Browse By

MEMORI MEMBELI KARYA FIZIKAL

Sumber: instagram personal saya


Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca Junklist. Memasuki minggu ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diharapkan semuanya berada dalam keadaan yang baik. Walaupun kita masih berada dibawah PKP, perkembangan perjalanan muzik alternatif tidak berhenti. Setiap hari, dan setiap minggu ada saja rilisan terbaru daripada artis dan band tempatan. Baik single, EP mahupun album, ada saja yang terbaru diriliskan, kebanyakannya dalam format digital buat masa sekarang. Ini kadangkala mengingatkan saya ketika zaman Pra COVID-19, dimana lebih mudah untuk mendapatkan album/ep fizikal. Kita boleh mendapatkan di gig, konsert dan festival ataupun berhubung terus dengan pengurusan artis/band tersebut untuk COD (cash on delivery). Namun ketika keadaan sekarang, cara yang terbaik hanyalah dengan mengepos kepada peminat, demi keselamatan semua pihak. Hari ini saya ingin mengimbau kembali memori-memori membeli karya fizikal artis/band tempatan dalam karangan ini, sebelum ingatan saya memudar dimakan usia.

Kalian masih ingatkah karya fizikal band tempatan yang kalian beli? Apakah tajuknya? Bagaimana cara mendapatkannya? Apakah perasaan selepas berhasil membeli? Untuk saya, karya fizikal band tempatan yang pertama dibeli ialah Selamat Tinggal Pujaan (Kugiran Masdo), kira-kira 4 tahun lalu di penghujung tahun 2017. Suatu ketika dahulu bila tiba penghujung tahun, festival Rock The World acap kali bermain dimulut para penggemar scene muzik alternatif/underground. Festival yang berlangsung seharian ini membawakan pelbagai band tempatan, gerai-gerai merchandise dan makanan untuk pengunjung yang datang. Lokasinya juga strategik, di kawasan parkir Stadium Bukit Jalil yang mudah untuk diakses melalui kenderaan persendirian ataupun menggunakan LRT dan turun di Stesen LRT Bukit Jalil. Sayangnya, Rock The World yang terakhir ialah pada tahun 2017. Tiada lagi penganjuran ditahun-tahun berikutnya. Semoga dimasa akan datang akan ada lagi penganjuran Rock The World.

Sumber: instagram personal saya

Saya berasa gembira dan beruntung kerana menghadiri Rock The World yang terakhir itu bersama rakan saya, D. Kami tiba sekitar waktu tengahari, diketika band Maddthelin sedang beraksi di atas pentas. Cuaca sedang-sedang panas tidak menghalang peminat untuk menonton persembahan. Tujuan saya hadir ke Rock The World bukanlah sekadar menonton persembahan, tetapi saya mahu mendapatkan album Kugiran Masdo yang bertajuk Selamat Tinggal Pujaan (rujuk perenggan sebelumnya) yang baru saja diriliskan ketika itu. Selepas mendapat beberapa maklumat, saya mendapati gerai yang sepatutnya menjual album berkenaan berkata “CD belum sampi, petang sikit kot”. Baiklah, saya fikir akan datang kembali ke gerai ini lewat petang nanti. Menganjak ke waktu petang, cuaca mula mendung dan hujan turun sekitar waktu persembahan Massacre Conspiracy, sejauh yang saya ingati. Ada yang berteduh dibawah khemah, ada juga yang “persetankan, aku datang nak enjoy”. Saya menonton separuh persembahan dibawah khemah, dan separuh lagi diluar bila hujan mulai surut tapi belum berhenti.

Tidak lama kemudian saya mendapati ramai yang beratur di khemah gerai yang akan menjual CD Selamat Tinggal Pujaan. Tanpa membuang masa lagi, saya mengajak D segera teman saya untuk beratur. Bukan apa, takut habis! Selepas kira-kira 10 minit beratur didalam hujan dan kesejukan, saya berjaya mendapatkan 2 album Selamat Tinggal Pujaan (satu untuk saya dan satu lagi untuk rakan yang tidak dapat hadir). Perasaan selepas berjaya beli, hanya Tuhan dan rakan saya D yang saksikan. Ya, begitu gembira meskipun basah kesejukan ditiup angin dingin. Saya masih ingat ketika itu gerai itu juga membuat promosi untuk membeli album Selamat Tinggal Pujaan dan Orkes A. Hizadin dengan harga RM50. Tawaran yang terpaksa saya lepaskan, kerana tidak cukup wang pada ketika itu dan tiada ATM berhampiran. 

Sumber: instagram personal saya

Sama juga perasaan ketika berjaya mendapatkan album Iqbal M., PSJKB (Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang. Album tersebut diriliskan sejurus selepas show ATAS Big Jan Show di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara. Pengalaman beratur panjang untuk mendapatkan album diakhiri dengan meet & greet bersama band Iqbal M., takkan saya lupakan. Hilang segala penat lelah selepas gig. Berasa begitu puas kerana berjaya menjadi antara yang terawal memiliki album PSJKB.

Sumber: instagram personal saya

Begitulah sedikit sebanyak memori saya membeli karya fizikal sebelum zaman pandemik. Jika ingin diceritakan memori setiap album/EP yang saya miliki, entah panjang berjela mana lagi karangan ini akan pergi. Perasaan ketika ingin membeli, bertemu band, mendapatkan tandatangan sememangnya takkan sama dengan pembelian online. Level keterujaannya berbeza. Walau bagaimanpun, diharapkan kalian teruslah menyokong band dan pemuzik tempatan meskipun transaksi ketika ini hanyalah boleh dilakukan diatas talian. Belilah karya dan merchandise sekiranya berkemampuan. Semoga negara kita lekas keluar daripada belenggu virus ini. Majulah muzik alternatif untuk negara!

Sumber: instagram personal saya