KOMPLOT COMEBACK!
Komplot. Masa mereka singkat, impak mereka lama. Jika anda tidak pernah mendengar nama Komplot, maka tak keterlaluan jika kami katakan bahawa anda bukanlah pendengar muzik alternatif Malaysia dalam erti kata yang sebenar.
Komplot menawarkan bunyian yang lain dari yang lain. Sungguh berbeza berbanding rakan sezaman mereka seperti Meet Uncle Hussain, Seven Collar T-shirt, One Buck Short dan Nitrus.
Line-up mereka terdiri daripada satu gitar, satu drum, satu saksofon, satu bass dan satu vokal; berlainan dengan band rock konvensional yang lain.
Mereka sempat mengeluarkan sebuah EP 4 trek dan sebuah CD single sepanjang berada dalam scene. Setelah zaman alternatif seolah-olah kembali perlahan, mereka juga turut menyepi tanpa sebarang rilisan lain ataupun persembahan.
Setelah pemergian vokalisnya, hampir pasti dikatakan bahawa Komplot telah terkubur. Suara arwah Zak sungguh unik dan hanya beliau sahaja yang sesuai dengan muzik Komplot.
Namun setelah lebih 8 tahun laman Facebook Komplot menyepi, tiba-tiba ia dikemaskini pada tahun 2020, mengumumkan pencarian vokalis.
Namun berdasarkan hantaran tersebut, pencarian vokalis bukanlah untuk meyambung perjuangan Komplot, tetapi untuk sebuah kolektif (?) baharu.
Apa-apapun kita harapkan mereka mampu menambah lagi kemeriahan scene kita sekarang. Sekiranya anda rasa anda mampu menjadi frontman bagi pemuzik yang pernah bermain dengan Komplot, hubungi mereka sekarang!