Malayneum 23 – Butterfingers ‘Balas Dendam’
24 Ogos 2023 yang lepas, Junklist telah dijemput ke Sidang Media Butterfingers di Groovitiam TTDI yang mana Butterfingers dikatakan mahu mencipta magis sekali lagi di Stadium Malawati, Shah Alam untuk meraikan 2 dekad album Malayneum.
Selepas kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun pada 2019, Butterfingers ingin membawa pengikut-pengikut kultus mereka menyusuri kembali kegemilangan kemuncak muzik mereka dalam era album ke-4 menerusi Konsert Malayneum 23 pada 7 Oktober nanti sekali lagi di Stadium Malawati yang LoQue sifatkan lokasi ikonik.
Antara teraju utama kumpulan Butterfingers, LoQue berkata, idea ini sudah lama tersimpan di benak pemikirannya sebaik selepas kejayaan Konsert Transcendence yang lepas. Namun ianya terbantut akibat dunia diserang pandemik untuk beberapa tahun. Maka tahun ini dilihat ‘cuaca’ yang agak baik untuk dilaksanakan.
Apabila ditanya mengapa konsert ini diadakan adalah kerana sebelum ini Butterfingers tidak sempat untuk meraikan album ini sepenuhnya. Ketika tahun 2001, mereka sedang ligat menghasilkan album demi album sejak album pertama iaitu 1.2 Milligrams. Ketika album ke-3 Butterfingers, Transcendence belum selesai menempa nama, tanpa melengahkan masa Butterfingers terus mengeluarkan album ke-4 mereka, Malayneum.
Menurut LoQue, “Dari perspektif syarikat rakaman, album ini telah dikira sebagai ‘bunuh diri secara komersial’ kerana kami (Butterfingers) telah pusing 180 darjah bunyi-bunyian kami untuk lari dari bunyi-bunyian album Transcendence. Oleh kerana album Malayneum ini dilihat sebagai janggal dan aneh dari album-album sebelumnya, juga atas beberapa faktor lain yang tak dapat dielakkan, maka kami tidak sempat untuk meraikan album ini secara sepenuhnya ketika itu.”
“Oleh itu, album ini dianggap ‘setengah masak’ kerana kami tidak dapat bermain ‘live’ lagu-lagu dari album Malayneum secara menyeluruh. Jadi, Konsert Malayneum 23 ini bakal menyaksikan lagu-lagu dari album Malayneum antaranya, akan dimainkan dalam perspektif yang berbeza di era yang berbeza untuk semua yang hadir nanti.” tambah LoQue yang beranggapan konsert ini bakal lebih ‘bersama sebagai band’ dan telah mempelajari dari konsert sebelum ini.
Emmett yang bakal tampil bermain gitar semula atas permintaan ramai, dia berkata, “Saya begitu teruja dan hanya berharap untuk menghidangkan satu persembahan yang boleh diingati dan luar biasa.”
Tambah Emmett lagi, Malayneum adalah satu album ‘underrated‘ yang lahir sebelum mereka memasuki “Era hibemasi peti ais” (hiatus) dan seluruh ahli kumpulan tidak dapat berpeluang meraikannya dengan secukupnya. Album ini datang dengan bunyi-bunyian yang tidak ‘grunge‘ seperti kebanyakan album yang kami ada.”
LoQue pula menambah, “Trek-trek dalam album Malayneum sangat berbeza berbanding album kami yang lain. Ketika merakamkan album ini, kami agak bosan dengan ‘power chords‘, otak kami juga telah pecah kepada pelbagai saluran kreativiti. Album Malayneum ini juga secara kiasannya ibarat ‘senjakala’ kerana ia perantara antara siang dan malam,”
“Oleh kerana itu, kami menyuntik elemen-elemen akustik dan elektronik contohnya seperti penggunaan ensemble biola ‘string quartet‘, ‘horn section‘ (trumpet dan trombone) dan juga permainan runut samples (antaranya suara Cikgu, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dan synthesizer.”
Bercerita perihal Malayneum, Loque berkongsi lagi, “Apabila memikirkan kembali sekarang, 2 dekad selepas dikeluarkan, saya boleh katakan Malayneum sangat menonjol sebagai satu album kami yang paling unik. Album ini berada di antara grunge, alternatif dan indie rock. Sukar untuk kami letakkan dalam mana-mana kategori. Selepas 20 tahun, kami bersyukur kerana kami membawa haluan tersebut yang belum pernah lagi dibawa Butterfingers tetapi Malayneum cukup siap dan berada dalam liganya sendiri”.
Kadak pula berkata “Malayneum ini adalah satu karya yang ‘diperam’ dan ‘masak ranum’. Pendengar album ini diharap dapat alami semua lagu dan menikmatinya dengan baik terutamanya pada persembahan malam nanti.”
Mengakhiri perbualan bersama Kadak, beliau akan cuba menjanjikan kelainan pada konsert malam tersebut. Malah kali ini lebih bersedia dan tidak mahu kejadian pada konsert Transcendence 20 berulang.
Loko yang berkata sudah bersedia dari segi kesihatan dan diet demi konsert ini juga berharap semua yang membesar dengan muzik Butterfingers dan generasi baharu dapat hadir bersama.
“Walaupun konsert ini untuk meraikan 2 dekad album Malayneum, namun demi tidak mengecewakan pengikut kultus kami, kami akan menyajikan lagu-lagu ‘kek lapis’ dari era awal Butterfingers iaitu lagu-lagu kegemaran ramai dalam repertoire kami” kata LoQue sebelum perbualan berakhir. Tambahnya lagi akan ada lagu-lagu ‘rare’ dari demo Butterfingers yang akan dimainkan.
Konsert Malayneum 23 Butterfingers bakal diadakan pada tanggal 7 Oktober depan di Stadium Malawati, Shah Alam. Lokasi ini sekali lagi dipilih kerana kapasiti penonton yang boleh memuatkan sehingga lebih 8000 penonton dalam satu-satu masa.
Tiket konsert sudah mula dijual dan di atas kerjasama Converse Malaysia, setiap pembeli akan dapat baucar Converse bernilai RM100!
Zon tempat duduk mula dijual dengan harga bermula RM99 (Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season). Manakala untuk zon berdiri, harga tiket boleh didapati pada harga RM169 (Malayneum) sahaja. Serta tambahan tempat duduk utama dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe) untuk pembeli bergambar bersama (meet & greet) dan memiliki barangan rasmi (official merchandise).
Segala urusan pembelian tiket adalah menerusi www.ticket2u.com .
Kredit
Penulis: Mat Lai
Editor: Ali Maswari
Gambar: Kak Opie