SENARAI PUTAR HUJUNG MINGGU 17/21
Selamat datang kembali ke Senarai Putar Hujung Minggu ke-17. Nampaknya minggu ini barisan pemuzik alternatif masih aktif dan ada yang baru sahaja melancarkan karya baru mereka. Ayuh kita lihat senarai seperti berikut.
Salammusik – Galaksi Rindu
Sepanjang tempoh berkurung di negeri, sudah pasti ada yang merindui yang tersayang jauh di mata. Salammusik seperti mengerti. Kini, mereka kembali dengan Galaksi Rindu buat anda. Salammusik merupakan sebuah kumpulan terkenal dalam ruangan muzik alternatif yang lebih fokus kepada muzik berentak reggae, hiphop dan nusantara. Kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan pernah berkolaborasi di dalam lagu Cerita Kedai Kopi bersama DJ Fuzz dan Malique pada tahun 2010. Lirik lagu Galaksi Rindu ini telah dicipta sendiri oleh Salam dan Jaytan serta digubah oleh Bulya. Salammusik adalah hasil bersama Salam (Vokal, Gitar, Synth), Bulya (Drums, Gitar, Programming), Hibri Arsad (Melodica, Synth), Yaya Naqia (Backup vokal), Jazmi Jamaluddin (Alto Sax) dan Payung (Shehnai). Rata-rata komen peminat Salammusik begitu positif dengan rilisan ini. Mana tidaknya, keluaran Galaksi Rindu selepas Molek pada tahun lepas memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat Salammusik. Adakah mereka akan meneruskan dengan album yang ke-4 pula selepas album Riwayat? Mari sama-sama kita nantikan.
Gerhana Skacinta – Ali Baba Ska
Gerhana Skacinta (GSC) adalah sebuah kumpulan muzik ska yang tidak asing dalam kalangan peminat muzik alternatif. Kali ini mereka kembali dengan sebuah cover lagu lagenda yang bertajuk Ali Baba Ska. Video muziknya juga turut menjadi perhatian ramai walaupun baru sahaja ditayangkan pada 30 April 2021. Keistimewaan video muzik ini bukan sahaja pada jalan cerita adaptasi lagenda Ali Baba Bujang Lapok pada tahun 60an, tetapi juga kepada keseluruhan colour grading video yang baik. Video muzik ini merupakan sebuah arahan Tengku Sharmizi dan suntingan Mordwork Sdn Bhd. Gerhana Skacinta kini dianggotai oleh Edy J (Gitar), Widy Vokalis pertama), Pedd (Vokalis kedua), Bakri (Drum), Rejab (Trombon), Fairuz (Keyboard), Jalut (Bass) dan anggota baharu iaitu Farin (Saksofon). Untuk pengetahuan anda, kumpulan ini telah memulakan perjalanan dalam bidang muzik sejak tahun 2001. Sudah berusia 20 tahun tau! Apa pun, Ali Baba Ska ini sememangnya menghiburkan.
Late Night Frequency – Fun Lust Love
Pemain synthesizers kini sudah mula menjadi satu trend bukan sahaja di luar negara, tetapi juga di tanah air kita. Late Night Frequency (LNF) merupakan band yang seterusnya mengetengahkan elemen city pop 80an pada tahun ini. Biarpun mereka masih di dalam proses penyiapan album sulung mereka yang bertajuk Diskografi, anda boleh layari lagu pertama mereka iaitu Fun Lust Love yang telah ditayangkan pada 24 April 2021 yang lalu. Band ini dianggotai oleh Mr. Wolf atau dikenali sebagai Moja, Adeep (Gitar) dan Miro (Bass) and Ringo (Drum). Penghasilan video muzik ini juga adalah unik hasil tangan Jefrey Adam dari Juicy Brain dan gabungan usaha bersama Alam Bunyian. Fun Lust Love adalah lagu yang bernada segar dan menyeronokkan bersesuaian dengan tajuknya. Jalan cerita di dalam video muzik yang ‘dreamy’ ketika bertemu serigala akan menarik perhatian anda untuk menontonnya hingga ke akhir babak. Syabas LNF atas usaha ini. Bagi menghargai para pendengar LNF, LNF juga telah memulakan hashtag mereka dengan #LateNightListeners. Anda boleh mengikuti mereka pula dengan carian Late Night Frequency di semua platform sosial media mereka.
May of Scarlet – Afornisme
Afornisme adalah sebuah karya hasil May of Scarlet berentak hard rock. Permulaan lagu ini akan mengingatkan anda tentang aksi mosh di gig-gig yang lepas yang tak mungkin anda akan lupakan. Band ini merupakan sebuah band yang berasal dari Kuala Lumpur dan pernah berkongsi karya muzik mereka seperti Dead Fish, Bukti dan Saka. Manakala, Afornisme pula merupakan rilisan yang terbaru dan merupakan sebahagian daripada album mereka yang akan datang iaitu Menangislah. Tambahan, video muzik ini juga merupakan hasil arahan Ammar Shukri. Lirik lagunya mungkin agak pendek tetapi mesejnya tetap sampai. Ianya merupakan hasil ciptaan Safwan Abu Samah. Bagi yang belum mendengar, anda harus dengar karya ini hingga ke akhir lagu, kerana pastinya bahagian screamo pasti akan memuaskan hati anda.
Kolar Hijau – Raya Kita
Adakah kita akan beraya pada tahun ini? Mungkin suasana akan menjadi sedikit berlainan sekali lagi, namun tetaplah kita raikan kemenangan pada bulan Syawal nanti sebaiknya. Kolar Hijau pada kali ini telah memuat naik semula lagu raya mereka yang bertajuk Raya Kita. Lagu ini merupakan sebuah lagu ciptaan pada tahun 2016 dan pernah diputarkan di radio tempatan, RAKITA FM atau dikenali sebagai IM4U pada tahun tersebut. Menurut mereka, Raya Kita adalah sebuah karya yang mengekspresikan rasa kebahagiaan dan keindahan hari raya yang pasti menggamit memori anda. Bagi peminat Kolar Hijau, sudah pasti anda mengenali barisan lagu mereka yang lain seperti Burung, Kayu dan Khazanah. Band ini telah dianggotai oleh Syahidil Aizat (Vokal/Gitar) Adeep Nair (Gitar) Ishak Maulan (Bass), dan Raja Farizal (Drum). Genre utama mereka merupakan alternative pop dan setakat ini kebanyakkan karya mereka mengambil inspirasi tentang semangat cintakan alam dan cuba menyampaikan mesej-mesej berkaitan kehidupan yang menghubungkan jiwa dengan minda.
Setakat itu sahaja untuk minggu ini. Jumpa minggu hadapan bagi edisi penuh raya pula!