Browse By

ALI2021 Separuh Akhir 1 – Ulasan Dan Pilihan

Penulis : KU SYAFIQ KU FOZI

PUSINGAN Separuh Akhir pertama Anugerah Lagu Indie (ALI) 2021 yang berlangsung pada 13 November lalu berjaya membuka mata lebih ramai peminat muzik terhadap kepelbagaian bakat dalam lapangan independen.

Walaupun lebih terarah ke segmen muzik pop, rata-rata komen yang diberikan sepanjang acara berlangsung menunjukkan keterujaan penonton menemui bakat baharu di luar lingkungan muzik mereka.

Secara keseluruhannya, Separuh Akhir pertama ALI2021 berlangsung dengan lancar dengan masalah yang minimum, kecuali sedikit masalah berkaitan fungsi kamera dalam strim langsung.

Sebanyak 15 persembahan berjaya dilangsungkan dalam tempoh kira-kira dua jam 30 minit dan rata-rata peserta juga berjaya memberikan persembahan memuaskan untuk tahap separuh akhir.

Hos ALI2021 – Atoi & Aqilah

Bisik dalam ribut

Mungkin ada peserta yang menyimpan taring dalam persembahannya di peringkat separuh akhir. Ia boleh menjadi satu strategi yang bijak supaya persembahan mereka di peringkat akhir nanti lebih meninggalkan impak. Namun, harus diingat, strategi begini hanya boleh terpakai jika peserta benar-benar yakin dengan kekuatan lagu mereka untuk menerjah peringkat akhir.

Pertandingan seperti ALI2021 menampilkan penyanyi berbakat dengan semangat yang membara. Ia bagaikan ribut dan jika anda mahu didengari, jangan berbisik.

Penampilan ‘terlampau bersahaja’ Sunny Cheah bersama gitar akustik bagi saya satu kerugian. Lagu Save Me mempunyai potensi dengan melodi pop bercangkuk tetapi kelebihannya hilang dengan persembahan serba ringkas tersebut.

Berbeza dengan seorang lagi peserta yang tampil berseorangan bersama gitar, Brendan De Cruz berada dalam liga berlainan. Oleh sebab pengalamannya yang luas dan karakter vokal yang kuat, persembahannya berjaya menampilkan satu sisi berbeza pada lagu Get It On yang tersembunyi dalam versi rakamannya. Persembahan Brendan bagi saya antara yang paling berkesan pada malam itu.

Simpan taring

Dua finalis tahun lalu, Bihzhu dan Hasha Roslan berjaya melunaskan tanggungjawab masing-masing namun bukanlah pada tahap terbaik. Persembahan Bihzhu saya sifatkan sebagai sempurna pada tahap sederhana. Tiada yang cacat tetapi ada ruang besar untuk penambahbaikan.

Hasha pula kurang berjaya menyampaikan emosi yang berat pada lagu Koma. Mesej lagu ini berat dan penyampaian vokal Hasha agak rumit dari segi teknikal. Jika Hasha boleh ringankan sedikit teknikaliti pada penyampaiannya,tumpuan boleh diberikan kepada emosi.

Banni Basyishar pula seolah-olah keliru dengan fungsi utamanya. Walaupun dia berduet bersama Aini Mazalan untuk lagu Peluang Bersamamu, peranan Banni lebih besar dan dalam masa sama, dia perlu bermain saksofon yang juga peranannya besar dalam persembahan tersebut. Jika Banni mampu menyeimbangkan peranannya sebagai vokalis dan saksofonis dalam persembahan akhir, jika layak, impak lagu ini akan lebih jelas.

Penampilan kedua Heerraa dalam Separuh Akhir ALI lebih menarik tahun ini dengan iringan pemuzik. Namun, persembahan tersebut agak kalut dan memenatkan untuk ditonton. Feel Alive boleh layak ke peringkat akhir atas dasar melodi dan lirik yang mudah menjangkitkan kegembiraan tetapi ada satu lagi kelebihan yang gagal ditonjolkan Heerraa iaitu vokalnya. Jika layak, Heerraa perlu tonjolkan kekuatan vokalnya yang berjulat besar dan berkarakter.

Serlah kekuatan

Pertandingan seperti ALI yang melibatkan persembahan langsung menuntut peserta menyerlahkan kekuatan komposisi lagu melalui persembahannya. Ada perkara yang tidak dapat disampaikan sepenuhnya melalui rakaman, maka dalam persembahan langsung semuanya dilepaskan.

Dalam hal ini, yang paling berjaya ialah Wanted Symphony dengan lagunya, Disappear. Versi rakamannya sederhana tetapi persembahan langsung menambah keberkesanan dinamik dan lemparan emosi dalam lagu tersebut.

Modescape dengan Bebas dan Patriots dengan Misguided juga berjaya. Puas oleh Ramayan seperti kekurangan sesuatu manakala If You Don’t Love Me Now oleh Steff Fleur dan Senja Temu Lelah oleh BER_ menampilkan Leaism agak sederhana.

Pada 20 November ini, 15 lagi lagu bakal bersaing dan persoalan 12 lagu yang layak ke peringkat akhir akan terjawab. Pastikan anda mengikuti perkembangannya melalui tanda pagar #ALI2021 dan menonton Separuh Akhir kedua secara langsung di saluran Youtube Anugerah Lagu Indie.

Enam lagu terbaik pilihan Junklist:

Puas – Ramayan
Misguided – Patriots
If You Don’t Love Me Now – Steff Fleur
Disappear – Wanted Symphony
Get It On – Brendan De Cruz & Adam Imanullah
Senja Temu Lelah – BER_ & Leaism

Tonton Separuh Akhir 1 : https://youtu.be/imEklGjn5jY

Tonton Separuh Akhir 2 : https://youtu.be/j4PFGzcIMo0