Ulasan Showcase Album Dewataraya
Januari merupakan bulan paling ‘sibuk’ bagi komuniti muzik alternatif tempatan, dengan lahirnya beberapa rilisan single terbaru dan album-album berkualiti. Tambahan pula, beberapa band juga mula ‘membalas dendam’ dengan mengadakan tour di sebahagian Malaysia untuk menemui peminat mereka setelah sekian lama terpendam sewaktu PKP lepas.
Pada 22 Januari lepas, kumpulan Dewataraya telah melancarkan album sulung mereka di ruang Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC) yang dianjurkan oleh Alam Bunyian. Antara kumpulan yang dijemput bagi memanaskan pentas pada hari itu adalah Loko dan Iqbal M.
Setibanya di KLPAC, bunyi muzik sudah kedengaran dari luar bangunan membuatkan saya teruja kerana itu juga adalah kali pertama menjejakkan kaki di Pentas 1. Sebelum ini saya cuma pernah sampai di kawasan Sentul Depot yang pada hujung minggu agak meriah dengan acara santai dan pilihan makanan menarik.
Acara bermula pada 8 malam dengan persembahan pembukaan oleh Loko, lagu-lagu mereka yang catchy dan penuh bersemangat membuatkan saya tidak senang duduk kerana pergerakan yang agak terbatas. Walaupun begitu, penonton masih lagi boleh berdiri dan menari mengikuti lagu asalkan dalam jarak yang ditetapkan. Cuma agak ralat kerana pihak penganjur tidak menyediakan self-test kit pada malam itu untuk pembeli tiket, namun diingatkan juga bahawa tanggungjawab masing-masing untuk memastikan kesihatan dan keselamatan terjaga.
Antara lagu yang dimainkan Loko adalah Kritikan dan Pujaan Hati buat ramai yang bersemangat untuk mengikuti sepanjang acara malam itu. Sistem bunyi dan juga pencahayaan yang begitu baik menambahkan lagi perasaan puas berada di ruang yang sama. Cumanya, pergerakan antara set persembahan mengambil masa sekitar 10-15 minit yang bagi saya agak lama.
Seterusnya Iqbal M. mengambil pentas dengan lagu Pulanglah Segera. Lagu yang diambil dari album terawal Iqbal M. seperti automatik mengajak semua orang turut menyanyi bersama. Selingan Iqbal pada malam itu begitu santai, apabila Iqbal menghampiri penonton dan mula berborak. Perbualan Iqbal dengan penonton diselitkan beberapa usikan membuatkan saya pada masa yang sama seperti menonton stand-up comedy. Persembahan Iqbal M. diakhiri dengan lagu PSJKB.
Selingan set-up pada malam itu di iringi oleh persembahan audio dan visual oleh Alam Bunyian. Ruang pentas yang gelap dan selesa hampir membuatkan saya terlelap kerana sedikit keletihan. Jam 9:30 malam, kumpulan Dewataraya mempersembahkan lagu pertama mereka diiringi tarian oleh MataGreta Production. Penari menari dan beraksi mengikuti setiap lagu yang dipersembahkan pada malam itu. Jujurnya, saya tidak memahami setiap gerakan yang dilakukan oleh penari tapi saya yakin ianya mewakili setiap jalan cerita yang terdapat dalam lirik lagu Dewataraya. Setiap set lagu Dewataraya juga diiringi suara latar oleh Ara yang mengagumkan.
Set digelapkan di antara lagu seterusnya, puisi disampaikan Ain Shakirin Roslan mula menggema memenuhi ruang bagi permulaan lagu Pohon Sukma. Ruang Pentas 1 seakan terdiam mengagumi lontaran suara Ain Shakirin.
Set bagi lagu Biarkan Masa juga dimulakan bacaan sajak/puisi oleh Ain Shakirin Roslan begitu menusuk dan apabila Heidi Moru naik ke pentas dengan busana gaun putih, perasaan terpesona menyelubungi saya. Suara lantang Nawi digandingkan suara gemersik Heidi pada malam itu seperti satu magis memukau pendengar.
Jemputan istimewa Gheff dari Glistening Redchair mengiringi Dewataraya dalam lagu Ikhtiar Hidup begitu garang beserta bunyian gitar elektrik yang membuatkan ramai mula headbanging mengikuti lagu. Acara pada malam itu diakhiri dengan lagu Hadiah Untuk Semua yang merupakan lagu kemuncak, apabila diiringi pemain gitar Nureen Qistina dari kumpulan Xpose. Penari latar juga mengikuti rentak lagu dan seakan ‘mengamuk’ di atas pentas.
Keseluruhan persembahan Dewataraya sangatlah memuaskan dan sangatlah rugi bagi sesiapa yang belum pernah cuba layan muzik dihasilkan mereka. Semua lagu yang dipersembahkan mengikut urutan di dalam album mempunyai semangat dan penceritaan tersendiri. Ini merupakan satu pengalaman baru menonton persembahan pentas sebuah band Alternative Rock dimana mereka menjadikannya sebuah acara yang menggabungkan pelbagai jenis seni dalam satu persembahan. Seni muzik, tarian, puisi dan visual dari talaan cahaya LED yang dimainkan ketika persembahan membawa persembahan ini ke satu tahap yang lain sepanjang saya menonton persembahan pentas.
Syabas diucapkan kepada Dewataraya dan juga pasukan yang lain iaitu Alam Bunyian dan MataGreta Production kerana berjaya membawakan acara sebegini untuk memeriahkan lagi acara pentas dalam arena muzik alternatif negara kita. Album Dewataraya kini dapat didengarkan secara penuh di Spotify dan platform penstriman digital yang lain dan anda boleh dapatkan album fizikal di laman Instagram mereka.
*Teks : Atiqah / Ali Maswari
*Gambar & Video: Nana / Ali Maswari