Browse By

Neue Lite – Ulasan Gig (Sesi Malam)

Kita kini berada di penghujung tahun 2021. Tahun yang penuh suka duka, perit jerih, naik turun khususnya buat industri muzik alternatif. Sebelum tahun 2021 berakhir, aku sempat hadir ke sebuah gig anjuran Freedom A(r)t Home iaitu Neue Lite yang bertempat di Live Fact, Kuala Lumpur.

Gig ini dibahagikan kepada dua sesi (sesi petang dan malam). Aku cuma mampu untuk hadir ke satu sesi iaitu sesi malam, atas faktor kewangan (atau bahasa mudahnya takda duit). Persembahan sesi petang bermula pada jam 4.30 petang oleh band Motherwit, diikuti Kolar Hijau, Empty Page dan Joyberry. Tapi aku tak nak ulas panjang-panjang mengenai sesi petang, kerana aku tak datang. Jadi aku akan mulakan cerita dan ulasan gig untuk sesi malam berdasarkan pengalaman dan pov (point of view) aku sendiri.

Kepada pembaca karangan ini, aku ada satu fakta menarik dan berguna untuk dikongsikan mengenai Live Fact. Live Fact ialah antara venue yang mudah untuk pergi menggunakan pengangkutan awam sekiranya kalian tidak mempunyai kenderaan sendiri (seperti aku, huhu). Lokasi Live Fact berdekatan dengan stesen MRT Surian, jadi kalian boleh berjalan kaki melalui beberapa blok kedai untuk tiba ke Live Fact. Cuma waktu pulang sajalah susah sikit, sebab selalunya gig habis lewat malam dan mungkin selepas waktu train terakhir. Option lain, naik grab.

Kali ini, aku datang ke Live Fact dengan menumpang kenderaan kawan. Kami tiba sekitar jam 6 lebih untuk show yang bermula jam 8 (ya memang awal, bab gig kena punctual lmao). Memandangkan hari tersebut ialah hari ahad, tak susah untuk kawan aku mencari parking. Kami langsung terus ke venue untuk register dan menerima test kit untuk COVID-19 yang disediakan penganjur (termasuk didalam pakej harga tiket). Ya, biasakan membuat ujian ini walau kemana pun kalian pergi dalam era norma baru ini.

Test ini perlu dibuat sejam selepas makan/minum, sebelum sampai tadi aku dah beli Chatime di KL Sentral maka terpaksalah tunggu sekejap. Jadi kami membuat keputusan untuk merayau sebentar di The Strand Mall yang terletak dalam anggaran 300 meter dari Live Fact. Kebetulan pada hari yang sama berlangsung Thai Food Fest di The Strand (terpaksa tengok saja sebab nak buat test covid huhu).

Selepas 1 jam, kami buat test tersebut dan resultnya negative (yay boleh pergi gig)(lol). Lalu kami bertolak semula ke Live Fact, dan bersedia untuk persembahan sesi malam.

Sekitar jam 8 malam (lebih) persembahan dimulakan oleh band Joyberry yang berasal dari Sungai Petani, Kedah. Joyberry membuka pentas dengan irama rancak joget-joget lagu Selamanya. Crowd mula memenuhi segenap ruang Live Fact perlahan-lahan. Lagu-lagu lain yang dimainkan pada malam itu ialah seperti another bedroom pop song, Disko Kilat dan Prospektor. Kali terakhir aku menonton persembahan Joyberry ialah di gig Counter Culture anjuran LUAS dan Junklist berkolaborasi bersama Vans Malaysia. Ikuti perkembangan Joyberry di Instagram (@joyberrymy), Twitter (@joyberrymy) dan YouTube mereka (Joyberry).

Tamatnya persembahan daripada Joyberry, Motherwit mula menguasai pentas Live Fact. Motherwit membawa 5 buah lagu pada malam itu iaitu Prison Of Love, Thunder, Senjakala, Dialah dihati dan ditutup dengan lagu Amanah. Motherwit dianggotai oleh Sahaq (vokal dan gitar) dan Noh (gitar), berjaya membuatkan crowd terangguk-angguk mengikuti rentak lagu mereka. Ada juga yang menikmati suasana dengan hanya berpeluk tubuh dan goyang-goyang kaki. Dengarkan lagu-lagu Motherwit di platform penstriman Spotify dan Apple Music dan jangan ketinggalan untuk ikuti Motherwit di Instagram (@motherwitnoise), Twitter (@motherwitnoise) dan YouTube (motherwitnoise).

Jam 9.30 malam, tibalah giliran Empty Page untuk beraksi. Atmosphere Live Fact mula bertukar sedikit sendu. Daripada goyang-goyang kaki dan kepala, crowd mula melambai tangan ke kiri dan kanan sambil memegang telefon bimbit (yang dibuka flashlight) untuk menikmati lagu-lagu Empty Page seperti Cahaya dan Tiada Arah (Aku & Kamu). Crowd juga kelihatan menyahut sing-along lagu bagaimana jika aku tiada (dunia akan terus berputar) dengan begitu baik sekali. Empty Page menutup pentas dengan lagu yang dikatakan tidak pernah dimainkan dimana-mana show (padan muka siapa yang tak datang Neue Lite). Perkembangan band hopeless-romantic ini boleh diikuti di Instagram (@emptypagex), Twitter (@emptypagex) dan YouTube (Empty Page! Tube).

Malam semakin larut, namun Neue Lite belum berakhir. Show ditutup dengan persembahan daripada band post-rock MIM. Pertama kali aku menonton MIM ialah di Festival Anak Muda anjuran Rantai Art pada tahun 2019 di Balai Seni Negara. Apa yang aku boleh katakan pada waktu itu ialah “eh mana vokalisnya?” (Ya jangan gelak, aku masih jahil ketika itu hshsh). MIM membawa lagu-lagu seperti Prahara, Gelora, Jagat dan Gasar pada malam itu di Neue Lite bersama-sama visual yang mengkhayalkan yang dipaparkan pada layar putih. Persembahan yang santai namun bertenaga daripada MIM, beberapa ahli band kelihatan tidak berkasut sewaktu persembahan (powerrrr). Kepada yang meminati muzik post-rock, dengarkan bunyian MIM di platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music serta ikuti MIM di Instagram (@soundsofmim).

Tamatlah acara gig Neue Lite sekitar jam 11 malam. Sebelum pulang, gig-goers boleh melihat dan membeli merchandise daripada bands yang disediakan di sebelah belakang Live Fact. Penganjur juga ada menyediakan tabung khas buat sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Freedom A(r)t Home (Instagram @freedomarthome) atas penganjuran Neue Lite yang turut didukung oleh Circe’s Brew yang menyajikan minuman Kombucha. Selamat maju jaya diucapkan. Semoga boleh bertemu lagi di gig-gig akan datang. Majulah industri muzik alternatif!