ULASAN SEPARUH AKHIR 1 ALI2020
Separuh Akhir 1 ditayang secara langsung menerusi saluran Youtube Kamar Seni pada 4 September 2020 jam 9 malam. Kami dapat lihat sekitar 400 orang viewers yang telah bersedia untuk menonton acara ini 10 minit sebelum acara dimulakan. Sambil menunggu, penonton memenuhi ruangan ‘live chat’ untuk berborak dan menyatakan sokongan kepada pemuzik yang mengambil bahagian.
01. Jika Ini Yang Terbaik – Heidi Moru & Hasha Roslan
Walaupun ia sebuah lagu ballad yang mendayu, ia kelihatan sungguh “grand”. Melihatkan barisan strings dan adunan muzik sebegitu menyebabkan kami lupa bahawa acara ini diadakan di sebuah ruang gig yang hanya boleh memuatkan sekitar 150 orang. Heidi Moru & Hasha Roslan berjaya membuai pendengar dengan sangat baik. Nampak jelas mereka bersedia untuk pertandingan ini. Namun, kami merasakan bahawa persembahannya agak mendatar, walaupun penuh dengan emosi dan perasaan. Ya, persembahan bagaimana lagi yang kita boleh jangkakan bagi lagu ballad, kan? Markah Junklist: 85%
02. Crazy – Heerraa
Persembahan yang sangat-sangat casual dari Heerraa. Kadangkala kedengaran semput. Mungkin kerana gugup. Di pertengahan lagu juga IEM receiver beliau kelihatan seperti terjatuh lalu Heerraa gelak secara bersahaja. Lagu ini berpotensi untuk menjadi sebuah pop yang catchy sekiranya Heerraa mampu memberikan persembahan yang lebih baik. Secara keseluruhan kelihatan lebih kepada persembahan di gig berbanding sebuah persembahan untuk pertandingan. Markah Junklist: 55%
03. Call Me – Block J
Permainan yang kemas daripada pemuzik mereka. Sungguh groovy dan chill. Tapi entah mengapa vokalisnya lebih gemar menyanyi menghadap gitaris berbanding menghadap badannya kehadapan kamera, menampakkan bahawa vokalisnya seolah-olah cuba lari dari persembahan tersebut. Bagi kami, gerak tubuh adalah perkara penting dalam seni persembahan kerana ia bakal mempengaruhi pendengar anda, selain daripada muzik itu sendiri. Markah Junklist: 70%
04. On My Own – Against Mel ft Eemrun
Mereka berdua patut sedar bahawa mereka berada 30 teratas daripada 600 penyertaan, bermakna mereka adalah Top 5%! Tetapi hampir kesemuanya agak kucar kacir, dari vokal sehinggalah showmanship. Tangan dalam poket? Anda kelihatan seperti bosan dengan lagu sendiri! Jujurnya lagu versi rakaman sangat-sangat baik dan berkualiti. Persembahan ini menyebabkan kami merasa kecewa. Tanpa pemuzik iringan, mereka boleh menggunakan ruang pentas yang luas dengan bergerak sedikit (sekiranya diizinkan) dan menyampaikan “mood” lagu ini. Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Markah Junklist: 40%
05. Had To Wait So Long – Crinkle Cut
Crinkle Cut jelas menunjukkan keyakinan dalam memainkan lagu mereka semenjak dari note pertama dimainkan. Walaupun mungkin kita (mungkin kami) tidak pernah mendengar atau menonton mereka sebelum ini, persembahan mereka terang dan bersuluh menunjukkan mereka berpengalaman dalam membuat persembahan. Sangat kemas permainan gitar dan keys mereka. Kudos diberikan kepada pemain gitar yang ligat bermain dengan lines, berjoget mengikut lagu dan memberikan sokongan vokal tanpa sebarang kecacatan. Markah Junklist: 80%
06. Extasy – Distorted
Lagunya okay, persembahannya pun okay-okay. Tenaga yang sama sepertimana lagu versi rakaman, iaitu tenaga yang “malas-malas”. Hanya yang berjaket coklat meletakkan emosi ketika persembahan. Sepanjang persembahan kami hanya fokus kepada beliau kerana seronok melihat emosi yang dilemparkan oleh beliau dan beliau nampak selesa. Mungkin ahli kumpulan lain boleh belajar sedikit dari beliau. Markah Junklist: 75%
07. I Am Enough – Bihzhu
Nampaknya gitaris Bihzhu tak dapat notis tema pakaian mereka malam itu. Hahaha. Jokes aside, persembahan dibuka dengan upacara tepuk tangan yang membina dinamik lagu ini sebelum masuk kepada intro gitar. Bihzhu sendiri nampak selesa dan yakin dengan persembahan beliau. Paling menarik, kesemua pemuzik beliau mempunyai peranan yang sama rata dalam persembahan tersebut dan bukan sekadar pemuzik iringan; dari suara latar sehingga lah permainan tepuk tangan. Kesemua penting dalam persembahan Bihzhu. Markah Junklist: 85%
08. Mesra – Nusarasa
Nusarasa menukar perasaan keseluruhan pertandingan, daripada lagu-lagu yang “feel-good” dan santai, menjadi sedikit berat. Vokal yang konsisten dan dinamik yang baik. Sekiranya mereka mara ke peringkat akhir, mereka memerlukan lebih daripada yang dipersembahkan ketika ini bagi memastikan mereka mempunyai “و” factor. Markah Junklist: 80%
09. Konversasi Sulit – Transitions
Dalam Separuh Akhir 1, Transitions seolah-olah sebutir beras di dalam mi; mood yang berlainan, muzik yang berlainan dan susunan lagu yang jauh berlainan daripada peserta lain. Penyampaian yang tepat ke muka dan penuh emosi. Tidak berapa pasti apa yang ingin dikongsikan, tetapi kami yakin apapun ianya, ia terkesan dan sampai. Markah Junklist: 85%.
10. Kalis Peluru – Yubi
Macam ada beberapa bahagian yang serba tidak kena sekitar jeritan Ash MC16. Vokal utama juga kedengaran tidak kesampaian di beberapa bahagian. Mungkin kerana semput dengan pergerakan persembahan beliau. Persembahan bertenaga, tapi kami percaya lebih banyak yang perlu dilakukan bagi memberikan lebih impak. Mereka perlu menaiktaraf persembahan mereka dan lakukan lebih daripada persembahan yang sama semasa bermain gig. Markah Junklist: 75%
Separuh Akhir 2 malam ini adalah kategori heavyweight pada hemat kami. Paling menarik untuk disaksikan.