Sidang Media Hari Atas Angin 2022
Pada 14 Januari 2022 yang jatuh pada hari Jumaat, penganjur muzik tempatan Atas Angin telah mengadakan satu sidang media di Angkasa Event Space di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dimana mereka mengumumkan perancangan mereka sepanjang tahun 2022 yang menurut mereka, tahun “ride or die!” bagi mereka. Perancangan ini melibatkan tiga perkara iaitu Hari Atas Angin 2022, Atas Angin Rock Show dan juga pelancaran laman web mereka.
Hari Atas Angin 2022 merupakan satu acara konsert yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Febuari 2022 di Warisan Hall, Sijangkang. Acara ini akan meletakkan sebanyak 14 kugiran sepanjang dua hari konsert ini akan berlangsung nanti. Kugiran yang telah diumumkan untuk acara ini ialah, OAG, 6ixthsense, Iqbal M., Grey Sky Morning, Johny Comes Lately, Budak Nakal Hujung Simpang, Margasatwa, Spooky Wet Dreams, KAPOW, LOKO, Plong!, Skudap Skudip dan juga dua deejay untuk acara ‘selepas majlis’ (after party) iaitu DJ Jemput Dengar dan juga DJ Afiq Azren.
Menurut Atas Angin, tujuan mereka memilih Warisan Hall yang terletak di Sijangkang sebagai tempat untuk Hari Atas Angin 2022 ialah untuk memberi kelainan dan juga meluaskan gerakan muzik bebas tempatan ke luar kawasan Lembah Klang.
Seterusnya pada sidang media ini, Atas Angin mengumumkan Atas Angin Rock Show yang merupakan satu siri persembahan/gig yang berlangsung sepanjang tahun 2022 dimana mereka akan mengadakan satu persembahan/gig setiap bulan sepanjang tahun 2022 di Angkasa Event Space. Kugiran yang telah dipastikan untuk siri persembahan ini ialah The Times, Johny Comes Lately, Couple, Grey Sky Morning, A.C.A.B dan juga beberapa lagi yang akan diumumkan nanti oleh mereka.
Tujuan mereka untuk mengadakan siri persembahan ini sepanjang tahun ialah untuk menerapkan perancangan yang awal bagi mana-mana penganjur, artis, kugiran ataupun sesiapa saja yang ingin mengadakan apa-apa persembahan/konsert/gig. Kugiran yang telah diumumkan untuk siri persembahan ini juga diberi kebebasan oleh Atas Angin untuk membawa mana-mana artis atau kugiran yang lain untuk melakukan persembahan/gig ini bersama mereka.
Atas Angin Rock Show yang pertama baru saja berlangsung pada 15 Januari yang lalu, dimana kugiran Restraint merupakan kugiran yang pertama yang memulakan siri persembahan/gig ini bersama Consecrate dan juga Esclave857.
Atas Angin juga mengumumkan yang mereka lancarkan laman web mereka sendiri serta satu perkhidmatan langganan di laman web mereka. Laman web mereka telah dilancarkan pada 16 Januari 2022 turut serta perkhidmatan langganan mereka yang berharga RM 15 untuk setahun. Menurut mereka, sesiapa saja yang membeli perkhidmatan langganan mereka, pembelian itu boleh membuatkan penjimatan sebanyak RM 600 setahun.
Antara kelebihan untuk pelanggan yang membeli perkhidmatan langganan Atas Angin ialah pelanggan boleh mendapatkan diskaun harga tiket untuk kesemua acara yang mereka anjurkan dan juga diskaun untuk sebarang pembelian barangan eksklusif di laman web mereka. Tujuan mereka mewujudkan khidmat langganan ini adalah untuk memberi nilai jangka masa panjang kepada sesiapa saja yang melanggan perkhidmatan ini.
Ciri-ciri lain laman web dalam laman web ini ialah sebuah kalendar bersepadu dimana sesiapa saja, tidak kira penganjur acara yang lain, mana-mana artis dan kugiran boleh guna untuk membuat sebarang perancangan dengan menggunakan kalendar itu demi untuk mengelakkan terlalu banyak acara/majlis berlaku pada satu hari yang sama.
Dengan wujudnya laman web ini, sebarang pembelian tiket masa hadapan akan melalui laman web mereka. Atas Angin mengatakan bahawa dengan sistem pembelian tiket yang baru ini mereka boleh menaiktarafkan pembelian tiket mereka dan juga mengelakkan sebarang penipuan pembelian tiket.
Atas Angin juga mengajak mana-mana artis dan juga kugiran yang ada keinginan untuk menjual barangan mereka di laman web mereka kerana mereka juga akan mengadakan satu ruang sebagai gudang/kedai di laman web mereka.
*Teks oleh Adam Afifi