I Lost The Plot – Jauhkan (Memori) (Single)
Kami betul-betul lost dengan plot cerita mereka kali ini. Mana tidaknya, kali terakhir mereka meriliskan lagu dan video muzik adalah pada 2017 dan muncul secara tiba-tiba pada tahun ini. Tetapi yang bagusnya, mereka membuat kesinambungan daripada video lama tersebut, menyebabkan penonton wajib menonton video “Consequences” sekiranya ingin lebih faham akan jalan cerita bagi lagu “Jauhkan (Memori)” ini.
I Lost The Plot bermula sejak mereka sedang belajar di universiti. Ditubuhkan pada 2007, mereka sangat aktif sekitar 2014/2015, namun secara perlahan-lahan mendiamkan diri, sehinggalah sekitar tahun lepas, drummer mereka muncul dengan sebuah projek solo. Ah, inilah tanda-tanda terkuburnya sebuah band. Semenjak hari itu, tiada siapa lagi yang bercerita tentang I Lost The Plot, sehinggalah mereka tiba-tiba muncul dengan single terbaru ini, yang sedikitpun tidak lekang daripada kualiti, samada lagunya mahupun videonya. Bermakna, ia bukan sebuah rilisan yang “asal siap” dan mereka sudah pasti merancang perkara ini lebih awal.
Kita boleh sahaja melabel mereka copycat Fall Out Boy ataupun Panic! At The Disco, tetapi tahukah anda bahawa mengambil “style” musician lain dan mengadaptasi “style” tersebut dalam muzik yang dikarang sendiri adalah sangat sukar? Apatah lagi kalau mengadaptasinya di dalam lagu yang berbahasa Melayu. Meletakkan perkataan “copycat” adalah satu perkara yang keras dan tidak patut.
Sepertimana yang diberitahu di atas, video ini adalah sambungan daripada single mereka yang terdahulu. Bagi sesiapa yang sudah mengikuti mereka sejak awal pasti tahu bahawa mereka dianggotai oleh 3 orang. Tetapi video ini seolah-olah memberitahu bahawa bassist mereka sudah tidak lagi menyertai mereka. Bijaknya mereka dalam menyanbung jalan cerita yang sama walaupun ahli kumpulan sudah tidak mencukupi. Lakonan mereka pula nampak natural dan berjaya menghiburkan; tidak kaku dan tidak terlalu janggal.
Lagu ini pula merupakan satu-satunya trek mereka yang berbahasa Melayu setakat ini, sejak daripada rilisan “Fairytales & Fears” sekitar 2013 dahulu. Komposisi “Jauhkan (Memori)” lebih matang dan lebih bersahaja. Tetapi sukar untuk kami tentukan sama ada lenggok ritma nya bertambah baik atau tidak, kerana kualiti ritma vokal mereka sudahpun berada di tahap yang agak tinggi semenjak debut EP mereka keluar. Gabungan lagu dan video ini menjadikan lagu ini sungguh dekat dengan memori kami #punintended. Segar, mudah diingati dan mesra sing-along.