Sayonara, KHIZANAT.
Ipoh Rock City – bandar lama, jiwa segar. Tempat asal bagi band ternama seperti Bittersweet, Muck, Harmacy dan Free Love. Bandarnya tampak usang, tetapi isinya adalah jiwa-jiwa yang mekar.
Kerana tamparan Covid-19, sesetengah ruang acara mampu beradaptasi dengan norma baru dan mengubah modus operandi mereka. Tetapi malang bagi sesetengah yang lainnya, pandemik ini bukan sahaja membunuh manusia, malah membunuh ruang acara seperti ini.
Semalam, Jayzuan melalui akaun twitternya mengumumkan penutupan KHIZANAT setelah lebih 7 tahun beroperasi.
Menurut Jayzuan:
Perlu diingatkan kerja membangunkan Khizanat bukan hanya saya seorang. Kredit pada Seyn Jukey, Riduan A.dullah, Jojo, Bule, Pyan Shizuka, Iqbal Razak, bebudak Rabak dan semua orang yang pernah bekerja di Khizanat daripada dapur hingga ke distro. Inilah kerja kolektif.
Imbas kembali pada 16 Mac 2013, ketika scene underground dikatakan sudah suam-suam kuku, KHIZANAT tampil menjadi ruang bagi pengkarya seni dan muzik. Pelancaran ruang ini diadakan dengan persembahan daripada Iqbal M., The Brayok, Seyn, Sefa, The Muntah, Zine Satu Malam, Kidxjie, Ngerfan, Petak Daud, Budak Soghomban, Cech Adrea, Azwan Ahmad, Aizat Halim, dan Peteng Mosley.
Sekalung terima kasih kepada komrad KHIZANAT atas bakti dalam menjadi hub sebaran seni di Ipoh. Sudah pasti penutupan ini bukan pengakhiran.
Menurut gitaris Cycryptic, Rain, terdapat sebuah lagi ruang acara yang boleh dijadikan port sekiranya anda ke Ipoh, iaitu Dream Project Hall.
Diharapkan scene alternatif di Ipoh sentiasa mekar dan maju selamanya!