Menjadi Anak Kecil di Ipoh Music Symposium 2022
Sebagai seorang yang mentah dalam scene kewartawanan, bila diajak untuk join Ipoh Music Symposium 2022 (IMS 2022) sebagai wakil pemerhati daripada Junklist, aku dah terfikir untuk menjiwai watak seorang anak kecil yang mengikuti orang tua pergi ke acara yang sangat asing baginya. Aku pujuk diri sendiri, ya, ini masa untuk belajar benda baru. Jangan takut, jangan risau. Kalau tak tau nak buat apa, duduk dan dengar saja.
Tapi aku mengaku, bila tiba di PORT Ipoh pada petang Jumaat yang basah dek hujan tu, perasaan ragu-ragu masih kuat dalam hati bila tengok printout tema IMS tahun ini yang terpampang besar di pintu masuk. Pop 1960-an? Aku tak pernah ambil kisah sangat pun tentang era ni. Rasa minat dan ingin tahu masih belum tercetus, padahal dah sampai venue dah pun! Jadi bila melangkah masuk ke dalam ruang forum yang sedang berlangsung (“Pengarkib Muzik Bebas & Sejarah Muzik Alternatif” menampilkan Adly Syairi, Paul Augustin, Joe Kidd), aku tak letak apa-apa expectation. Layan je lah, boleh cedok ilmu, insya-Allah. Spontan, aku ambil kerusi dan duduk di belakang Kamil (yang datang atas jemputan sebagai pengantara) dan Ku Syafiq (wakil pemerhati daripada Rondivu). Turut serta ialah abang Rosli Ibrahim, seorang aktivis OKU dan juga salah seorang pembentang kertas kerja. Mereka inilah yang menjadi “bapak-bapak” membimbing aku sepanjang 3 hari di IMS 2022.
Banyak sebenarnya program yang menarik. Ada tayangan dokumentari oleh Carl Hamm aka DJ Carlito, seorang disc jockey dan pengumpul rekod muzik yang sangat meminati era kegemilangan muzik Pop Yeh Yeh di Malaysia dan Singapura. Kalau dapat join daripada awal pagi, ada bengkel-bengkel muzik oleh Prof Madya Dr Azam Dungun, Edrie Hashim dan Zahid Ahmad di Ladyboss Studio, sebuah venue gig yang terkenal di Ipoh.
Panel-panel berkaliber seperti Tapa Otai dan Naza Mohamad pun ada buat sesi perkongsian tentang topik masing-masing (pembikinan kulit album dan pengarkiban piring hitam pop Melayu). Di Travelodge Hotel pula, lepas ucaptama dan perasmian oleh maestro muzik tanah air, YBhg. Dato’ Dr Johari Salleh, acara disambung oleh sesi-sesi pembentangan pada Sabtu dan Ahad yang dikategorikan kepada beberapa topik besar: Identiti Lokal, Kreativiti & Eksplorasi, Legasi & Impak, Fesyen & Gaya Hidup dan akhir sekali Filem. Highlight of the whole event sudah semestinya konsert Malam Pesta 60-an di Auditorium RTM Perak dengan barisan artis seperti The Strollers, The Rythmn Boys, Kugiran D’Tepi Pantai, S. Mariam, Adnan Othman, A. Ramlan, Ahmad Yassin, A. Rozaini dan juga FLEUR! dari Indonesia.
Sejujurnya, memang habis tenaga kalau nak ikut dan teliti setiap aktiviti yang ada. Kalau pergi gig, penat lebih kepada fizikal semata-mata; tapi di IMS 2022, ia memerah seluruh tenaga intelek dan sosial yang aku ada. Mungkin sebab aku datang ibarat seorang anak yang belum mumaiyyiz. Belum celik, belum faham, belum terbiasa; maka aku cuba fokus untuk menyerap segala maklumat yang bertubi-tubi menghentam otak. Nasib baik aku ada “bapak-bapak” yang membuka dan memudahkan jalan untuk masuk lebih mendalam ke scene ilmiah macam ni.
Belum masuk cerita lepak-lepak lepas program habis! Mendengar figura-figura penting dalam scene seperti Joe Kidd, Mohd Jayzuan dan ramai lagi berkongsi cerita dan pengalaman mereka selama berjam-jam, memang best. Kau rasa macam kalau minta diri untuk balik sebab dah penat, kau akan terlepas detik yang sangat berharga. Malah kadang-kadang aku rasa sesi lepak impromptu ni sama menarik (ataupun lebih!) dengan simposium tu sendiri. Overwhelming! Tapi aku tetap bersyukur dan gembira, sebab kalau bukan kerana IMS 2022, aku tak dapat peluang ni semua.
IMS adalah sebuah acara ilmu yang wajib datang untuk mereka yang ingin mencedok khazanah budaya Malaysia melalui aliran muzik. Mungkin bagi orang kebiasaan, muzik cuma sekadar muzik. Tetapi apabila menghadiri acara ini, aku dapati bahawa muzik ada terkait dengan aliran sejarah, politik, kritikan sosial, dan amalan budaya.
Antara pembentangan yang paling menarik bagi aku ialah daripada Daniyal Kadir, yang menerangkan bagaimana Mat Sentul mengangkat lagu Pop Yeh Yeh dalam filem-filem arahan beliau. Melalui sesi kendalian Naza Mohamad, aku dapati bahawa Pop Yeh Yeh adalah satu wabak sehinggakan setiap daerah dalam setiap negeri mempunyai kugiran yang tersendiri. Oleh kerana berada di Ipoh, Naza banyak berkongsi tentang kugiran tempatan Ipoh dan Perak secara am. Rizal, seorang lagi pengumpul dan pengkaji piring hitam, memperdengarkan kepada kami tentang kumpulan The Fabulous Falcon yang mengeluarkan bunyi kereta api melalui gitar mereka. Malah, amplifier gitar yang digunakan oleh mereka merupakan amplifier buatan tangan! Kita ada kebolehan buat amplifier pada tahun 60-an lagi!
Sesi tentang pengarkiban yang melibatkan Joe Kidd, Paul Augustin dan Irama Nusantara menyebabkan aku terfikir betapa kita pandang enteng kepentingan pengarkiban muzik kita. Bayangkan Irama Nusantara adalah sebuah kolektif di Indonesia yang mampu dan masih mengarkib muzik-muzik popular mereka sejak dari tahun 1920-and sehingga 2000-an! Mampukah kita menyaingi mereka dari segi susunan data dan pengarkiban? Jauh kita ketinggalan.
Tidak ada acara lain yang mampu menandingi IMS dari segi pemilihan konsep, pemilihan ahli panel dan susun atur perjalanan program. Ilmu formal dan tidak formalnya selari, dan ini adalah program ilmiah terkait muzik yang paling mampat pernah dihadiri.
Jadi kepada semua yang berminat nak hadir ke IMS 2023 atau tahun-tahun mendatang, aku nak petik nasihat Ku Syafiq yang dia bagi sebelum kami sampai ke PORT Ipoh: bawa powerbank untuk tenaga bersosial. Juga aku nak tambah, jiwailah watak seorang anak kecil yang dahagakan pengalaman baru. Insya-Allah, kau akan trade-in semua tu dengan ilmu pengetahuan yang tak ternilai.
Ikuti perkembangan PORT Ipoh di:
Laman web: www.portipoh.com.my
Twitter: @portipoh_
Instagram: @portipoh