SENARAI PUTAR HUJUNG MINGGU 12/21
Bagaimana dengan hujung minggu anda? Adakah anda sudah mula menyertai gig anjuran tempatan? Jika belum, inilah masanya untuk anda merancang hujung minggu anda dengan baik kerana kebanyakan band sudah mula beraksi di pentas langsung. Anda juga boleh menggunakan carian Hari Gig Kebangsaan atau #HGK bagi mengikuti perkembangan bersama penganjur acara di tempat berdekatan anda terutamanya pada 10 dan 11 April 2021 ini. Tetapi, pada minggu ini jangan lupa untuk terus kemas kini senarai putar anda bersama 5 lagu baru hasil tempatan ini.
Crazy Grizzly – The Seven Sleepers
Buat peminat metalcore, ini untuk anda. The Seven Sleepers merupakan rilisan terbaru daripada Crazy Grizzly iaitu sekumpulan band dari Johor Bahru yang memfokuskan genre metalcore sebagai identiti mereka. Band ini pernah meriliskan album mereka yang bertajuk Pendeta Gila pada tahun 2019.
The Seven Sleepers ini merupakan antara lagu yang akan berada di dalam album mereka yang seterusnya iaitu Tergiversate. Untuk pengetahuan anda, MV ini telah diarahkan oleh Amir Amzah dan lagu ini telah diadun oleh Riky Rostel Records. Selain itu, mereka juga baru sahaja mengumumkan bahawa mereka kini telah bersama dengan Freshtown Records secara rasmi pada bulan Mac ini.
Advents – Swing State
Advents merupakan sekumpulan anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur dan telah menubuhkan band ini sekitar tahun 2017. Antara single mereka yang popular adalah seperti Television Dream dan Slow Dance. Pada tahun 2020, mereka meneruskan aktiviti muzik mereka dengan merasmikan EP Clueless & Immature yang mempunyai 6 buah lagu kesemuanya. Bagi mereka yang masih belum mengenali Advents, kumpulan ini terdiri daripada Nadree Omar, Izaaq Izham, Shawin dan Eimann Arif. Setakat pada hari ini, mereka akan menyertai persembahan secara langsung di “I Wanna Dye Showcase”, Damansara Perdana pada 10 April ini,
WordSmithBandit – Termakan
WordSmithBandit, atau dikenali dengan WSB merupakan sebuah band milik Fadirul Idris yang ingin mengekpresikan emosi dan perasaan beliau di dalam karya-karyanya. WSB pernah tampil dengan lagu seperti All the Sins That I Left Behind, Even 7 Hells dan Fitrah. WSB serba sedikit mendeskripsikan pengaruh muziknya adalah dari Bob Dylan ke Elliot Smith, Black Sabbath hinggalah ke Nirvana dan pelbagai lagi. Bak kata WSB sendiri, Termakan ini adalah sebuah lagu yang boleh dijadikan satu ekspresi buat anda yang mungkin kesal tertipu dek janji manis bekas kekasih, kawan yang liat nak bayar hutang atau boleh jadi tertipu dek sang politikus.
KAPOW – Helang dan Garuda Live at iSeekMusic
Anda pasti akan terhibur dengan intro MV ini. Biarpun 15 saat pertama akan terasa haus, permulaan lagu ini penuh dengan energi. Jika anda belum pernah mendengarkan karya-karya Kapow, Kapow merupakan sebuah band yang pernah memenangi “Vans Musicians Most Wanted 2018 Malaysia winners” dengan membawakan identiti rock n roll mereka. Helang dan Garuda ini merupakan rilisan terbaru selepas mereka berjaya mengeluarkan album mereka pada tahun 2020 bertajuk K. Band ini sememangnya terkenal dengan lagu-lagu yang mempunyai rentak yang tinggi dan fun. Saksikan mereka di platform Youtube Kapow MY untuk lebih feel dan energi!
Lisa Kamal – Haven’t Got A Clue
Haven’t Got A Clue merupakan debut single pertama buat Lisa Kamal. Lirik lagu ini merupakan karya Lisa Kamal sendiri selain disusun oleh Ruviyamin Ruslan dan adunan oleh Megat Fazly. Lagu ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri kerana rentaknya yang lembut dan susunan lirik yang baik. Anda juga boleh melayari instagram @lisanurmarini bagi mengikuti perkembangannya. Terdapat juga beberapa komen di dalam laman Youtube yang menyatakan ekspresi lagu ini sedih dan syahdu tetapi indah buat para pendengar. Antara lirik yang menarik perhatian adalah,
“You’re giving me nothing to fight for,
There’s no grounds for me to stay,
You’ve taken up enough of my strength in vain,
I forgot what it meant to be sane…”
Jadi sendu pula ya. Hmm, nak cari tisu lagi nampaknya. Jumpa minggu depan!