JAGGFUZZBEATS TAMPIL MINIMAL & MELODIK MELALUI “SUBTLE SHIFT”
Seperti berada di dalam dimensi yang lain, trek-trek Jaggfuzzbeats yang dimuatkan di dalam EP terbaru mereka, Subtle Shift menonjolkan kekuatan nyanyian perlahan ala ‘country’ dan alunan gitar yang dipengaruhi musik rock alternatif barat. Keunikkan nyanyian oleh Azrul Zainal sudah tentu menjadi satu kelainan daripada band yang sedia ada. Cara nyanyian beliau akan mengingatkan anda kepada band band internasional luar negara. Kumpulan duo yang berasal dari Shah Alam ini dianggotai oleh Azrul Zainal dan Omar Aiman tidak akan menghampakan jangkaan anda untuk menjadi band kegemaran anda seterusnya.
Subtle Shift merupakan EP yang dirilis mereka selepas album Rest Now, menampilkan 6 trek dan 1 trek bonus. Mungkin antara langkah untuk memudahkan peminat mereka, EP Subtle Shift telah diriliskan di media digital seperti Bandcamp dan Spotify. Pendengar yang meminati musik mereka harus merebut peluang untuk terus menyokong band ini dengan membeli EP tersebut di bandcamp dengan 5$ (RM20) sahaja.
Trek Stay bagaikan ‘surreal’ membuatkan anda seperti berada di dalam perjalanan yang jauh merungkai perasaan yang melemaskan. Di ikuti pula trek In Time, trek ini lebih menekankan kekuatan diri sendiri untuk bangkit dari kegagalan, kerana dengan diri sendiri sahajalah kita mampu untuk bergerak ke fasa yang lebih baik. Iringan gitar dan drum yang memukau ini buat anda terus mahu mainkan lagu berulang kali.
Jaggfuzzbeats juga telah melancarkan musik video bagi lagu mereka, Sweet Darling yang bagi saya seperti bunga matahari. Ya, bunga matahari kerana sifat dan warna bunga itu sendiri. Warna kuning yang ceria namun dalam masa yang sama, agak nostalgik. Trek Not My Fault pula seperti membawa mood berada di bar, sambil dihiburkan lagu yang seakan mengejek kesilapan anda tapi sebenarnya bukan salah anda pun!
Jika In Time adalah tentang bangkit dari kegagalan, Fade pula menceritakan bagaimana kita menghadapi kehidupan yang kita boleh kaitkan melalui frasa “throw all your hopes away, I got these debts to pay,” Trek yang terakhir, Farewell seakan satu surat bagi mengucapkan selamat tinggal. Perpisahan tidak semestinya berakhir dengan buruk, kerana adakalanya perpisahan itu perlu. Muzik yang dalam terus buat anda hanyut diselingkan bunyi gitar yang tajam.
Secara keseluruhan, saya merasakan EP mereka ini agak emosional dan berat terutamanya mesej di dalam lirik yang ingin disampaikan. Selingan realiti kehidupan yang kita boleh kaitkan mengeratkan lagi pendengar dengan lagu-lagu yang dimuatkan dalam EP ini. Saya merasakan tidak puas kerana EP mereka hanya memuatkan 6 trek dan perlu diulang berulang kali. Jaggfuzzbeats adalah satu band alternatif Malaysia yang luar biasa dan berpotensi besar. Mungkin juga Jaggfuzzbeats boleh menambah lagi kepelbagaian tone muzik mereka untuk terus mendapat tempat di hati pendengar baru juga. Jika anda tidak pernah mendengar lagu-lagu mereka, ini lah masanya kerana musik yang dibawa Jaggfuzzbeats mungkin akan jadi senarai putaran harian anda. Jangan lupa untuk terus mengikuti perkembangan Jaggfuzzbeats melalui media sosial mereka yang sedia ada!