Berpesta bersama Kugiran Masdo X The Changcuters
Ditulis oleh: Atiqah HS & Shakyla
Pada 29 Disember 2022 yang lepas, kami telah berpeluang untuk menghadiri konsert Kugiran Masdo x The Changcuters yang bertempat di Zepp, KL. Kebiasaannya konsert dan gig akan memenuhi jadual hujung minggu sehingga peminat terpaksa beralah untuk memilih salah satu sahaja. Tambahan pula seperti yang kita nampak penganjur dan band berpusu-pusu merebut tarikh sepanjang tahun 2022. Kadang tu rasa macam tak sempat bernafas tabung simpanan, semata-mata nak beli tiket konsert! Tetapi tidak untuk konsert ini. Langkah menganjurkan konsert di hari Khamis ini adalah satu tindakan yang agak bijak kerana tak perlu nak hadap jem teruk.
Kami tiba di Zepp, Kuala Lumpur sedikit lewat dalam pukul 8.30 malam, sebelum ke kaunter menebus tiket dan memakai gelang entry. Kami masuk ke belah hadapan kanan pentas dan melihat penonton sudah pun memenuhi segenap ruang. Tapi nasib baik hanya selang beberapa minit saja, hos Mat Sabah baru naik ke pentas dengan sedikit kata pembukaan sebelum menjemput Kugiran Masdo. Katanya sebelum ni dia pernah ingin cuba untuk crowdsurfing tapi tak disambut penonton di bawah, jadi pada malam itu hos tak akan cuba untuk buat perkara yang sama. Sebagai permulaan persembahan, lagu Dewi Puspita telah dipilih oleh Masdo lalu disambut meriah oleh penonton sambil menari ala ala twist dan seterusnya lagu pujaan ramai, Bunga.
Lagu Bunga merupakan sebuah lagu hits Kugiran Masdo pada awal pengenalan. Ianya sudah tentu terpahat kuat di hati ramai orang kerana iramanya yang ‘catchy’ dan membawa mood pada zaman filem P.Ramlee. Penonton turut sama menyanyi sekuat hati sambil tersenyum memandang ke pentas. Dalam sesi selingan, Ali Sariah sempat berseloroh dan mendoakan penonton untuk cepat ‘move on’ daripada kesedihan sebelum memainkan lagu seterusnya, iaitu Berduka-Lara.
Menurut Ali Sariah, konsert gabungan Kugiran Masdo dengan The Changcuters merupakan satu impian besar untuk berada di satu pentas yang sama sejak dari awal penubuhan mereka lagi. Ali Sariah seakan terharu dan berterima kasih kepada ahli keluarga yang turut hadir pada malam itu. Seterusnya, mereka juga telah mengambil kesempatan ini untuk memperdengarkan secara eksklusif kepada kami selaku penonton lagu terbaru mereka. Lagu ini dimaklumkan bahawa ianya bakal dirilis 13 Januari 2023 ini dan ditulis oleh Noh Salleh. Ketika lagu bertajuk “Inilah Jalannya” ini dimainkan, secara tidak langsung memang ada kedengaran ‘vibe’ Noh Salleh! Ha nak tahu lagunya macam mana? Nantikan secara rasmi pengumumannya bulan ini.
Selain itu, beberapa lagu lain turut dimainkan oleh Kugiran Masdo. Antara lagunya terdiri daripada album Selamat Tinggal Pujaan dan Jalan Abbey seperti Dinda, Malam Pesta Rock N Roll, Teruna dan Dara, dan Bercanda Di Malam Indah yang disertakan upacara melompat bagi penonton yang berada di ruang berdiri. Setelah sejam lebih Kugiran Masdo beraksi, ‘merch’ diberikan secara balingan rambang kepada penonton. Penonton bersorak gembira dan kebetulan pula ada penonton di belakang kami yang bertuah dapat menyambut baju jersi direka khas Kugiran Masdo itu.
Sementara pentas digelapkan, kami sempat beralih ke sebelah kiri pentas untuk menikmati The Changcuters. Band ‘rock n roll’ yang berasal dari Bandung, Indonesia ini nampaknya seperti tidak asing bagi para penonton. Tepat 9.33 malam, The Changcuters menerpa dengan membawa lagu Parampampam secara tidak langsung memanaskan ruang Zepp. Sejujurnya kami bukanlah pendengar setia The Changcuters, namun persembahan mereka pada malam itu begitu bersemangat telah menjadikan kami sebagai peminat baru mereka. Dari segi aksi persembahan daripada setiap ahli kumpulan terlihat kerjasama yang kuat, dan rentak lagu lagu mereka kedengaran lebih menarik untuk dinikmati secara langsung berbanding melalui Spotify atau rakaman. Antara lagu lagu yang seakan membawa penonton kerasukan adalah lagu I Love You Bibeh, Hijrah Ke London dan Gila-Gilaan. Paling mengagumkan kami adalah aksi vokalis Tria Ramadhani bernyanyi sambil berlari dari hujung kiri pentas ke hujung kanan pentas tanpa kelihatan mengah pun.
Pentas dikosongkan lagi sekali dalam beberapa minit sebelum The Changcuters kembali dengan lagu, yang digandingkan dengan Kugiran Masdo. Kali ini Tria Ramadhani sudah pun berbaju t-shirt. Begitu juga dengan Kugiran Masdo, yang hanya berkemeja sahaja. Beberapa lagu dimainkan termasuklah Racun Dunia, Miss Flower Learns To Twist serta Teruna dan Dara. Di minit akhir persembahan, Tria dan Ali Sariah sempat melakukan ‘crowdsurfing’ di bahagian tengah dan naik semula ke pentas lalu berganding bahu seiring bersama ahli band yang lain. Kami sama-sama bersorak, bertepuk tangan dan mengangguk sesama sendiri. Ternyata gabungan dua negara pada malam hari tersebut memberikan sebuah energi yang luar biasa kepada penonton yang hadir.
Konsert Kugiran Masdo x The Changcuters pada malam itu telah mencipta sebuah fenomena dalam industri seni muzik indie selepas 10 tahun kebelakangan yang menghadirkan Butterfingers, OAG dan Hujan. Ianya membuktikan Kugiran Masdo merupakan generasi baru bagi indie scene kita. Semoga Kugiran Masdo mampu kekal fokus dalam kerja kreatif mereka sebagai sebuah band indie dengan keaslian pembawaan genre mereka dalam lima ke sepuluh tahun ke hadapan lagi untuk tampil dengan karya-karya yang bagus dan genius!
Terima kasih Kugiran Masdo x The Changcuters atas memori yang indah bagi penutup tahun 2022. Tahniah juga kepada seluruh warga penganjur kerana berjaya menganjurkan konsert ini. Keren banget!