‘Fakulti Kaki Lima’ – Bawa Mesej Kesedaran Kesihatan Mental
Sabtu, 26 Mac 2022 – Kami dijemput bagi acara pelancaran EP kumpulan Armpunk Sindicate yang diberi judul ‘Fakulti Kaki Lima‘ yang bertempat di Cho Cha Foodie, Pandan Indah. Armpunk Sindicate kali ini tampil dengan 4 orang ahli terkini iaitu Zedd (vokal & ukulele), Mily (gitar), HK (bass) dan Elby (dram & backup vocal).
Pak Noi selaku orang kuat Armpunk Sindicate membuka acara dengan memperkenalkan diri dan berterima kasih kepada media dan rakan-rakan yang turut hadir memeriahkan acara. Beliau turut menerangkan serba sedikit tentang proses penyiapan EP ini dan konsep yang dibawa dalam EP tersebut.
Nama ‘Fakulti Kaki Lima’ dipilih untuk menggambarkan proses dan keadaan penyiapan EP ini dimana semuanya dilakukan dengan DIY di beberapa studio serta mendapat bantuan dari rakan-rakan terdekat. Serta karya yang terdapat pada lagu-lagu dalam EP ini dicipta berdasarkan pengalaman dan pembelajaran yang diperoleh dari jalanan. Pak Noi juga menegaskan tiada unsur untuk menidakkan sistem pembelajaran sedia ada, namun ilmu itu bukan hanya didapati dari bangku sekolah.
Terdapat senaskhah zine yang turut diedarkan ketika acara ini berlangsung yang membincangkan tentang kesihatan mental.
Sebelum ini Armpunk Sindicate giat dengan kempen anti-dadah pada awal kemunculan mereka dan untuk rilisan kali ini mereka memulakan kempen tentang kesedaran kesihatan mental. Pandemik yang berlaku lebih kurang 3 tahun telah menyaksikan ramainya orang berhadapan dengan kemurungan, keresahan dan lain-lain lagi penyakit berkaitan mental. Ianya sakit yang tidak dapat dilihat seperti kesakitkan fizikal yang dialami kebiasaan orang. Dan tujuan mereka memulakan kempen ini adalah untuk memberi kesedaran bahawa ‘mental illness is real‘ dan ianya perlu dinormalisasikan dan bukan hanya dianggap remeh sekadar kesedihan dan kemurungan yang biasa.
Single mereka, ‘Seterumu‘ adalah lagu pertama yang dipetik dari EP ini yang membawa mesej tentang kesihatan mental. Ia telah dilancarkan pada 19 Mac yang lalu menerusi saluran Youtube Armpunk TV yang kini telah mencapai sekitar 800 tontonan. EP ini memuatkan 5 buah lagu iaitu Seterumu, Gula-Gula, Selamat Malam, Satu Bendera, Dadah Durjana dan Noisy Punk.
Tetamu yang hadir pada hari itu menjadi yang pertama mendengarkan kesemua lagu dari EP Fakulti Kaki Lima dan menurut Pak Noi mereka baru saja mendapatkan material tersebut di hari yang sama ketika pelancaran ini dilangsungkan.
Kulit album direka oleh pasukan babi graphics dan berlatarbelakangkan gambar-gambar band dan juga tengkorak yang berpogo di tengah-tengah lorong dan menara KLCC sebagai simbolik kepada tajuk EP tersebut. Selain sesi pra-dengar, mereka turut mempersembahkan lagu-lagu yang terdapat dalam EP iaitu Satu Bendera, Dadah Durjana, Gula-Gula dan Seterumu. Selain itu, band Kontra turut memberikan persembahan yang kemas dan bersemangat selepas persembahan dari Armpunk Sindicate.
Pada hari yang sama, mereka turut mengadakan gig sempena pelancaran EP bertempat di Rumah Api pada jam 8 malam dan dibarisi oleh band lain seperti Escape Plan, Incase, IX Chel, dan ABC Youth.
Selain itu, mereka juga turut berkolaborasi bersama badan-badan kerajaan dan juga NGO untuk menguatkan lagi kempen kesihatan mental ini agar dapat menyebarkan kesedaran ke setiap lapisan masyarakat. Semoga kehadiran EP ini menambah semangat Armpunk Sindicate untuk terus berkarya disamping meneruskan usaha positif dalam menyebarkan kesedaran tentang kesihatan mental.