Browse By

LEPAS GIAN DI ANGKASA – ULASAN GIG

Angkasa, 27 MAR 2021 – Genap setahun rakyat Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia serta menjejaskan pelbagai sektor dengan sangat mendadak.

Tahun ini bertepatan bulan Mac 2021, setelah diperkenan oleh kerajaan Malaysia kebanyakan sektor telah pun dibuka semula untuk merangsang semula ekonomi negara. Dan yang membuatkan kami lebih gembira apabila persembahan pentas sudah mula dibenarkan. Pihak Angkasa Space, Cheras antara yang terawal membuka gelanggang. Gig ‘Lepas Gian’ yang dianjurkan oleh pasukan ‘Good Set, You Kill It Dude’ (GSYKID). Satu nama yang agak baru dalam scene.

Petang ini cuaca ‘basah’ di kebanyakan tempat. Penulis sendiri tiba di lokasi pada waktu hujan mulai lebat. Acara dimulakan mengikut jadual iaitu pada jam 5 petang. Agak janggal bertemu orang ramai dalam venue yang tertutup selepas setahun ketiadaan gig. Seperti biasa, menaiki tangga ke tingkat 1 dan mendaftar nama sebelum diberikan cable tight berwarna kuning untuk membezakan pengunjung yang membeli tiket sesi A, Sesi B dan Sesi A+B. Ia adalah satu norma baru dalam tempoh PKP kerana acara sebegini hanya dihadkan seramai 50 orang sahaja untuk 1 sesi.

Sesi A dimulakan dengan band Airwaves On Fire, band Punk Rock berasal dari Petaling Jaya. Tak banyak yang dapat saya ceritakan kerana saya terlepas set persembahan mereka dek melayan lebatnya hujan yang melanda hatiku sewaktu menuju ke lokasi gig. tiberr…
Satu perkara yang baru apabila dalam ruangan gig telah tersusunnya KERUSI untuk setiap pengunjung kekal berada dalam kotak mereka. Of course dengan penjarakan sosial sebanyak 1 meter. Jadi terpulang pada anda nak layan gig secara berdiri atau duduk. Tapi jadi masalah untuk orang belakang yang nak layan gig dengan duduk tapi orang depan pula semua yang berdiri.

Band kedua yang meneruskan sesi pada petang itu ialah Here Comes July. Terkenal dengan lagu mereka ‘Juwita’ yang turut dijadikan runut bunyi bagi drama ‘Takdir Yang Tertulis’ telah membawa mereka ke satu tahap yang lain dalam karier muzik mereka. Setiap band membawakan 5 buah lagu dalam setiap slot. Vokalis Here Comes July, Lukman cekap mengambil perhatian penonton dengan berinteraksi sebelum memulakan persembahan. Lagu yang mendapat perhatian pada petang itu adalah ‘Perempuan‘ & ‘Juwita‘.

Slot ketiga pula diteruskan dengan kumpulan Empty Page. “A Hopeless-Romantic Band“. Itu yang tertulis pada profile IG mereka. Empty Page antara salah satu band yang aktif dengan rilisan single sewaktu tempoh PKP. Set mereka dimulakan dengan pembukaan yang agak bertenaga. Kedengaran bunyi siren polis dimainkan sebelum lagu pembukaan dimulakan. Dan vokalisnya, Zic dengan penuh bersemangat mengajak semua penonton untuk berdiri dan mujur mereka semua cukup sporting untuk sama-sama berdiri di kotak masing-masing. (kecuali penulis sebab terlalu selesa duduk sambil observing & judging people). Zic turut berkongsi rasa dan pengalaman sewaktu melalui tempoh PKP di mana ianya suatu fasa yang sukar bagi dirinya dan juga band mereka. Namun pada malam itu mereka betul-betul lepas gian. Pada lagu terakhir mereka, Zic meliar di sekeliling pentas juga ke depan pentas dan penghabisannya terbaring di atas pentas.

Akhirnya sesi A tamat dengan amat cemerlang kerana masih mengikut masa dan jadual yang disusun. Waktu rehat dari jam 7 petang hingga 8 malam bagi menghormati waktu maghrib dan menyediakan pentas bagi sesi B pula. Di bahagian belakang dari tempat duduk penonton, sebaris dengan pasukan Sound Engineer terdapatnya barisan meja yang menjual merchandise band yang perform pada hari ini. Namun kurang pencahayaan di kawasan tersebut membuatkan ramai yang tidak sedar akan keberadaan meja tersebut. Setakat ini, boleh dikatakan acara ini mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Pada pintu masuk disediakan QR Code dan juga alat pemeriksa suhu badan bagi memastikan setiap pengunjung dalam keadaan yang sihat sebelum masuk ke premis.
#patuhiSOP
#GigPatuhSOP

Jam menunjukkan waktu 7:55pm dan penulis sedia bergerak dari Q Bistro untuk naik ke Angkasa Space. Saja nak kongsi, Q Bistro punya sistem order dah canggih ooo…

Sesi B dimulakan on-time pada pukul 8 malam. Sewaktu penulis masuk ke ruangan gig, ahli band The Fridays telah pun bersedia di atas pentas. Band Divisyen ke-3 ini memulakan set malam itu dengan gaya mereka tersendiri. Setiap tajuk lagu yang disebutkan oleh Acap, vokalis mereka mesti akan dikaitkan dengan Dadah. Lagu ‘Disneyland‘ contohnya, menurut acap sebuah lagu tentang jumpa Mickey Mouse lepas tu hisap dadah. Rata-rata terhibur dengan gelagat kesemua ahli The Fridays pada malam itu. Lagu-lagu dalam album pertama mereka, ‘Verklempt‘ turut dimainkan. Nantikan The Fridays dengan album baru mereka tidak lama lagi!

Pasca Sini mengisi slot seterusnya. Sebelum mereka memulakan slot kedua pada malam ini, dari corong speaker kedengaran sebuah lagu dengan irama lo-fi yang kebiasannya melodi ini dimainkan setahun sekali sahaja di stesen radio tempatan. Jangan lagu raya la! Sedih! Tapi mungkin dengan bermulanya acara gig di seluruh Malaysia boleh dikira Hari Raya bagi sekalian anak-anak indie malaya. Band Pop-Punk ini turut aktif sewaktu PKP dan melancarkan sebuah album iaitu ‘Emo Department‘ pada November 2020. Lagu pertama ‘Fikir Sebelum Bertindak‘ dimainkan pada malam itu juga dipetik dari album pertama mereka. Anwar Hadi tampil dengan gitar Cort beliau. Biasa nampak pakai Telecaster.

Gitaris kedua pula menunjukkan perubahan positif dengan menurunkan berat badan beliau sewaktu PKP. Sangat Produktif! Sebelum lupa, penulis sangat berpuas hati dengan talaan cahaya setakat ini. Semuanya kena dengan susunan lagu dan vibe menambahkan pengalaman gig yang lebih memuaskan.

Sewaktu lagu ‘DMB‘ dimainkan, Pasca Sini menjemput vokalis Motherwit, Sahaq bagi menggantikan Hyke (Hacktick).

Tiba masa bagi slot terakhir pada malam ini iaitu Patriots. Tanpa menunggu lama mereka memulakan set mereka dengan lagu ‘Never Again‘ yang dipetik dari album ‘Separation‘. Mereka tampil dengan identiti mereka tersendiri yang sering kita lihat di social media dan juga dalam Video Muzik mereka. Jaket denim tanpa lengan dan muka yang berceloreng. Sepanjang persembahan pada malam ini kelihatan penonton yang hadir lebih mudah untuk berdiri dan mosh di tempat masing-masing. Mungkin juga disebabkan slot band yang lebih bertenaga pada malam ini membuatkan masing-masing tidak senang duduk diam. Selepas Patriots memainkan lagu terakhir mereka, terdengar laungan “we want more!” dari penonton. Atas izin pihak penganjur mereka memainkan satu lagi lagu untuk penutup malam Lepas Gian.

Kesimpulannya, malam ini merupakan satu pengalaman baru buat penulis selepas setahun ketiadaan sebarang persembahan pentas disebabkan PKP. Walaupun hanya dengan kerusi dan ruang kotak dengan jarak 1 meter ianya cukup (buat masa ini) untuk melepaskan gian menonton gig/persembahan secara langsung dan bukan secara atas talian. Cuma mungkin dari segi jumlah pengunjung yang terhad memberi kesan dari segi penjualan tiket dan motivasi band yang mengambil bahagian. Namun ianya permulaan yang baik dan semoga semua penganjur dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan agar acara seperti ini dapat dijalankan dengan kaedah yang paling selamat tanpa membantutkan kegiatan seni kreatif di negara kita. Syabas kepada team GSYKID di atas penganjuran #GigPatuhSOP. Pada kalian para penyokong karya tempatan, tunjukkan sokongan dengan membeli tiket gig pada 10 & 11 April sempena Hari Gig Kebangsaan.

May Peace Be Upon You & Stay Safe guys!