Perjalanan Emosi, Kuasa & Teater tak berperkataan
Ditulis oleh : Petak Daud
Gambar & Video : Ali Maswari
Memang dia sudah terbaring, sebaik sahaja kami masuk ke dalam. Dia tenggelam dalam dingin lantai. Sinar lampu merah tumpah ke tubuh badannya. Lagu belakang sudah sedia menyala-nyala, bingitnya ke telinga memanjang, tegang – seperti kena pada tempatnya membentang.
Mereka di tengah pusar biji anak mata, sementara kami seramainya memanjang ke belakang. Dua pemerhati ini dengan alat-alat muzik tergantung di lehernya berada pekat di tengah kata-kata. Satu set drum berada di belakang mereka berdua. Saya tidak pernah berada di persimpangan antara neraka dan syurga. Tetapi gasak derap muziknya mengelirukan saya. Ia kasar bergema, datang dari dentum tubuh badan saya. Ada marah dan dendam, seolah berterusan dan mendiam.
Kami masuk lewat sepuluh minit. Lewat 10 minit bahasa tubuh, lewat 10 minit perasaan visual, dan lewat 10 minit terik muzik. Untuk mengeluh 10 minit yang disiakan ini, saya bebaskan pada angin. Saya biarkan mengalir pada takdir. Masa sendiri telah membawa kami ke sini dengan kedua-dua belah tangannya yang rimas, dan entah kenapa tak sekali pun saya fikirkan; masa akan bergerak terlalu perlahan dan menghukum saya, memenjara saya dengan sikap-sikap lampau, mengurung saya dengan persoalan-persoalan perasaan; memberikan saya bukti bahawa tak satu pun kebebasan yang kau miliki ini – tak terikat dengan masa yang diberi.
Saya berusaha memecahkan cermin dalam setiap naskah yang saya hidupi, tetapi seperti hidup; sesekali putus asa juga akan putus asa. Jadi, saya berhenti berdiri. Saya mencari kerusi.
Saya duduk diam di bahagian penonton sebelah kanan. Teater tak berperkataan ini menjerut leher saya dengan setiap gerak tubuhnya. Ia menyedarkan saya semula tentang bagaimana manusia menghadapi kuasa. Ia menawarkan saya pelbagai jawapan kepada tindakan-tindakan kita; tentang bagaimana sekiranya kita yang kosong dan hijau ini menghadapi, kita juga bakal meracun dan menjadi tua coklat yang tuli.
Saya bersetuju bahawa setiap manusia di dunia akan bermula dengan tiada, kemudian ada, dan akhirnya tiada semula. Apa sekali pun, dengan sedar akal, begitulah yang akan berlaku kepada kita.
Jadi, bagaimana keinginan itu ada? Bagaimana kemahuan itu wujud? Bagaimana rasa untuk memiliki itu akhirnya dibentuk dalam jiwa manusia? Soalan yang lebih tepat lagi barangkali, pada umur berapakah kita mula ingin memiliki? Apa pun.
Di sini sesiapa pun akan membentang punca, memberikan kisahnya – bagaimana benih menjadi bunga dan mati sebagai baja. Sesiapa pun.
Tetapi akhirnya untuk jujur dan mengakui – di dalam pasaran kekuasaan dan pemilikan, kita berada di bahagian yang mana? Yang memiliki, atau dimiliki? Yang mendominasi, atau didominasi?
Teater tak berperkataan ini menjerut leher saya dengan setiap denyut petik bassnya. Ketuk dram yang akhirnya tembus mendadak dalam gelisah menanggung sebak, menyedarkan saya berulang-kali tentang bagaimanapun kotornya cara manusia mendaki kuasa; ia tak akan pernah berhenti – walau ia sentiasa merasa diperhati dan dihakimi. Kerana kemudiannya apabila tiba masa dan kesempatan, ia akan kembali ke rumah Tuhannya, berdoa, memohon ampun, merasa suci semula, merasa ada, dan kembali menggunakan kuasa sebagai cara untuk sentiasa memiliki, mendominasi.
Ringkasnya, memang dia sudah terbaring, sebaik sahaja kami masuk ke dalam.
Memang dia sudah tenggelam dalam dingin lantai. Sinar lampu merah telah tumpah ke tubuh badannya. Lagu belakang sudahpun sedia menyala-nyala, bingitnya ke telinga memanjang, tegang – seperti kena pada tempatnya membentang.
Tetapi entahlah berapa lama lagi kita sebagai manusia, akan kekal mengulang langkah yang sama, turutan yang serupa; walaupun kita tahu bukan itu cara menyelesaikannya.
Entahlah setempoh apa lagi untuk kita miliki sebelum akhirnya kita sedar bahawa tidak ada apa-apa pun yang kita ada, adalah kepunyaan kita di dunia. Kuasa, mahupun angka.
Akhir sekali kita cuma mahu duduk diam; melipat pakaian sejarah yang palsu, dan tidak lagi menyimpan dendam.
Memang dia sudah tenggelam dalam dingin lantai. Sekiranya tak kita sedar dan sedia, satu hari nanti kita akan juga.
-Epilog-
Di luar pentas turut ditampilkan poster dan juga maklumat tentang acara, artis dan juga ada 3 helai baju yang turut digunakan dalam pementasan ini. Kami mempunyai tafsiran tersendiri setelah habis menonton pementasan ‘Earthshine’. Dan sayang sekali kami tidak masuk dari awal acara dimulakan dan secara total mengubah pemahaman kami dalam memahami keseluruhan penceritaan. Minda kami dikerah untuk mencipta sendiri tafsiran penceritaan dari hasil tarian, muzik dan pancaran cahaya LED yang dipersembahkan oleh para artis. Dan akhirnya, persoalan demi persoalan berterusan hinggap di fikiran walaupun selepas kami habis menonton pementasan ini.
Sungguh, anda adalah seorang yang berada dalam tingkat penghargaan seni yang superior sekiranya anda mampu menghargai persembahan sebegini.
Dapatkan tiket anda di sini dan saksikan pementasan seterusnya pada 11 & 12 Jun 2022 di Pentas 2, KLPAC.