Browse By

Atas Angin Recovery Pre-Show – Ulasan Gig

Atas Angin kembali semula menganjurkan gig fizikal, Atas Angin Recovery Pre-Show selepas kali terakhir mereka menganjurkannya pada bulan April yang lalu menerusi pelancaran album POPKONSPIRASY. Gig ini diadakan pada 23 Oktober yang lalu bertempat di ANGKASA Event Space menampilkan Iqbal dari Iqbal M., Motherwit, Couple, Skudap Skudip dan Afiq Azren. Dengan harga tiket RM70 anda dapat menyaksikan line-up tersebut amatlah berbaloi bagi saya dan kredit harus diberikan kepada pihak penganjur kerana turut menyediakan self-test kit setiap seorang bagi memastikan acara ini berjalan dengan lancar dan kesihatan semua terjaga.

Pintu mula dibuka pada jam 3 petang bagi memastikan semua penonton yang hadir sempat membuat swab test sendiri sebelum gig bermula pada jam 5 petang. Saya tiba di ANGKASA pada jam 3.15 petang pun sudah kelihatan ramai yang beratur di tangga masuk ANGKASA mendapatkan self test kit. Alhamdulillah sebelum set bermula tiada pula kami dengar berita yang tak diingini. Kredit sekali lagi untuk pihak penganjur yang berusaha untuk menjaga SOP ketika di dalam ruang acara dengan menyediakan petak merah di lantai untuk setiap penonton yang hadir.

Set pertama dimulakan oleh Iqbal dari Iqbal M. pada jam 5 petang yang menggantikan OAG atas sebab tertentu. Walaupun dipanggil last minute, Iqbal tetap sempoi menjayakan acara ini. Steady Iqbal. Iqbal membawa set akustiknya untuk acara ini. Lagu pemanas badannya sahaja sudah cukup untuk buat crowd singalong walaupun masih ada yang segan silu. Sudah lupa suasana pergi gig mungkin. Lagu pertama yang dibawakan oleh Iqbal ialah Kota Memujuk. Kemudian beliau teruskan dengan beberapa buah lagu baru dan lama iaitu Jangan Cakap Saja, Mata, Trek 8, Antara Dua Darjat dan Pulang Segera.

Iqbal being Iqbal. Diselingan lagu-lagunya sempat beliau bersoloroh dengan crowd yang hadir. Sudah pasti itu detik-detik yang dirindui oleh Moden Rokes yang hadir. Ramai yang bertanyakan kepada beliau mana Iqbal M.? Beliau baru sahaja mendedahkannya di instagramnya. 6 November anda bakal berjumpa dengan Iqbal M.. Jadi Moden Rokes sekalian mark your date dan ikuti mereka di sosial media untuk perkembangan selanjutnya. Beliau juga turut mendedahkan bahawa mereka dalam proses pembikinan album baru mereka yang mungkin menjadi album terakhir mereka.

Selesai Iqbal beraksi, masa untuk Motherwit pula. Untuk sesiapa yang tidak tahu, band ini ditubuhkan oleh Sahaq Ibrahim sewaktu pkp tahun lepas dan ini adalah gig fizikal pertama mereka. Motherwit bermula dengan penuh bertenaga dengan lagu Prison Of Love. Motherwit meneruskan persembahan dengan lagu Senjakala dan Thunder iaitu rilisan terbaru mereka. Walaupun ini adalah kali pertama mereka beraksi bersama on stage, ia tidak kelihatan kekok dan saya pasti dengan gig ini sahaja mereka telah dapat peminat baru menerusi muzik mereka.

Set diteruskan dengan sebuah lagu cover dari Dato Siti Nurhaliza bertajuk Dialah Di Hati. Apabila saya dengarkan arrangement yang dibawakan oleh mereka terus saya teringat akan sebuah pertandingan yang hangat suatu masa dahulu, Versus. Sahaq mengatakan ini adalah antara arrangement yang paling susah dia lakukan sehingga dia sendiri tak tahu kenapa dia buat. Akhir sekali set ditutup dengan lagu Parachute dan Amanah. Saya yakin mereka sangat berpuas hati dengan persembahan mereka dan rata-rata feedback yang saya dapat terhadap band baru ini adalah positif. Sukses Motherwit. Tamatnya persembahan daripada Motherwit, gig dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada ‘Maghrib Break’.

Selepas ‘Maghrib Break‘ , gig diteruskan lagi dengan persembahan daripada band Couple. Jam 8.05 malam, Couple meneruskan persembahan dengan memainkan 14 buah lagu mereka dengan bertenaga sekali. Antara lagu-lagu yang dibawakan pada malam itu ialah next single mereka iaitu Goddamn Mighty Tune dan membawa kepada lagu-lagu lama seperti Tentang Kita, Gotta Be My Gurl, Hey Kawan-Kawan, Pergi, Now That I Can See dan Be My Baby. “They play power pop, but they kinda think they rock” (sumber Instagram @wearecouplemy). Little did they know, they really rock the night! Crowd yang datang sepertinya membalas tenaga persembahan yang Couple berikan dengan singalong bersama-sama dan berjoget (tapi patuh sop).

Tamat set Couple, rata-rata hadirin turun sekejap dari Angkasa untuk mengambil udara dan recharge balik energy untuk Skudap Skudip. Nak skanking pula lepas ni! Band Ska yang berasal dari Klang ini tidak mengambil masa yang lama untuk setup equipment mereka dan melakukan ‘soundcheck’ sebelum persembahan. Tanpa berlengah masa, Angkasa terus digegarkan dengan irama-irama dari Jamaica (rujuk lagu Ska La La). 8 buah lagu semuanya dimainkan pada malam itu (kalau tak silaplah, aku pun busy layan Skudap Skudip!). Berskanking semuanya, daripada yang lelaki, perempuan, yang memakai boot Dr. Marten mahupun kasut Vans. Vokalis Skudap Skudip juga ada tunjukkan cara-cara untuk menari lagu-lagu ska kepada crowd. Crowd pun bersemangat cuba ikut steps tarian yang ditunjukkan! Jadi teringat kepada Hari Atas Angin tahun lepas! Ikuti perkembangan Skudap Skudip di Instagram mereka @skudapskudip_official.

Malam semakin larut, namun gig Recovery Pre-Show masih belum tamat. Acara diteruskan dengan set dj daripada Afiq Azren. Pemuda berbakat ini memulakan set dengan memainkan lagu Rumah Ke Rumah daripada band Indonesia, Hindia. Haruslah kena singalong kan! Crowd yang masih tinggal untuk set dj rata-ratanya sporting, serta singalong dan berjoget dengan lagu-lagu yang dimainkan Afiq Azren. Lagu-lagu yang dimainkan kebanyakannya lagu lama, jadi terimbau semula kenangan zaman sekolah dulu. Antara lagu yang diputarkan ialah seperti Baby (nyanyian Justin Bieber), Yank (nyanyian Wali Band) dan Asereje (Ketchup Song) (nyanyian Las Ketchup). Paling tidak dilupakan dj ada memainkan lagu Menuju Puncak (lagu Akademi Fantasia. Takkan tak tahu? Lemah!), terkejut satu Angkasa! Siap ada yang lead koreografi didepan semasa lagu ini dimainkan, korang memang sporting! Follow Afiq Azren di Instagram beliau @afiq.azren untuk mengikuti perkembangan terkini.

Jutaan terima kasih dan tahniah buat Atas Angin kerana menganjurkan gig ini. Dah lama tak merasa berkumpul ramai-ramai. Terasa nadi hidup kembali. Semoga muzik indie/alternatif/underground akan terus mekar walau apapun cabaran yang mendatang. Terima kasih dan jumpa lagi <3

P/s: Qbistro dah ada robot hantar air woi power gila!

P/s lagi : Penulisan bersama Ku Ziqree dan Syu SH