Diskografi Album Launch – Gabungan Disko & Futuristik
Gambar & Tulisan oleh: Mahirah Farhana
Pada Sabtu (5 Nov 2022) yang lalu, aku berpeluang untuk menghadiri ke majlis pelancaran album sulung Late Night Frequency (LNF) yang berjudul, “Diskografi” bertempat di The Bee, Publika. Kugiran LNF terdiri daripada Moja (penyanyi utama), Adeep (gitar), Ringoe (drum), Kumiro (bass), Mr Wolf (saksofon) dan ahli baharunya, Takahara Suiko (penyanyi latar). Sejujurnya aku sangat teruja untuk menghadiri majlis pelancaran ini kerana terdapat lagu-lagu yang belum di-rilis secara rasminya di media sosial. Kali pertama aku mendengar dan menonton persembahan dari Late Night Frequency adalah di Angkasa Space Event, Cheras semasa “Projek Bodo-Bodo” pada bulan Jun yang lalu. Dan kali itu juga aku terus jatuh cinta dengan lagu “Fun Lust Love” dan “Sinaran” setelah melihat mereka bermain secara live. Kugiran ini juga adalah begitu unik dengan adanya penampilan Mr Wolf, serigala yang menjadi maskot kepada kugiran ini. Tahniah juga di ucapkan kepada LNF kerana telah memenangi Anugerah Lagu Elektronik/Dance Terbaik di AIM 23 baru-baru ini untuk lagu Fun Lust Love walaupun baru sahaja setahun jagung.
Dengan nama album “Diskografi” ini sudah menggambarkan bahawa album ini bertemakan konsep disko dan futuristik. Sebanyak 11 buah lagu yang dimuatkan ke album tersebut dan kesemuanya ditulis oleh Ahmad Mujahid Husni atau lebih dikenali sebagai Moja, yang merupakan penyanyi utama LNF. Ia juga termasuk hasil kolaborasi dengan 6 penulis dan penyanyi termasuklah Asyraf Nasir, Aiman Nomad, Ichu, Imran Ajmain, Radhi OAG dan Fi7i. Pembikinan album tersebut telah memakan masa lebih kurang 2 tahun dari tahun 2020 dan idea ini tercetus daripada sebuah mimpi. Moja mengatakan Mr Wolf telah muncul didalam mimpinya dan memberi gambaran bahawa muzik yang futuristik funk dan disko boleh mengubah dunia. Sejujurnya, apabila aku mendengar lagu-lagu dari album ini, aku terus teringat kepada “Daft Punk” yang mempunyai genre dan getaran yang sama seperti soundtrack di dalam filem “TRON – Legacy”. Cumanya, LNF lebih kepada retro dan gaya disko beriramakan futuristik pop dan funk. Terdapat 4 orang penerbit yang terkemuka turut memberikan sentuhan yang hebat dalam menghasilkan album ini seperti Taja Mustapha dari The Archive Studio, Jedidiah Wong dari Studio 21:05, Reuben Samuel dari Mile High Sounds dan Faizul Hakim dari Haifal Works.
Pada sekitar 4 petang, suatu sidang media dan sesi soal jawab telah diadakan mengenai album “Diskografi” tersebut. Semasa sidang media itu, Moja memberitahu bahawa beliau telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk menghasilkan album ini. Walaupun dengan kesibukan sebagai seorang doktor, Moja tidak menjadikan itu sebagai satu alasan untuk menghasilkan album tersebut. Kegigihannya mencuri masa pada lewat malam dan di luar waktu kerja semata-mata untuk mencipta album Diskografi ini sudah tentu telah berjaya membuahkan hasil.
“Tolonglah dengar lagu kami dulu, tengok dulu shows, baru lah cakap best ke tak best” pesan Moja khas buat pendengar-pendengar di luar sana.
Dengan kolaborasi bersama-sama artis yang besar seperti Imran Ajmain, dan Radhi OAG, LNF juga akan terus untuk mencari peluang dan berharap untuk berkolaborasi bersama artis-artis yang lain mahupun lokal ataupun internasional.
Seterusnya, LNF akan beraksi di Pesta Kita bertempat di Lanai @Matic, Kuala Lumpur pada 27 November 2022.
Majlis pelancaran ini juga merupakan satu platform untuk memaparkan “LNF Artwork Exhibition” karya seni oleh pereka grafik Imran Rakin & Syafiqah Rafi yang juga merupakan pereka grafik album tersebut. Bukan itu sahaja, aku rasa sudut yang paling menarik di majlis itu adalah permainan “Beat Saber” yang merupakan permainan “Virtual Reality” (VR) dari KITAMEN. KITAMEN® yang merupakan syarikat E-Sports di Malaysia telah berkolaborasi untuk membuat permainan alam maya dan interaktif khas buat LNF. Pengunjung-pengunjung yang hadir berpeluang untuk bermain “Beat Saber” di alam maya bersama-sama empat lagu LNF dari album Diskografi; Babe-bas, Fun Lust Love, Ruang dan Sinaran. Aku sendiri dapat mencuba permainan ini, perasaannya seolah olah memegang ‘light saber’ dan ianya sangat menghiburkan, walaupun aku bukanlah seorang peminat permainan video. Syok! Kalau korang ada peluang untuk cuba, tolong lah cuba.
Sempena majlis pelancaran album tersebut, artis-artis dan kugiran jemputan khas; Maruxa Lind dan Reckless Escapades, Grey Sky Morning, Budak Nakal Hujung Simpang, Son of A Policeman dan Fi7i telah di jemput bagi memeriahkan majlis pada malam tersebut. Kesemuanya memberikan persembahan yang cukup bertenaga dan menghiburkan hati penonton.
Terdapat juga artis lain yang ditampilkan semasa persembahan dari Son of a Policeman, iaitu Suehaila, telah merobek hati penonton. Ini juga merupakan kali pertama aku melihat Son of a Policeman bermain secara live. Dari pandangan pertama, aku dapat merasakan ke-unikan kugiran tersebut dengan ahli ahli yang penuh kepelbagaian, style dan cara. Paling mengasyikkan apabila mendengar gesekan biola yang meremang bulu roma dari kugiran ini.
Kami dihiburkan lagi dengan persembahan oleh Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS). Masa awal-awal aku kenal nama ni, bila sekali baca, aku memang tidak menjangkakan kugiran ini bermain genre-genre ska dan reggae. Aku menjangkakan kugiran ini akan bermain genre seperti hip hop dan rap. Andaian aku salah sekali! Paling menggamit memori adalah apabila BNHS mempersembahkan suatu lagu yang lama masa aku kecil dulu. Kalau korang pernah tengok cerita Senario, semestinya tahu lagu Cari Tapak.
Pada tepat pukul 9.30 malam, LNF naik ke pentas dan mempersembahkan lagu-lagu dari album mereka. Persembahan ini juga merupakan persembahan utama yang di-nanti-nantikan oleh semua. Lagu Halusinasi dimainkan sebagai pembukaan persembahan di ikuti dengan Sinaran, Santuari, dan lain-lain . Turut di atas pentas bersama mereka, Asyraff Nasir, Aiman Nomad dan Imran Ajmain. Rata-rata lagu yang dimainkan sangat mengasyikkan, dan membuatkan penonton semua ingin berdansa. Layan sangat!
Dan majlis pelancaran itu berakhir dengan persembahan dari Fi7i. Penonton yang hadir masih teruja dan terus berdansa sehingga majlis bersurai sekitar pukul 12 malam. Akhir kata, pelancaran album “Diskografi” merupakan satu sukses dan semoga LNF terus maju jaya.