Marionexxes & Playburst M4ut Dibedil Mortar Oleh Ibliss? [Ulasan Gig]
Teks & Gambar oleh : Gheff
Bila aku ternampak flyer untuk gig terbaru anjuran Room Affect & Konco Wazzap yang berlegar-legar di media sosial baru-baru ini, aku tertarik dengan satu nama: Marionexxes. Spontan, aku teringat video persembahan lagu Harimau Malaya yang tersangat epik (kenapa epik? Kena tengok sendiri) yang disiarkan di Astro Hitz satu ketika dulu. Dalam hati terus terdetik, kena pergi tengok ni. Itulah kekuatan daya tarikan Prof Piko iaitu tunjang Marionexxes, haha. Terus aku beli tiket dengan Raja Azrul (wakil penganjur Room Affect). Untuk yang tak tahu, Room Affect ialah antara penganjur gig yang utama di Perak, khususnya Ipoh dan kawasan berhampiran. Mereka lebih dikenali dengan siri gig Shift Malam (yang dah sampai Vol. 8 pada hujung tahun lepas) dan juga sering membawa masuk band-band bawah tanah antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai genre.
Pada hari kejadian, aku tiba sedikit lambat sebab aku selesaikan solat Isyak dulu. Lokasi gig terletak di Dream Projects Hall (DPH), Ipoh, iaitu lokasi lama studio Rainhouse yang pernah popular pada zaman 2000-an. Sudahlah aku bertolak lambat, jauh pula tu dari rumah aku di Seri Iskandar (makan masa 45 minit!) jadi bila aku sampai, aku sedikit hairan melihat ramai orang berada di kaki lima bawah studio dan tidak kedengaran apa-apa bunyi muzik. Bila aku bertanya kepada salah seorang pengunjung yang sedang bertenggek dan menghisap pod (tak ingat jenama apa), barulah aku tahu rupanya aku dah terlepas persembahan pertama iaitu M4UT. M4UT (disebut Maut) ialah seorang disc jockey (DJ) yang berasal daripada Ipoh dan jujurnya, aku tak ada banyak info tentang beliau. Yang aku tahu, beliau ada EP bertajuk ‘404/RESTART‘ yang bergenre EDM (disebut electro trash dalam flyer), dan juga beliau berkolaborasi dengan artis elektronik Thailand, Exsist dalam lagu Android Abyss yang dilancarkan pada tahun ini. Aku cuba dengar lagunya, layan juga. Kalau suka lagu-lagu elektronik yang macam runut bunyi permainan video Cyberpunk 2077, aku jamin muzik M4UT boleh masuk telinga.
Setelah aku mengesahkan diri bebas Covid dengan kit ujian yang diberi percuma kepada setiap pemegang tiket, aku luangkan masa bertegur sapa dengan kawan-kawan di ruang legar. Raja Azrul muncul dan memberi isyarat lalu aku terus masuk untuk menikmati persembahan kedua iaitu Mortar., sebuah band screamo daripada Kuantan. Mengikut fahaman aku, ahli kumpulan mereka terdiri daripada pelbagai band underground di Kuantan yang pernah aktif sekitar tahun 2000-an. Beberapa minit setelah mereka memulakan persembahan, aku boleh nampak yang mereka memang banyak pengalaman bermain gig. Sepanjang persembahan mereka, mata aku melekat pada Wan B (vokal utama) yang melutut di atas lantai sambil melontarkan lirik yang puitis dalam bentuk jeritan nyaring (suara beliau terletak antara screaming dan shrieking). Keserasian para pemuzik iaitu Jay (bass), Syukri (gitar), Farid (gitar), dan Udey (drum) juga sangat menghiburkan. Satu lagi yang menarik perhatian aku ialah dinamik lagu-lagu Mortar. yang berubah daripada lembut dan indah kepada bingit dan menyesakkan, mengingatkan aku kepada lagu-lagu zaman awal MIM (KL post-rock). Pada malam itu, mereka memainkan lagu-lagu daripada EP 2017 mereka iaitu ‘Past Present Future‘. Memang bertenaga dan penuh emosi.
Selesai persembahan Mortar., aku sempat turun ambil angin sebelum kembali ke ruang dewan untuk melayan Playburst. Playburst tidak mengambil masa yang lama untuk bersedia dan mereka meneruskan momentum yang ditinggalkan oleh Mortar. Aidil (vokal utama) seperti biasa tampil bersahaja dan cuba untuk mendekati penonton dengan cara berseloroh di antara lagu dan mengajak untuk menyanyi bersama-sama. Tapi aku perasan malam itu audiens seperti agak kaku, mungkin sebab tempo lagu yang sentiasa mencabar dan di luar jangkaan (Playburst membawa genre math rock). Kemuncak peribadi ialah apabila mereka memainkan lagu Big Mouth yang ada bahagian sing-along dan juga kehebatan Tiong (drum) dan Afiq (bass) menjaga tempo dengan sangat kemas. Wan (gitar) juga tidak kurang hebat dengan permainan gitar beliau, tapi secara jujurnya, aku terpukau dengan persembahan Tiong hampir 80% daripada tempoh persembahan (dan aku rasa sama kesnya dengan beberapa penonton lain). Kalau diperhatikan, para pemain drum dalam audiens semua tertumpu di sebelah kanan iaitu betul-betul hadapan drum! Haha. Malam itu Playburst memang hebat sesuai dengan taraf mereka sebagai salah satu projek “supergroup” tanah air (pendapat peribadi).
Kini tiba giliran band stoner doom dari Kuala Lumpur, Ibliss untuk membuat persembahan. Aku sebagai peminat genre ini sememangnya menantikan peluang untuk menyaksikan mereka. Aku mula kenal dan tertarik dengan band ini daripada kualiti penampilan reka bentuk album dan video klip mereka. Bagi aku, ia nampak sangat teratur dan dirancang dengan rapi, sesuai dengan imej stoner doom. Sesi malam itu dimulakan apabila Fo (bass) dan Syazwan (gitar) mula memijak pedal Big Muff masing-masing, secara automatik bunyi desingan amplifier yang menyucuk menarik audiens untuk berdiri lebih dekat dengan pentas. Ibliss dengan bersahaja memainkan lagu-lagu mereka yang rabak dan penuh dengan riff ringkas yang berulang-ulang sambil ditemani oleh audiens yang khusyuk menghentakkan kepala. Fuh, memang layan. (Masukkan lawak-lawak makhluk halus dan kerasukan anda di sini.) Kekhusyukan para jemaah terganggu seketika apabila tali gitar Syazwan terputus di pertengahan lagu (lagu apa pun aku dah tak ingat dah) tapi Fo dan Wan Faiz (drum) tetap meneruskan persembahan dan Syazwan secara spontan mencapai mikrofon dan menyanyikan melodi solonya. Ternyata aksi mereka telah berjaya memikat hati para penonton, dan aku yakin Ibliss berjaya mendapat peminat baru pada malam itu.
Persembahan terakhir, Marionexxes– oh bukan, hanya Piko (vokal, gitar) seorang sahaja, bermula dengan beliau merangkak seperti harimau masuk ke dalam ruang dewan ketika Ibliss sedang mengemas barang-barang mereka. Ya, ini betul-betul berlaku. Kisahnya, ada orang (baca: penghasut) yang mencadangkan kepada beliau untuk merangkak masuk sebagai gimik Harimau Malaya, lagu Marionexxes yang paling popular setakat ini. Nak kata Piko membuat persembahan muzik pada malam itu, adalah tidak tepat sama sekali. Piko berjaya menidakkan jangkaan audiens dengan memberikan sebuah persembahan stand-up comedy yang diselit dengan percubaan beliau untuk memainkan beberapa lagu. Ah, Piko tak main lagu pun, cuma belanja beberapa riff yang dicedok daripada pelbagai lagu. Audiens yang hadir semuanya duduk dan memerhatikan gelagat Piko menyampaikan segala macam benda, daripada cerita rumah keluarga beliau di taman sebelah kepada kepentingan rasa gembira dalam hidup. Setelah didesak oleh audiens, pada lebih kurang jam 12 tengah malam, akhirnya Piko memainkan Harimau Malaya dan disambut dengan sorakan yang gemuruh (sekali lagi, bukan lagu penuh, hanya korus sahaja). Selepas berakhirnya acara, aku sempat menemu ramah beberapa kawan yang hanya mampu memberi jawapan, “pelik doh”. Tapi jangan salah anggap, persembahan Prof Piko a.k.a. Marionexxes pada malam itu sangat menghiburkan, cuma bukan dalam cara yang aku jangkakan.
Tahniah kepada Room Affect & Konco Wazzap atas usaha mereka menjayakan gig ini. Memang tepat sekali ayat “Pure Fun, No Bullshit” dalam nama gig mereka. Aku pulang dengan perasaan puas dan gembira (yang ni, terima kasih Marionexxes khususnya) dan menantikan acara seterusnya oleh mereka. Kalau anda ada hajat untuk datang ke Perak, apa salahnya datang sertai acara-acara anjuran Room Affect. Dijamin anda tidak akan kecewa.
Hubungi Room Affect: [email protected]
Lokasi acara: Dream Projects Hall