Pita Bandung – 9 Januari 2022
Menjengah tahun baru 2022, ada antara kita sudah punyai azam baru. Ada juga yang masih mencari-cari apa yang harus dicapai atau yang ingin dilakukan pada tahun baru ini. Apa yang pasti, anda harus tepuk bahu sendiri atas segala pencapaian dan kekurangan, kerana ianya tetap menjadikan anda sebagai seorang manusia.
Jika anda mengenali ruangan ini sebagai Senarai Putar Hujung Minggu, ya kita sudah beralih nama kepada Pita Bandung pada tahun ini.
Tanpa lengah lagi, mari kita teruskan melayari lagu-lagu baru sajian kugiran lama dan baru di bawah.
Kyoto Protocol – Faded Lights
Selaku indie rock band, lagu ballad adalah satu pertukaran angin kerana jiwa yang rock perlukan masa yang perlahan juga. Faded Lights adalah satu tarikan baru, seperti menyambut jiwa-jiwa yang sedang dalam kelukaan. Band ini telah bergabung tenaga bersama Fracas Works dalam penghasilan muzik video rasmi mereka melalui sentuhan bentuk animasi. Vokalis utama, Fuad mengatakan bahawa penulisan lagu ini adalah lagu yang paling organik dalam kebanyakkan lagu. Biarpun prosesnya mempunyai banyak gangguan pergerakan di musim pandemik, mereka tetap meneruskan kreativiti dalam penghasilan lagu ini. Faded Lights adalah keluaran single kedua selepas Nothing Lasts Forever pada Jun tahun lepas.
Servants – Contrast
Sementara menunggu album pertama mereka, Servants menyajikan anda dengan satu single baru bertajuk Contrast. Muzik video ini adalah unik dengan visual metafor benang merah mereka. Ianya adalah satu terjemahan tentang kenangan silam yang sering menghantui seseorang itu sehingga menyukarkan pergerakan dan akhirnya tetap berada di dalam ruangan yang sama. Secara umumnya pula, lirik lagu ini membincangkan tentang sebuah hubungan namun lebih membawa kepada perjuangan diri seseorang itu untuk menjadi lebih baik. Tetapi, dirinya juga masih dihantui oleh masa silam dan hampir membawa kepada rasa putus asa. Lagu ini adalah sebuah idea Izmal Che Ahmad. Semestinya Contrast ini masih mengekalkan rasa emosi yang asli dan mengikuti identiti mereka selalu rock emo band terkini.
Transient Loss – Over Again
Sewaktu dunia sedang rancak dengan trend NFTs, Transient Loss tidak mahu ketinggalan dengan trend muzik video berbentuk permainan animasi 8-bit. Selaku progressive metal band, intro lagu dalam bentuk bunyian elektronik dan glitch tidak sedikit pun membatasi elemen metal mereka. Trek lagu ini adalah sebuah interpretasi penulis lagunya yang mempunyai pergelutan dengan OCD. Muzik video ini telah menggabungkan sebahagian persembahan pentas mereka sebelum pandemik berlangsung dan merupakan rilisan pertama buat Transient Loss selepas kehilangan gitaris mereka, arwah Noah pada bulan September lepas.
Radhi OAG, Tam Blind Tribe & Budak Scene All Stars – Pekik
“Rokumentari” yang bakal terbit pertengahan tahun ini adalah sebuah apresiasi terhadap sejarah scene underground Malaysia hasil sentuhan Fareeq Alias. Selain Radhi OAG dan Tam Blind Tribe, Budak Scene All Stars turut menjadi sebahagian daripada Pekik ini. Ianya adalah terdiri daripada Izzat Uzaini (Hujan), Kudux (Pesawat), Ihzwan Omar (MonoloQue) dan Alel Hashim (Upon Arrival). Lagu ini merupakan salah sebuah lagu di dalam kompilasi album mereka dan anda juga boleh melakukan pra-pesan PEKIK Merchbox di atas talian http://pekik.stereopixels.com. Melalui Pekik nanti, anda akan dapat melihat nama-nama yang biasa dilihat di flyers gig sekitar 20 tahun lepas melingkungi pelbagai genre seperti metal, grunge, reggae, hardcore, rapcore dan punk. Buat para peminat muzik scene 90an, ini adalah rilisan istimewa untuk anda.
Be A Rainbow Smile – What Love Means
Setelah lama menyepi, Be A Rainbow Smile atau singkatannya BARS telah berkongsi lagu barunya yang bertajuk What Love Means. Band ini pula boleh dikatakan masih baru dan masih belum dapat dilihat di mana-mana persembahan pentas. Mereka pernah tampil dengan beberapa single yang lain seperti Pergi dan Percaya sebelum ini. What Love Means ini adalah idea asal Raszeek selaku salah seorang ahli band dan lagu ini diterjemahkan tentang seseorang yang tidak mempercayai cinta dan lebih bergenrekan psikedelik.