GLISTENING REDCHAIR KELUARKAN ALBUM TERBAHARU “CELESTIAL”
Kolektif alternative metal Seri Iskandar, Glistening Redchair (GRC) baru sahaja mengeluarkan album terbaharu bertajuk “Celestial” yang mempunyai 7 buah trek pada 26 Mei.
Album ini ditulis sepenuhnya oleh Gheff Abd Ghafar (vokal/instrumen/produksi) ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Album ini ialah rilisan penuh ketiga selepas “Guide Us into Believing” dan “Therapist” yang dikeluarkan pada Mei 2017 dan Julai 2018 sebelum ini.
“Celestial” meneruskan tradisi GRC iaitu penceritaan berpaksikan sesuatu tema atau konsep dalam albumnya; kali ini, Gheff membawa para pendengar ke dalam sebuah perjalanan merentasi angkasa lepas dalam album yang berdurasi 31 minit ini.
Di sebalik tema angkasa lepas yang ditonjolkan untuk “Celestial”, terdapat penceritaan yang menyentuh pelbagai topik, contohnya kerumitan hidup manusia, keburukan hawa nafsu, dan menerima hakikat kematian. Semua ini digandingkan dengan bunyian gitar fuzz raksasa dan hentakan dram padu yang diperincikan oleh sentuhan daripada Anwar Husaini (adunan dan mastering). “Celestial” semestinya memanggil-manggil pendengar untuk menekan butang ‘ulang’ setelah selesai mendengarnya buat kali pertama.
Senarai penuh trek lagu seperti berikut.
- Elaborate Dreamy State
- Punisher
- Portals
- Celestial
- Jupiter Planet Landing
- Responding to Calamity
- Voids
Album “Celestial” diterbitkan secara bersama oleh Glistening Redchair dan Hazardgeek Records. Pembeli album di Bandcamp (https://myglistening.bandcamp.com/album/celestial) juga akan mendapat buku inlay digital yang mengandungi lirik dan rekaan seni yang menarik.
Jangan lupa dengar album terbaru Glistening Redchair di sini!