Synthtech – Bunyian EDM Psikedelik Yang Mengkhayalkan
Ditulis oleh: Adam Afifi
Synthtech dari kugiran psikedelik tempatan, Capt’n Trips and The Kid adalah apa yang saya bayangkan jika kebanyakan kugiran-kugiran New Wave seperti New Order atau Depeche Mode membuat sebuah album psikedelik. Saya juga boleh bayangkan yang ini adalah apa yang kugiran-kugiran Post-Punk/Darkwave seperti Molchat Doma yang jelas berinspirasi daripada Joy Division/New Order jika mereka mahu membuat sebuah album psikedelik juga.
Ia mungkin juga tidak melampau untuk saya yang ini adalah apa saya bayangkan jika Daft Punk mahu membuat sebuah album Psikedelik juga! Saya rasa jika ada yang tidak tahu mereka berasal dari Malaysia, mesti mereka akan kata yang kugiran ini akan berasal dari Australia. Kenapa Australia? Sebab sekarang kini Australia sudah menjadi ‘hub’ untuk kugiran-kugiran psikedelik seperti Tame Impala, King Gizzard and The Wizard Lizard, Pond dan pelbagai lagi kugiran-kugiran psikedelik lain yang berasal dari situ.
Album ini mempunyai gabungan bunyian EDM awalan (70an/80an) dan juga bunyian psikedelik yang bagus, di mana lagu Hi-Rise saja yang merupakan satu-satunya lagu psikedelik yang standard dalam album ini. Saya boleh bayangkan beberapa lagu daripada album ini berkumandang di dalam permainan video bola sepak FIFA/EA Sports FC.
Sedikit pengenalan bagi band Capt’n Trips and The Kid, band ini ditubuhkan sekitar tahun 2016 dan dianggotai oleh Jes Ismail, Jes Ibrahim, Yaqub Zulkifli, Sean Totten, Uzayr Khalid dan Omar Aiman. Album Synthtech merupakan album ketiga dari mereka yang membawakan bunyian baru dibandingkan dari album-album sebelumnya. Dengarkan album Synthtec di Spotify dan ikuti perkembangan mereka di semua platform medsos yang tersedia.