Browse By

Teras Keras Arus Baru Crazy Grizzly dalam Tergiversate

Semestinya kita sedia maklum akan kegagalan beberapa kumpulan ternama tatkala mereka cuba menjenamakan semula muzik mereka, terutama apabila mereka beralih genre. Ini adalah percaturan biasa pemuzik, dan dalam masa yang sama menjadi sebuah perjudian 50:50 diantara mengubah bunyian untuk menjadi kekal relevan dan menambat hati pendengar baru, ataupun kekal dalam “prinsip” bunyian lama dan hilang dimakan zaman.

Lain buat kumpulan dari Johor, Crazy Grizzly. Album kedua mereka apabila mereka beralih arah daripada post-hardcore kepada new wave metalcore. Dan inilah salah satu maksud “tergiversate” itu sendiri, iaitu meninggalkan sesebuah prinsip untuk prinsip yang lain. Tergiversate seolah-olah menjadi satu ruang takung ludah setelah mereka menjumpai haluan bunyi yang selama ini tidak menemui jalan keluar. Hampir keseluruhan trek dalam rilisan ini memekik-mekik terus ke telinga anda dalam menyatakan bahawa mereka idea kreatif mereka kini sudah tidak lagi sesat berkeliaran di tandus padang pasir. Keseluruhan trek yang dikeluarkan kedengaran solid dan tidak teragak-agak, hingga saya merasakan mereka betul-betul melempiaskan keseluruhan nafsu kreatif mereka kedalam rilisan ini tanpa berbaki-sisa sedikit pun.

Tengkingan yang meluap marah dikisar lumat bersama double pedal drum dihidangkan tanpa jeda daripada Phoenix sehinggalah ke Moribund. Jika ditolak muzik pengenalan di awal dan hujung album, bermakna keseluruhan album ini berteraskan terpaan adrenalin yang menderu. Selingan vokal clean juga meredakan sedikit wap-wap tenaga yang berkepul, seperti dalam lagu The Saddle of Horses, Death Stranding dan Tergiversate, sekaligus melengkapkan permainan dinamik mereka. Trek seperti The Seven Sleepers sesekali mengangkat bunyian elektronik, menjadikan trek mereka tidak hanya dikuasai oleh bunyian ortodoks alat muzik rock dan metal. Dalam masa yang sama, bunyian pad yang berpasak dibahagian belakang lagu juga menjadikan kebanyakan trek mereka kedengaran sedikit theatrical dan “besar”, seperti yang kedengaran jelas melalui Pyromania.

https://www.youtube.com/watch?v=vPjkKAZ1Pg4

Kesemua lagu dalam rilisan ini dipersembahkan dalam bahasa Inggeris. Mereka turut menampilkan vokalis undangan, Ayeen daripada kumpulan Patriots dan Seakan Bintang (namun tidak dijelaskan didalam trek yang mana). Kesemua produksi rakaman dilakukan di Spundok@Lotus HQ di Johor Bahru, manakala mixing dan mastering mendapat sentuhan Ricky Aprianto dari Rostel Records Indonesia.

https://open.spotify.com/album/6PQyL9x5iqg5l3ZAlIQAyL?si=OxEi5MsiRteU-TeAEzgr9w&dl_branch=1

Dalam keadaan semasa, kami yakin album ini sedikit sebanyak mampu menjadi alur untuk anda menyerapkan rasa amarah anda. Secara keseluruhan rilisan ini adalah sebuah pendakian tangga Crazy Grizzly ke sebuah lagi aras baru berbanding sebelumnya. Lihat informasi di bawah untuk mendapatkan album ini.