Browse By

Balai Berita Junklist – 23 September 2021

Revive Arcade Festival – Festival maya terbesar 2021

Berita gembira sudah pasti buat peminat muzik serata Asia Tenggara apabila Revive Arcade Festival mengumumkan barisan pemuzik yang bakal melakukan persembahan pada 4 dan 5 Disember ini. Festival anjuran Tala Record Asia ini bakal menampilkan beberapa nama-nama besar serata Asia Tenggara antaranya Aman RA, Gerhana Skacinta, Pamungkas, Valentina Ploy, August Wahh dan The Pinholes. Secara keseluruhan, anda bakal menyaksikan 27 pemuzik dari 5 buah negara di festival maya ini. Antara tarikan lain bagi festival ini adalah ianya berkonsepkan permainan 2D yang mana penonton bukan sahaja dihidangkan dengan muzik, malah keunikkan berinteraksi dalam dunia maya. Anda sudah boleh membeli tiket bagi festival ini di laman sesawang dengan harga serendah RM75 bagi yang terawal.

Pautan : https://www.revivearcadefestival.com/home

Dinda dari Masdo berjaya menguasai Tiktok Indonesia

Selepas Anugerah Juara Lagu, Masdo sekali lagi berjaya menempa nama menerusi lagu Dinda dan kali ini di negara seberang pula. Lagu Masdo telah viral menerusi aplikasi Tiktok di Indonesia sejak beberapa minggu lalu dan memberi kesan yang positif bagi industri muzik tanah air terutama kugiran Masdo sendiri. Menurut mereka di laman sosial, mereka telah ke Indonesia sekitar tahun 2019 bagi menanam ‘benih’ muzik mereka di sana dan ternyata ianya berhasil. Perkara sebegini semestinya memberi impak positif kepada pengkarya yang mana mahukan muzik mereka didengari dan difahami oleh pendengar.

Pautan :

https://twitter.com/KugiranMasdo/status/1439950428880334853

Gig fizikal misi ‘Balas Dendam’ buat mereka yang merindui

Sudah pasti ramai yang rindukan suasana di acara gig fizikal. Dengan itu, Sirap Ais mengambil inisiatif untuk bekerjasama bersama LUAS dan BsyncLive bagi menganjurkan gig Balas Dendam. Gig fizikal ini bakal berlangsung pada 9 Oktober ini dan bakal menampilkan Saripdol, Kapow dan Jemson. Acara ini terbahagi kepada dua sesi iaitu petang dan malam bertempat di BsyncLive. Saripdol bakal beraksi pada sesi petang dan Kapow pada sesi malam, manakala Jemson betul-betul ‘balas dendam’ dengan beraksi pada kedua-dua sesi. Anda boleh dapatkan tiket anda dengan menghubungi talian yang tertera pada poster dengan berharga RM45. Pastikan anda sudah divaksin lengkap dan patuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Pautan :

https://twitter.com/kapowMY/status/1439495383378317313

‘Second Voyage’ Sekumpulan Orang Gila bakal bermula dengan video muzik baru

Sekumpulan Orang Gila bakal melancarkan video muzik terbaru pada 25 September ini tepat jam 12 malam serentak dengan pelancaran album mereka yang bertajuk ‘Second Voyage’. Seperti mana yang kita tahu, SOG sering menampilkan nama-nama besar dunia hardcore dalam pembikinan album mereka di mana bagi album terbaru mereka ini producernya sendiri ialah Bert dan Eric Poncet dari band Chunk, No Captain Chunk. Manakala bagi single terbaru ini, mereka bakal berkolaborasi dengan Tim Lambesis dari band As I Lay Dying. Sebelum ini mereka juga pernah berkolaborasi dengan Tyler Carter dan Michael Bohn bagi lagu 40% Disco. Anda boleh melakukan pra-pesan album terbaru ini di aplikasi iTunes bagi pengguna Apple atau layari laman sesawang mereka.

Pautan :

https://twitter.com/weareSOG/status/1440813503179157509

Khatulistiwa – gubahan semula istimewa dari Pitahati X Ito Blues Gang

Pitahati dan Ito Blues Gang telah bekerjasama bagi menggubah semula karya klasik band tersebut yang berjudul Khatulistiwa. Reimaginasi ini telah dilancarkan di saluran Youtube Pitahati pada Hari Malaysia yang lepas. Walaupun Pitahati pernah membawa lagu ini sewaktu Luncai Emas x Siakap Keli Session tiga tahun lepas, ternyata gubahan ini lebih istimewa buat mereka dengan kehadiran penyanyi asalnya sendiri bagi membantu menjayakan projek ini. Mereka turut mengisi gubahan ini dengan intipati positif seperti perpaduan dalam kalangan masyarakat dalam lirik mereka.

Tonton video penuh di sini :

https://www.youtube.com/watch?v=ld_yMK9932M