Browse By

Las Minuit Acoustic Session – Santai bersama Megat Fazly & Kolar Hijau (Ulasan Gig)

Space Twang Las Minuit Acoustic Session (STLMAS) menyambung siri persembahan akustik mereka di siri-3. Kali ini mereka menampilkan Megat Fazly dari Mafidz dan juga Kolar Hijau. Acara berlangsung pada 12 Oktober 2021 bersamaan hari Selasa. Pada siri-2 tempohari saya terlepas untuk menghadirkan diri dan pada malam itu mereka menjemput Myo (Jemson) dan juga Iqbal (Iqbal M).

Slot pertama dimulakan dengan persembahan dari Kolar Hijau. Secara jujurnya, saya baru pertama kali menyaksikan band ini secara langsung dan belum cukup mengenali setiap seorang ahlinya. Tapi wajah vokalis memang seiras dengan Megat Fazly. Jadi kepada penganjur, adakah ini satu kebetulan atau satu perancangan? Berbalik kepada persembahan Kolar Hijau, band Pop/Rock Alternatif ini membawakan lagu-lagu mereka yang juga tersedia di platform penstriman digital mereka seperti Khayalan , Bulan dan Bintang dan Burung-Burung. Vibe akustik malam ini sangat sesuai dengan lagu-lagu yang mereka dendangkan. Sehabis mereka memainkan lagu ke-2 atau ke-3 secara tiba-tiba drummer mereka mengingatkan vokalis mengenai Hand Sanitizer. Rupa-rupanya Kolar Hijau ada mengeluarkan produk sendiri iaitu Hand Sanitizer ‘Khayalan’ sempena pelancaran single mereka tempohari.

Bagi yang belum mengenali Kolar Hijau, mereka berasal dari Selangor dan single terbaru mereka lancarkan pada bulan Mei yang lepas adalah ‘Khayalan’. Mereka dianggotai oleh Syahidil Aizat (gitaris & vokalis), Adeep Nair (gitaris), Ishak Maulan (bass) dan Raja Farizal (drum). Walaupun suara vokalisnya sedikit serak untuk malam ini tapi masih mampu memberikan persembahan yang baik di setiap lagu yang mereka dendangkan.

Tiba pada persembahan kedua untuk malam ini, Megat Fazly mengajak Kolar Hijau untuk kekal di pentas untuk mengiringi beliau memainkan lagu cover daripada Coldplay yang saya lupa tajuknya. (Maaf!) Pada kali ni sempat mereka berseloroh dengan penonton yang ada untuk memberikan nama kugiran campuran Kolar Hijau + Megat Fazly. Disebabkan wajah seiras Aizat & Fazly, ada yang melaungkan nama ‘KUGIRAS’ sebagai nama band mereka. Walaupun ‘last minute’ tapi persembahan mereka kelihatan tidak kekok dan amat serasi bersama.

Sumber : Facebook Kolar Hijau

Kemudian Megat Fazly mengambil alih pentas bersama rakan musisi beliau iaitu Zaiff (Violinist) & Aizad (Bassist). Lagu-lagu yang dimainkan kesemuanya adalah lagu solo ciptaan Megat Fazly yang saya percaya belum lagi dilancarkan di mana-mana platform digital. Jadi tajuk-tajuk lagunya masih juga saya tak dapat ingat untuk dituliskan dalam review ini. Namun begitu, semua lagu menangkap fokus semua yang hadir pada malam itu. Walaupun tak dapat sing-along bersama tapi dapat dilihat semua yang menonton persembahan beliau sepertinya terpukau dan menggerakkan badan ke kiri dan kanan secara minimal untuk melayan syahdunya setiap bait melodi dan lirik yang disampaikan. Pada penghujung persembahan, penonton meminta Megat Fazly untuk memainkan satu lagi lagu sebagai penutup persembahan walaupun sebenarnya setlist beliau telah habis. Setelah pihak penganjur memberi kata setuju, lagu cover seterusnya dimainkan iaitu lagu dari band Butterfingers Mati Hidup Kembali. Sempat juga lagu tersebut diiringi oleh Megat Aizat pada chorus lagu tersebut dan penonton juga turut menyanyi bersama-sama dari awal lagu sehingga habis. Lagu penutup yang paling kena dengan situasi sekarang di mana mungkin ramai pemuzik atau anak seni merasa ‘hidup kembali’ selepas ruang acara dibenarkan semula beroperasi dengan mengikut SOP ditetapkan. Semoga berjumpa lagi di acara seterusnya Megat Fazly dan cepat-cepat rilis lagu!

Sekali lagi pujian saya kepada pihak penganjur untuk talaan cahaya dan juga susunan prop yang berbeza di setiap siri persembahan menaikkan lagi mood persembahan dan juga pengalaman sewaktu menonton acara ini. Penganjuran acara pada hari biasa pula (bukan hujung minggu) pada pendapat saya amat bersesuaian disebabkan ianya sebuah acara santai dan juga agak intim yang memberikan vibe tenang kepada yang menontonnya selepas seharian bekerja. Terima kasih juga sebab sudi menjemput Junklist untuk kesekian kalinya untuk acara ini.

Nantikan siri SPLMAS pada hari Isnin, 18 Oktober 2021, jam 8:30 malam di lokasi sama bersama Adi (6ixth Sense) dan Nawi (Dewataraya).

Adios!