv’ untuk mengekspresi segala rasa dalam hati beliau atau itu memang susunan asalnya kerana saya dapat lihat Hyke hampir menangis selepas memainkan lagu pertama atau kedua yang belum pernah saya dengar dan juga jeritan pada pertengahan sebuah lagu. Mungkin sesi malam ini adalah sesi lepas geram juga bagi beliau selepas berapa lama tidak perform di hadapan audiens. Pada lagu yang tajuknya ‘Jangan Datang’ Hyke sempat berseloroh dengan bertanya, “Pada siapa yang dah nikah, pernah tak wife cakap…. So Don’t Come.. Itu tajuk lagu ni la but it is in different context” Jadi mana yang paham tu dia senyum-senyum jela. Sempat juga Hyke mengajak crowd yang datang untuk berdiri sewaktu memainkan lagu ‘Mujikalau kita kata kat depa, bukan depa nak mau dengaq.’ Tapi semua malu-malu ataupun pihak organizer yang tidak membenarkan keliaran tersebut untuk berlaku malam ni. Tapi masing-masing menikmati persembahan Hyke dengan menyanyi bersama dan menggerakkan badan dengan kadar minimum sewaktu duduk. Good Show Hyke. Till next time!

Tiba ke slot terakhir iaitu bersama Kimal dari Margasatwa. Sesi Akustik ini hanya membawakan 2 orang artis sahaja. Oh ya, hampir terlupa pengenalan mengenai organizer iaitu Space Twang. Mereka bukanlah entiti baharu dalam industri cumanya ini adalah acara pertama yang dianjurkan dengan kerjasama pasukan Atas Angin. Space Twang merupakan sebuah kolektif yang menghasilkan content audio dan video berkaitan muzik dan pasukan ini terdiri dari Hakim, Emei dan Ruff. Sebelum bermulanya persembahan, Emcee bertugas membuat sedikit pengumuman dan antaranya adalah pemberian majalah Junklist Digest Isu 2 yang baru sahaja kami lancarkan sekitar bulan lepas. Ianya percuma dan kami edarkan pada pengunjung yang ada pada malam ini. Anda masih boleh dapatkannya secara percuma melalui link di profile Instagram Junklist. Terima kasih kepada Vans Malaysia sebab menjayakan kolaborasi ini!

Kembali pada persembahan Kimal. Beliau cuba memainkan sebuah lagu pertama yang berbunyi agak catchy pada petikan gitarnya tapi beliau terlupa susunan penuh lagunya dan akhirnya memainkan lagu ‘Merpati’ yang dipetik dari trek ke-2 album sulung Margasatwa. Santai dan bersahaja cara kimal membawakan lagu ini. Dengan talaan cahaya yang malap-malap, suhu yang sederhana, kalau ada katil memang boleh terlelap sambil mendengar nyanyian beliau. Saya menghargai usaha organizer dalam susunan di sekeliling posisi performer untuk menaikkan mood persembahan malam ini dan sangat berpuas hati dengannya. Kimal sempat berterima kasih pada yang hadir malam ini dan beliau sendiri rindu dengan persembahan secara langsung seperti ini. Selepas beberapa lagu, beliau meneguk sedikit minuman yang disediakan oleh LaLoCa Mojito dan beliau meminta bantuan untuk membuka botol minuman tersebut disebabkan agak trauma dengan kejadian sewaktu persembahan online ‘Pilih Kaseh’ sebelum ini dimana berlaku kejadian yang agak tragis tapi kelakar. Syukur sejarah tidak berulang. Kemudian Kimal meneruskan persembahan dan akhirnya lagu pertama yang beliau lupa berjaya dimainkan sepenuhnya dan faktanya adalah lagu ini belum pun mempunyai tajuk. Akhir sekali Kimal memainkan lagu ‘Yang Asli’ versi jepun yang dilancarkan sewaktu Sukan Olimpik berlangsung untuk menunjukkan sokongan terhadap pasukan Malaysia yang bertanding di Jepun. Sangat eksklusif buat semua pengunjung yang hadir malam ini.

Dalam ruang acara terdapat meja merchandise Hacktick! dan juga barangan dari LaLoCa Mojitos. Acara malam ini agak singkat namun bagi saya cukup sebagai upacara ‘panas badan’ dan juga permulaan sebelum acara yang lebih berat bakal diadakan kemudian. Ia juga penting untuk membiasakan pengunjung dengan SOP yang telah ditetapkan disebabkan ruang acara tidak dapat dipenuhi sebanyak mungkin dan hanya 50 orang dibenarkan dalam satu masa. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan selebihnya terpulang kepada individu masing-masing untuk menjaga penjarakan sosial walaupun telah cukup 2 dos vaksin. Semoga para organizer dan juga band/pemuzik terus kuat dan juga pencinta muzik terus menyokong karya dan juga semua acara yang bakal diadakan kelak.

Jumpa lagi di acara seterusnya!