Browse By

5 ALBUM TEMPATAN YANG TIADA DALAM SPOTIFY

Ya, setiap kelebihan ada kekurangan. Perlu diakui Spotify atau mana-mana DSP (Digital Streaming Platform) banyak memudahkan kita untuk mendengar lagu tanpa perlu memiliki album fizikal artis kegemaran kita. Namun sedarkah anda yang sekiranya anda adalah peminat tegar muzik alternatif tempatan dan bergantung sepenuhnya kepada DSP, anda juga turut berada dalam kerugian kerana tidak berpeluang untuk mendengarkan beberapa album yang langsung tidak ada dimana-mana DSP sekalipun! Nota: Playlist haram di Youtube tidak dikira kerana ia tidak memberi kesan ekonomi yang baik kepada para artis. Sokonglah yang original dan halal.

Berikut adalah album yang anda (dan kami) harap berada dalam Spotify segara:

  1. The Times – Nada Melankolik Malaya

Sebenarnya, kesemua album The Times pun tiada dalam Spotify. Jadi, kami pilih salah satu daripada album mereka. Nada Melankolik Malaya memuatkan hits-hits mereka, antaranya Telegram Buat Yoko, Wilayah Strawberi Selamanya dan Picagari. Senang kata, ini adalah album yang sukar untuk disela (skip) apabila diputarkan kerana kesemua lagu yang dimuatkan adalah killer bukan sekadar filler.

2. Komplot – Disko Tanpa Risiko

Antara kumpulan yang mendahului zaman, Komplot terbubar di zaman kemuncaknya. Entah mana silapnya, hanya satu EP dikeluarkan, memuatkan empat (4) lagu – Enter This Cosmos, Disko Tanpa Risiko, Nora Zen, dan Konflik Metropolis. Nilai fizikal CD ini kini mencencah harga antara RM100 – RM200.

3. Da Vagabonds – Self-Titled EP

Sebuah projek koboi dan supergroup antara Noh Salleh (Hujan), Herri Hamid (Bittersweet), Irfan Iskandar (The ACAB, The Times, Toko Kilat), dan Alea Sutan. Satu-satunya EP keluaran kumpulan ini, sebelum mereka hiatus (atau bubar?), memuatkan 6 lagu, iaitu Down With Whatever, Gadis Italia, Disko, Galaktika, Gagak Hitam dan Di Sudut Bibirmu.

4. The Borjouis – Lo-Fi Youth Culture Scene

Arctic Monkeys second-hand yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah. Warm Liking Song adalah hits mereka yang paling terkenal dan paling mudah diingati kerana penggunaan muzik yang diinspirasikan daripada lagu Arctic Monkeys – Leave Before The Lights Come On. Sebenarnya, loghat yang mereka tuturkan sangat-sangat baik, walaupun kadangkala lirik mereka tak masuk akal langsung. But hey, lirik lagu Fall Out Boy pun masih menjadi salah satu misteri dunia sehingga masa kini. EP Lo-Fi Youth Culture scene memuatkan 7 lagu, antaranya Lewdly Pronounce, Dame dan Warm-Liking Song.

5. Nice Stupid Playground – A Beautiful Life

Sebuah album 10 trek yang memuatkan lagu-lagu yang dreamy, kaya dengan irama shoegaze. Antara hidden gem yang masih tidak didengari ramai, namun beberapa tahun lepas mereka ada membuat penampilan bermain secara langsung semasa tour OAG di Kuching dan beberapa festival muzik lain di sekitar Kuching. Bermakna, mereka masih aktif. Sayang, amat sukar mendengarkan lagu mereka secara sah dan halal.

Kesimpulannya, sekiranya anda mempunyai kemampuan untuk memiliki mana-mana album, miliknya segera kerana kita tidak akan pernah tahu kesukaran untuk kita mencari semula album tersebut pada masa akan datang. Apatah algi dengan dunia digital sekarang. Bayangkan, tiada album fizikal, dan artis pula tak memperbaharui bayaran Spotify mereka. Maka terhapuslah segala karya mereka tanpa sebarang jejak. Kata sapot?