Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 39/21

Bersua lagi kita dalam senarai putar. Kita mempunyai baki sebulan lagi sebelum menuju ke tahun baru. Mungkin ada yang sedang sibuk bercuti atau menghadiri pesta muzik kegemaran. Minggu ini senarai putar tampil dengan 5 buah lagu hasil anak muda tempatan kita.

Dewataraya – Demimu, Untukmu, Buatmu

Penubuhan Dewataraya pada tahun 2019 membawa kepada single terbaru mereka iaitu Demimu, Untukmu, Buatmu selepas rilisan lagu seperti Masa Dan Rasa, Timur dan Bisikan. Berbanding lagu sebelumnya, rilisan ini mempunyai kelebihan muzik yang lebih rock dan tenaga yang tinggi. Keberanian mereka dalam bereksperimen terhadap bunyi yang berbeza adalah satu pujian yang harus diberikan. Lagu ini juga secara spesifiknya dijelaskan oleh Dewataraya sebagai satu ajakan kepada manusia untuk mengingati dan menghayati semula tujuan sebenar kita memperjuangkan sesuatu dan memastikan kita tidak lari dari landasan tujuan tersebut. Dewataraya dianggotai oleh Nawi Zharif (vokal), Najmi (gitar), Aqmal (gitar), Emei (dram) dan Hakim (bass). Penstriman lagu ini boleh dilakukan di ruangan Spotify dan Apple Music. Nantikan pula kemunculan album mereka pada Januari 2022 akan datang!

Loko – Kritikan

Aktif dan penuh gaya. Itulah reaksi pertama ketika melihat muzik video Kritikan ini. Rata-rata peminat Loko tahu bahawa mereka sering memberikan gaya persembahan “all out” di pentas. Begitulah yang sama perasaannya di dalam MV Kritikan ini. Lirik lagu ini merupakan ciptaan LEPLOKO serta digubah bersama Acap LOKO. Malah, lagu ini juga sudah boleh dimainkan di saluran muzik utama seperti Spotify dan Apple Music.

The Filters – BZD

The Filters adalah sebuah band math rock yang berasal dari Kuala Lumpur. Band ini dianggotai oleh Aiman Shakirin (dram), Ian Francis Khoo (gitar dan vokal), Reuben Ravi (bass dan synth) dan Iain Chan (gitar). BZD ini adalah salah sebuah lagu di dalam album debut mereka yang dinamakan sebagai Exhaler. Album tersebut mempunyai 7 buah lagu kesemuanya dan setakat ini album fizikalnya boleh didapati di toko muzik terpilih. Satu fakta menarik mengenai The Filters adalah kesemua ahlinya mempunyai latar belakang yang sama iaitu dalam bidang kejuruteraan audio. Anda boleh ikuti mereka di laman media sosial dengan carian The Filters dan kenali mereka dengan lebih dekat.

Sumber: The Filters

A.Limin – Malar (Rilisan Tertunda)

Pernahkah anda mendengarkan album A. Limin yang bertajuk Adam? Jika pernah, anda pasti sudah menyedari kehadiran Malar baru-baru ini. Jika di dalam Adam, lagu-lagunya lebih berentak perlahan. Tetapi, Malar ini merupakan sebuah single yang lebih upbeat dari sudut ritma dan bunyi dram. Menurut Fathil Alimin selaku vokalis utama di dalam A. Limin, lagu ini adalah satu lagu yang boleh diterjemahkan dalam pelbagai perkara. Namun baginya, ianya adalah satu ekspresi kekecewaan terhadap pemimpin korup di tahun yang sukar ini. Malar adalah satu rilisan persinggahan kerana mereka kini sudahpun bersedia ke arah album baru! Album yang diberikan nama “Sesudah Melakar Langit” adalah hadiah buat peminat dan mempunyai beberapa elemen kejutan. Mahu tahu lebih lanjut? Pastikan ikuti instagram mereka di @a.liminofficial. A. Limin adalah hasil kekuatan bersama Fathil Alimin (vokal dan gitar), Merul (vokal dan gitar), Ku Miro (bass) dan Fai (dram).

Kasorga – Nightlock

Akhir sekali minggu ini, anda boleh cuba mendengarkan Nightlock milik Kasorga. Nightlock ini adalah sebuah lagu yang berada di dalam EP bertajuk Ars Moriendi. Secara peribadi, EP ini adalah unik kerana menggunakan teks latin sebagai identitinya. Ars Moriendi atau terjemahannya The Art of Dying mempunyai 4 buah lagu untuk halwa telinga anda. Nightlock dimulakan dengan petikan piano dan perlahan-lahan berubah kepada penekanan vokal dan dram. Mungkin anda akan lebih memahami melalui visual yang dibawakan di dalam MV Nightlock ini. Anda boleh menekan kasorga.com untuk memilih jenis penstriman secara digital.

Mahu ke spotify kami? Tekan dibawah dan ikuti kesemua liputan senarai putar di sini: