Browse By

Pesta Luas Buka Tirai 2022

Selamat Tahun Baru 2022!

Pasukan LUAS membuka tahun baru dengan menganjurkan satu gig atau lebih sesuai dipanggil pesta seperti nama acaranya, Pesta Luas yang menurut saya agak berani dan bersemangat sebagai pembuka tahun 2022.

LUAS, atau akronimnya Layar Untuk Angkat Seni, merupakan satu pasukan yang pada awalnya aktif menghasilkan konten dalam bentuk audio-visual yang boleh ditonton di saluran YouTube mereka. Junklist juga pernah berkolaborasi bersama Luas dalam acara Vans Counter Culture 2021 di mana anda boleh tonton persembahan yang direkod secara live oleh tiga band pilihan Junklist bagi acara Vans Musicians Wanted 2021 di saluran Luas.

Saya tiba di lokasi Bsync Productions, Kuala Lumpur sekitar pukul 2:45 petang. Ini pertama kali saya di sana, walaupun sebelum ini terdapat beberapa gig yang pernah dianjurkan di sana. Cuaca pada hari itu agak tidak menentu, kerana sekitar pukul 12 tengah hari, hujan renyai sekejap dan kemudian reda buat beberapa jam. Waktu tiba di sana pun kelihatan awan mendung di langit, menunjukkan tanda-tanda hujan mungkin turun tak lama nanti.

Lokasi ini agak mudah ditemui jika mengikuti arahan Google Maps atau Waze. Penganjur juga menyediakan sebuah bunting di pintu masuk, serta dua orang pegawai RELA yang bertugas. Kelihatan beberapa kru berseragam t-shirt dengan desain Pesta Luas setibanya saya di sana. Lokasinya bukan seperti di kebanyakan venue gig atau show yang biasanya terletak di lot rumah kedai, tapi kelihatan seperti di kawasan perumahan teres, tidak terlalu berhampiran dengan unit rumah yang lain.

Perkara pertama yang dilakukan adalah mendaftar di kaunter pendaftaran. Terdapat dua kaunter pendaftaran di mana Kaunter 1 untuk daftar nama dan pengambilan Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang diwajibkan untuk semua pengunjung sebelum memasuki ruang acara. Harga tiket sudah termasuk kit tersebut, jadi tiada alasan untuk tidak melakukan ujian terlebih dahulu. Jika ujian yang dilakukan negatif, barulah pengunjung akan dibekalkan dengan cable tie berwarna kuning di Kaunter 2 sebagai tanda sudah melakukan dan menyerahkan hasil ujian.

Kaunter 1

Selain itu, di sudut lain terdapat pula gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman yang disediakan khas buat pengunjung. Disebabkan belum makan tengahari, saya terus menghampiri gerai sandwich, iaitu Mean Canteen, dan juga gerai minuman iaitu Pulut & Kopi. Terdapat juga gerai yang lain seperti Daddy Char Kuey Teow, Kak Liha Nasi Ayam Kunyit, Teh Ais Madu 3, Abah Fried Chicken, Kipas Susah Mati, Transbakery, Istikoma Terror, Seni Tukang dan Zush Sport

Bands Merchandise
Istikoma Terror
Seni Tukang
Zush Sport
Mean Canteen
Kopi & Pulut

Keadaan sedikit basah dan berlumpur di kawasan luar dewan acara disebabkan hujan yang turun tadi. 

Persembahan pentas bermula sekitar 3:30 petang. Pintu masuk ke ruang acara dikawal rapi oleh Arief dari band Hutch yang juga bertindak sebagai bouncer di dalam ruang acara untuk mengawal keadaan. Pengunjung beratur dengan penuh disiplin dan penjaga pintu memastikan semuanya mengimbas QR code yang tersedia pada pintu masuk.

Penjaga Pintu ke Alam Sebalik Mata
Suasana di pintu masuk

Band pembuka merupakan sebuah band punk yang berasal dari Johor, iaitu KahKah Celaka. Ini adalah pengalaman pertama bagi saya menyaksikan band ini secara live. Vokalisnya kelihatan sedikit malu atau gugup waktu memperkenalkan diri, tapi sewaktu menyanyikan lagu mereka, secara automatik attitude tadi hilang dan lantang suara beliau dapat didengari dengan jelas dari corong speaker. 

Lagu-lagu yang dibawakan cukup bersemangat dan menjadi satu sesi “panas enjin” sebelum persembahan band seterusnya. Sempat vokalisnya menceritakan fakta dari satu lagu mereka (saya lupa lagu mana) di mana lagu tersebut dicipta disebabkan rumah gitaris mereka terletak paling hujung dan sangat jauh, iaitu di Tanjung Piai, yang dikenali sebagai kawasan hujung paling selatan di tanah besar Asia. Cuba Google kalau tak percaya. Saya pun baru tahu! 

KahKahCelaka membawakan lapan buah lagu, dan ada beberapa lagu yang menarik perhatian saya, iaitu “Yippie Yey” dan “Dato Seri”. Berdasarkan pencarian saya, lagu-lagu mereka tersedia di platform digital seperti Spotify. Mereka membuktikan “Punk’s Not Dead” walaupun dunia dilanda pandemik. Syabas KahKah Celaka!

Selepas puas berpogo, band kedua meredakan sedikit keadaan pada petang itu. Terpilih sebagai salah satu finalis di Anugerah Lagu Indie 2021 (ALI2021), Runs tampil dengan bersahaja. Bagi yang pertama kali mengenali mereka melalui acara ini, mungkin akan terus dapat mengingati mereka disebabkan seorang ahli mereka menggunakan alat musik gambus elektrik.

Runs memulakan slot mereka dengan ritual bacaan diiringi permainan muzik mereka. Jangan risau, saya yakin ianya hanya sebuah improv dan bukannya bacaan jampi kencing malam sebelum mereka memulakan set lagu mereka yang sebenar. Seorang ahli mereka, iaitu pemain rebana (Alang), tidak dapat menyertai mereka pada petang ini dan tiada ganti buat beliau. Akan tetapi vokalisnya, Hawari tampil tanpa gitar dan posisi gitaris telah diambil oleh orang baru, iaitu Nabil.

Runs membawakan dalam 10 lagu pada petang itu. Mereka membuat sedikit gimik waktu lagu “Pishang” dimainkan, di mana setandan pisang disediakan demi menaikkan lagi mood lagu ini. Beberapa ulas pisang turut dikongsi bersama crowd sewaktu lagu ini dipersembahkan. Vokalisnya mencampak seulas demi seulas, dan akhirnya disebabkan masih banyak lalu setandan pisang itu terus dicampak kepada crowd. Mujur semuanya berjaya disambut dengan baik.

Runs kelihatan semakin matang dalam persembahan pentas. Kali terakhir menonton persembahan pentas mereka secara live adalah pada acara ALI2021. Khabarnya mereka dalam proses penyiapan album yang mungkin akan dilancarkan dalam tahun ini. Sama-sama kita nantikan.

Loko menjadi band terakhir di persembahan separuh masa yang pertama. Waktu “transfer window” antara band adalah selama 15 minit. Sempat juga saya keluar sebentar dan menikmati char kuey teow kerang di gerai Daddy Char Kuey Tiaw. Portionnya cukup banyak untuk seorang makan. Keadaan sekeliling bertambah basah dan berlumpur kerana sewaktu persembahan Runs, rupanya hujan lebat turun dalam beberapa minit. Secara automatik teringatkan kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini.

Di Pesta Luas ini juga, pihak penganjur turut bekerjasama dengan Gladius Mobile Aid dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir. Pengunjung digalakkan membawa dua jenis barangan bantuan untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir. Satu inisiatif yang sangat bagus dimana sambil kita berhibur, dapat juga kita beramal.

Kembali kepada persembahan Loko, jumlah pengunjung kelihatan bertambah dan dapat dirasakan suasana lebih panas. Vokalisnya Acap tampil dengan berjaket hitam, dan Alep pula dengan t-shirt tanpa lengan yang menunjukkan kepaduan tricep beliau. Steady Lep! Persembahan dari semua band setakat ini memang bersemangat, mungkin disebabkan semangat tahun baru juga. Loko baru sahaja melancarkan single dan video muzik bertajuk “Kritikan” sekitar dua bulan lepas, dan MV tersebut turut menjadi Video Muzik Pilihan Junklist bagi tahun 2021. Selain lagu ini, antara lagu yang dipersembahkan adalah “Benci” dan “Pujaan Hati”. Turut dipersembahkan adalah dua lagu cover iaitu “Papa Mama” (Hujan) dan “Teratai” (Sweet Charity). “Pujaan Hati” dipilih untuk menutup set petang ini, dan pada waktu ini crowd sudah jadi separuh “loco” menikmati persembahan bersama Loko.

Separuh masa pertama selesai sekitar jam 6:30 petang, supaya persembahan dapat disambung semula pada pukul 7:45 petang untuk memberi ruang pada semua untuk berehat makan, minum, dan solat. Berpusu-pusu crowd keluar dari ruang acara untuk mengambil angin, menghisap angin, dan mengisi perut yang kosong. Pada waktu ini hujan turun lagi tapi rintik-rintik. Ada yang duduk berehat di dalam ruang acara dan ada juga yang duduk di luar. Lokasi surau dan tandas pula agak jauh dari ruang acara, iaitu dalam 100 meter di bangunan yang lain. Keadaan jalan yang berlumpur agak sedikit menyukarkan perjalanan, tapi masih boleh ditangani. 

Cukup masa! Kru memanggil pengunjung yang masih di luar untuk masuk ke dalam untuk menyaksikan persembahan band Late Night Frequency, yang juga antara finalis ALI2021. Secara jujurnya, persembahan mereka sewaktu di final ALI2021 memang seharusnya diberikan pujian atas usaha yang dilakukan. Dengan bola disko sebagai prop yang dipakai oleh ahli band, percussionist, Takahara Suiko sebagai back-up vokal, cermin mata LED, strings section, dan juga seekor serigala yang pandai bermain saksofon cukup untuk meletakkan mereka sebagai persembahan terbaik.

Kembali ke Pesta Luas. Vokalis LNF, Moja, masih tampil dengan memakai cermin mata LED, manakala bandmate lain tampil dengan lebih bersahaja. Namun demikian, persembahan mereka kekal bersemangat. LNF antara band yang rajin berkolaborasi dengan pemuzik lain. Pada malam ini saja, mereka membawakan Asyraf Nasir dan juga Aiman Nomad. Bunyian disko dan elektronik mengubah seketika vibe dalam ruang acara yang tadinya dipenuhi bunyian gitar elektrik dan lagu rock, tapi crowd masih berjaya menikmati setiap lagu yang dibawakan tanpa rasa kekok.

Kemuncak pada persembahan LNF adalah sewaktu lagu “Fun, Lust, Love” yang menggunakan susunan lagu sewaktu ALI2021. Dapat didengar sing-along dari crowd di sepanjang lagu ini dinyanyikan. Semoga LNF sentiasa aktif dan mungkin hadir satu album atau EP tahun ini. Barangan cenderahati mereka turut dijual pada malam itu, iaitu poster band dan juga hasil rekaan seni oleh ubaiubai yang turut dijadikan design pada salah satu cenderahati t-shirt mereka.

Tiba giliran untuk sekumpulan budak dari “Wilayah Tong Sampah” mengambil alih pentas. Suasana dalam ruang acara semakin padat dan panas. Ye panas sebab suhunya, dan sebab orang dah mula ramai. 200 orang geng! Tiket pun sold out! Terbaik lah korang semua!

Sebelum Pesta Luas ini bermula, di laman Instagram Hacktick! ada satu video yang dimuatnaik menunjukkan Hyke dan seekor unicorn ditangkap berdua-duaan berpelukan di atas katil. Dan semenjak petang tadi, unicorn berbadan manusia itu kelihatan berlegar-legar di sekeliling tapak acara. Pada persembahan Hacktick! malam ini, unicorn tersebut turut berada di pentas. Bijak cara mereka menampilkan prop untuk malam ini.

Hyke ada menghebahkan perihal gig ini merupakan momen terakhir Hacktick! memainkan lagu-lagu dari album “Dog Days Diaries”. Tapi sempat Hyke menjelaskan bahawa mereka masih akan memainkan lagu dari album tersebut, tapi tidaklah kesemua enam lagu kerana mereka nak move on ke lagu-lagu baru yang dalam proses pembuatan dan rakaman. Kali ini dilihat mereka menggunakan khidmat Deefboy Audio untuk proses rakaman lagu baru. Nantikan sama-sama untuk material terbaru dari Hacktick!

Kembali lagi ke persembahan mereka. Boleh dikatakan sepanjang slot persembahan mereka ini ibaratnya seperti ejakulasi pramatang sebab crowd seperti berhabis-habisan menikmati persembahan yang belum pun lagi sampai ke penghujung. Bermula dari lagu pertama lagi crowd dilihat moshing dan crowd-surfing tanpa henti. 

Waktu lagu “Jangan Risau” dimainkan, di pertengahan lagu Hyke memberikan isyarat untuk berhenti disebabkan keadaan menjadi terlampau agresif dan beliau cuma ingin mengingatkan semua untuk sentiasa beringat dan berjaga antara satu sama lain. Setelah keadaan dapat dikawal dan semua bersetuju untuk behave (sekejap je) baru mereka menyambung kembali persembahan. 

Di barisan hadapan pentas terdapat beberapa pengawal yang dilantik dan sukarela yang menjadi human barricade untuk melindungi segala yang di pentas dengan crowd yang semakin menggila. Saya yang berdiri di belakang turut menjadi sukarela bersama beberapa orang yang menjaga di kawasan berdekatan meja sound engineer yang hampir dirempuh sewaktu circle pit berlaku. Terima kasih bro-bro sekalian! 

Selesai Hacktick! memainkan kesemua lagu dalam album pertama mereka, mereka terus meninggalkan pentas, dan jeritan “we want more!” terus kedengaran sehingga pihak penganjur membenarkan mereka untuk mempersembahkan lagu terakhir. Pentas Hacktick! ditutup dengan lagu “Wilayah Tong Sampah”.

Tiba ke persembahan terakhir oleh Iqbal M. Selesai sahaja mereka menyempurnakan setup instrumen, Iqbal masuk ke pentas. Sejurus itu juga kebanyakan crowd menjerit “tahniah Bal!”. Iqbal baru sahaja melangsungkan pernikahan beliau pada hari terakhir tahun 2021. Kira pengantin baru la juga ni.

Sempat juga Iqbal berkongsi cerita mengenai show malam tahun baru yang seharusnya diadakan oleh sebuah stesen televisyen tempatan, yang akhirnya terpaksa dibatalkan di saat akhir selepas beliau bergegas ke sana selepas habis majlis nikah. “Nasib baik gaji jalan,” Iqbal menyambung. 

Set persembahan Iqbal M. malam ini sangat bertenaga, penuh drama dan gelak ketawa juga. Menjadi kekuatan Iqbal M. sewaktu persembahan secara langsung adalah kerana dia melayan peminat seperti keluarga dan kawan-kawan. Jadi tidak terasa batas antara mereka dan peminat. 

Sewaktu persembahan Loko sehinggalah Iqbal M., saya banyak berdiri hanya di bahagian belakang demi menjaga kesejahteraan badan dan mengelak dari terkena siku, lutut, dan bahagian-bahagian menyakitkan yang lain. Pada set ini juga saya melihat crowd lepas gian dengan menyanyikan bersama-sama lirik lagu Iqbal M. dari awal sehingga habis acara. Tiada sebarang gimik atau prop yang disediakan, namun ini adalah kekuatan Iqbal M. sewaktu di persembahan secara langsung di mana semua Moden Rokes bersatu menyanyi dan moshing.

Pesta Luas, menurut saya, sudah cukup berjaya untuk acara seakan-akan festival tapi pada skala yang lebih kecil. Ianya permulaan yang baik. Dengan penambahbaikan dari segi persiapan tempat, jika berlaku perubahan cuaca dan juga lain-lain lagi aspek, saya yakin pasukan LUAS dapat menghasilkan satu acara yang lebih besar kelak. Dan saya dapat lihat dalam kalangan kru mereka sebenarnya bukanlah semuanya terdiri dari pasukan asal LUAS semata-mata, namun terdapat beberapa individu dari pertubuhan dalam scene alternatif yang turut membantu untuk menjayakan acara ini.

Sudah sampai masa untuk kita saling kerjasama dari segala aspek. Jangan sampai semangat DIY itu membuat kita lupa untuk membantu satu sama lain. Syabas saya ucapkan kepada pasukan LUAS dan semua yang turut serta dalam menjayakan acara ini. Semoga kita bawa semangat dan vibe awal tahun ini sehingga ke penghujung 2022!

P.S.: Semasa set Iqbal M. berlakunya kes sexual assault/harassment di mana seorang pengunjung perempuan diraba oleh seorang pengunjung yang lain. Saat penulisan ini disiarkan, pelaku tersebut telah dikenalpasti dan sudah dihubungi oleh pihak LUAS dan mangsa. Semoga kejadian sebegini tidak berlaku lagi di mana-mana acara akan datang.

Kredit Gambar : Farid Othman & LUAS
Ditulis & Disemak : Ali Maswari & Mikha ZV