Sekumpulan Orang Gila Angkat Sauh Di Bentley Music Auditorium
Tulisan Adam Afifi
Setelah mengeluarkan album ketiga mereka iaitu ‘Second Voyage’ pada bulan September yang lalu, kini Sekumpulan Orang Gila (SOG) telah bersedia untuk beraksi diatas pentas kembali. Sudah beberapa bulan mereka tidak melakukan sebarang persembahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tak sudah akibat kenaikan kes pandemik COVID-19 yang berlaku di negara ini. Pengumuman konsert ini dilakukan di sekitar laman sosial media mereka pada 17 November 2021, yang bertempat di Bentley Music Auditorium dan berlangsung pada 11 Disember 2021, bermula pada pukul 8 malam. Sejurus pengumuman itu, tiket tempahan awal yang berharga RM50 habis dijual pada hari yang sama!
Penulis hadir di lokasi lebih kurang setengah jam sebelum waktu persembahan dimulakan. Setelah tiba di lokasi, para hadirin perlu membuat ujian kendiri COVID-19 dengan kit yang dijual di lokasi persembahan sebelum dibenarkan untuk masuk ke dewan persembahan terlebih dahulu. ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) konsert diperhatikan sepanjang acara, dimana para hadirin perlu mendaftar masuk menggunakan MySejahtera semasa mengutip tiket di pintu masuk, sehinggalah para hadirin perlu menjaga jarak fizikal di dalam dewan sepanjang konsert berlangsung dibantu dengan menggunakan pita kertas yang ditampal atas permaidani dewan persembahan.
Setelah memasuki dewan, penulis melihat ramai peminat sedang menunggu persembahan untuk bermula. Persembahan bermula tepat pada jam 8.20 malam.
Persembahan dimulakan dengan alunan dari lagu Warkah Dari Rumah yang menggema dewan melalui pembesar suara. Ini merupakan trek pertama dari album terbaru mereka. Pada waktu ini setiap ahli SOG sudah naik ke atas pentas dan telah bersiap sedia untuk menjayakan konsert ini. Setelah tamat lagu ini, mereka memulakan persembahan mereka dengan lagu Second Voyage. Vokal Tim Lambersis digantikan oleh Shairil Redzuan dari kugiran Transitions.
Sejurus tamat, mereka mengambil kesempatan untuk memberikan ucapan kepada semua yang hadir.
Konsert diteruskan dengan Sailors of Sorrow yang juga merupakan lagu kedua dari album terbaru mereka. Ketika ini, ramai yang hadir tidak dapat menahan diri lantas ber’moshing’ dan melakukan ‘circle pit’ sebaik lagu bermula. Setelah tamatnya, SOG mengingatkan kepada semua yang hadir untuk menjaga SOP mereka sepanjang konsert sedang berjalan. Riko, selaku tukang jerit untuk SOG tampak amat garang sekali ketika melakukan persembahan lagu ini.
Persembahan disambung dengan lagu Memories dan diteruskan pula dengan lagu dari album pertama mereka yang juga merupakan tajuk untuk album itu iaitu Bahtera sebagai imbasan memori kepada peminat SOG yang telah menyokong muzik mereka dari awal. Pada ketika ini, penulis sendiri tidak dapat menahan diri sendiri serta melompat dan mengangguk kepala bersama para hadirin yang lain. Persembahan seterusnya bersambung dengan lagu Radicalism.
Kemudian, Dewan menjadi senyap seketika semasa Nazrin meniup seruling, berlatarkan lagu ambein koir yang menjadi pemula kepada lagu Terbanglah. Lagu Terbanglah berkumandang sejurus itu, merupakan lagu yang dipetik dari album kedua mereka iaitu Dermaga.
Acara disambung dengan lagu yang telah menempatkan mereka ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), Pelukan Angkasa. Ketika lagu ini sedang dipersembahkan, Riko dengan segala upaya cuba untuk meniru nyanyian Shila Amzah, tetapi dengan serta mertanya gagal. Namun boleh dikatakan bahagian tersebut telah diselamatkan oleh para hadirin yang turut sama bernyanyi. SOG mengambil sedikit masa selepas lagu habis dimainkan untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat mereka kerana meletakkan mereka di peringkat separuh akhir AJL. Menurut Nazrin, Shila Amzah tidak hadir dan bersama mereka pada saat akhir untuk sesuatu hal yang tidak dapat dielakkan.
Persembahan disambung dengan lagu Tugut Ugut. dituruti dengan lagu kesembilan pada malam itu, Legasi. MK Ridzuan selaku pengendali alat muzik tradisional Melayu memainkan solo seruling yang amat mengasyikkan. Sepanjang konsert berlangsung, Riko nampak amat sangat selesa berada di atas pentas. Konsert pula diteruskan dengan lagu Gerhana.
Selesai memainkan Gerhana, mereka semua beredar dari pentas untuk seketika, membuatkan ramai para hadirin yang menyangka bahawa konsert telah tamat, lalu melaungkan “we want more!” sehinggalah mereka semua naik ke atas pentas semula. Alunan Dermaga dimainkan sehiggalah selesai, disambung dengan lagu Hancur Musnah, yang merupakan antara lagu yang paling berat dan juga paling ganas pada malam ini.
Kini sudah tibanya penamat untuk konsert ini. Sebelum memainkan lagu terakhir mereka untuk konsert ini, Nazrin meminta supaya semua penonton untuk menyimpan telefon bimbit pintar mereka sebelum lagu terakhir dimainkan. Demi menghormati pemberitahuan itu, penulis tidak akan tulis apa yang berlaku pada lagu ini, tapi apa yang penulis boleh bagitahu ialah lagu ini ialah lagu ini merupakan lagu yang paling ganas dan paling berat yang mereka pernah mainkan sebagai sebuah kumpulan. Jadi rugilah kepada mereka yang tidak dapat hadir ke konsert ini kerana yang hadir ke konsert ini saja tahu apa lagu yang mereka mainkan ini.
Persembahan tamat tepat pada 9.45 malam.
Sejurus konsert tamat, penulis terus keluar dari dewan konsert dan melihat di kiri dan kanan pintu dewan konsert terdapat meja yang menjual barangan cenderahati dari SOG dan juga meja untuk para hadirin untuk mengambil poster konsert secara percuma.
Setiap ahli kugiran telah memberikan yang terbaik ketika persembahan ini. Seperti yang telah diperkatakan sebelum ini, Riko telah berjaya menarik perhatian dan menarik hati ramai para hadirin pada malam itu. Apa yang boleh dikatakan untuk konsert Sekumpulan Orang Gila Second Voyage Showcase ini ialah konsert ini merupakan persembahan yang terbaik mereka pernah persembahkan sepanjang kerjaya mereka.