Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 36/21

Pesta muzik sudah kembali perlahan-lahan di beberapa event space dan muzik alternatif kini sudah kembali ke pentas. Sudahkah anda semua mula membeli tiket? Namun jangan risau, rilisan baru tetap ada untuk halwa telinga anda. Macam biasa, mari ikuti 5 lagu seperti berikut.

Mekynoza – Bila Esok

“Make noise” adalah gabungan perkataan asal yang telah membentuk kepada idea nama Mekynoza, iaitu sebuah band alternatif rock yang kini menetap di Cheras, Kuala Lumpur. Band ini telah dianggotai oleh Syahir (vokalis), Ery (bass), Syahmi (drum), Adam (gitar) dan Amirul (gitar). Single pertama yang bertajuk Bila Esok ini merupakan ciptaan lirik oleh Syahir dan telah direkodkan di SOG Production. Katanya mereka akan meneruskan perancangan mereka dengan single seterusnya tidak lama lagi. Sementara menunggu, anda boleh mengikuti mereka di platform media sosial, Instagram dan Twitter mereka dengan carian Mekynoza

Gambar Ihsan: Mekynoza

Loko – Pemuda

Bagi peminat muzik alternatif, anda pasti merindukan persembahan Loko. Loko sebenarnya sudah memulakan langkah mereka dengan beberapa rilisan demo seperti Sarjan Faris, Aiskrim dan rilisan akustik terbaru iaitu Pemuda. Duo ini iaitu Acap dan Leploko sentiasa aktif dengan aktiviti muzik mereka terutamanya di laman Tiktok @mainsejuk dan ianya merupakan satu engagement activity yang positif untuk para peminat. Sudahkah anda mendengar ketiga-tiga demo tersebut? Selain dari saluran Youtube, segala rilisan ini juga telah dimuatnaik ke semua platform muzik, apa lagi simpankannya di senarai putar anda!

Sunday Indies – Halusinasi

Sunday Indies adalah sebuah band baru yang memulakan rilisan pada tahun ini dengan lagunya Benci. Video lirik itu telah mencapai sehingga 60k views dan akhirnya pada bulan ini mereka meneruskan rilisan mereka dengan tajuk Halusinasi. Kumpulan ini dianggotai oleh Muhaniff (vokal, gitar), Aiman (gitar), Ali Hady (bass), Hakim Sufian (drum) dan Oya Zainal (keyboard). Rata-rata komen di saluran Youtube Sunday Indies telah memberikan respon yang positif. Apa yang menariknya, lagu ini telah direkodkan di rumah! Syabas Sunday Indies dan teruskan berkarya.

Brainstew – Boneka

Kumpulan pop punk ini kembali dengan karya kedua mereka, iaitu Boneka selepas mendapat sambutan yang baik pada lagu yang pertama bertajuk Suara Peralihan. Boneka adalah sebuah lagu yang ditulis oleh Afi Raffi, direkodkan bersama Floralcansas dan mendapat sokongan daripada CENDANA. MV Boneka ini pula adalah sebuah arahan dan suntingan Gob Ahmad. Secara peribadi, lagu ini merupakan sebuah lagu yang seolah membawa anda ke satu ruang energi yang luar biasa dan pasti akan mendapat sambutan yang baik di persembahan pentas akan datang. 

Sendiket Jongkong Emas – !

Sendiket Jongkong Emas atau singkatannya SaJE kini sudah mewarnai di pesta persembahan langsung muzik alternatif. Pemilihan rentak shoegaze dan psychedelic funk adalah fokus utama mereka dalam setiap rilisan karya seperti di dalam self titled EP mereka yang lepas. SaJE dianggotai ole Muhd Najid (vokal), Uzayr Khalid (gitar, synth), Asyik Khalid (gitar) dan Quizer Aliff (drums). Rilisan terbaru ini seperti  nampaknya tidak perlu disebut, kerana mereka telah menggunakan simbol tanda seru “!” sebagai tajuk lagu. Gabungan tenaga MV suntingan dan arahan Irfan Aljuffry ini juga telah memberikan satu pengalaman baru buat para pendengar muzik alternatif serta mendapat sambutan yang baik.

Segala lagu tersenarai di Senarai Putar Hujung Minggu akan disimpan di dalam senarai putar Spotify kami di bawah. Jumpa lagi!